TINTA MINDA

Persediaan Andai Jepun Destinasi Untuk Sambung Pengajian

08/07/2025 11:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Siti Hajar Bidin dan Hiyama Junko @ Noor Siti Abdullah

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sudah diumumkan. Daripada 355,933 pelajar SPM yang layak mendapat sijil, 14,179 pelajar memperoleh keputusan A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran. Tentunya, ibu bapa dan pelajar lepasan SPM tercari-cari institusi pendidikan yang terbaik untuk menyambung pengajian. Pastinya ada dalam kalangan mereka yang memilih untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Jepun merupakan destinasi yang sering menjadi pilihan pelajar untuk meneruskan pengajian ke luar negara. Kelebihan Jepun sebagai sebuah negara maju, khususnya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan merupakan penyebab utama ia menjadi pilihan pelajar untuk menyambung pengajian. Selain itu, hubungan baik sejak sekian lama antara kedua buah negara, menjadikan laluan menyambung pengajian di Jepun lebih mudah. Hubungan antara Malaysia dan Jepun menjadi semakin erat apabila Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan pada tahun 1982. Melalui dasar tersebut ramai pelajar Malaysia berpeluang meneruskan pengajian di universiti-universiti terbaik Jepun.

Bagi pelajar yang berhasrat menyambung pengajian di Jepun, beberapa perkara perlu diambil peduli sebelum membuat pilihan. Perkara utama seperti kelayakan akademik, sihat tubuh badan dan sumber kewangan yang mencukupi (sama ada sumber peribadi atau tajaan, seperti biasiswa atau pinjaman boleh ubah). Ia merupakan persediaan asas yang perlu dipertimbangkan oleh setiap pelajar dan ibu bapa. Sekiranya tidak berjaya melepasi tahap minimum, kebiasaannya pelajar tidak akan mampu untuk meneruskan pengajian di sana. Seterusnya, terdapat beberapa perkara lain yang tidak kurang pentingnya untuk dipertimbangkan sebelum memilih negara matahari terbit itu sebagai destinasi untuk menyambung pengajian.

Persediaan Fizikal

Selain sihat tubuh badan, keperluan fizikal lain seperti pakaian, peralatan elektrik mahupun ubat-ubatan perlu diambil kira. Jepun merupakan negara yang mengalami iklim empat musim, iaitu musim panas, musim bunga, musim luruh dan juga musim sejuk. Oleh itu, pakaian yang digunakan juga berbeza mengikut musim dan cuaca. Pelajar perlu menyediakan pakaian bersesuaian secukupnya agar lebih selesa dan tidak terbeban dengan keadaan cuaca. Tentunya ia menuntut peruntukan kewangan yang lebih besar daripada kebiasaan di Malaysia.

Seterusnya, peralatan elektrik peribadi seperti telefon bimbit, komputer, pengecas dan palam penyesuai (adaptor) sebaiknya disediakan dan dibawa bersama keperluan peribadi yang lain. Ini kerana, barangan elektrik di Malaysia terutamanya plag yang menyambungkan kuasa elektrik tidak sama dengan negara Jepun. Cara pengendalian barangan elektrik juga biasanya berbeza mengikut keadaan sesebuah negara.

Pelajar juga disaran supaya memastikan barangan elektrik yang dibawa boleh digunakan di Jepun. Voltan barangan elektrik di Jepun adalah rendah iaitu 100V sahaja berbanding 240V di Malaysia. Kebiasaanya barangan elektrik seperti ini hanya memerlukan palam penyesuai antarabangsa (international adapter plug). Ia bukan lagi kehendak, tetapi menjadi keperluan yang mesti ada dan sebaiknya disediakan sebelum ke Jepun bagi mengelak tumpuan pelajar terganggu. Selain memerlukan lebih masa untuk memahami cara pengendaliannya kerana buku panduan dan maklumat kebanyakannya dalam bahasa dan tulisan Jepun, harganya juga lebih mahal.

Selanjutnya, penyediaan ubat-ubatan peribadi. Walaupun berjaya melepasi tapisan kesihatan, terdapat juga sebilangan pelajar yang bergantung dengan ubat-ubatan tertentu. Pelajar seperti ini perlu memastikan bekalan ubat-ubatan disediakan dan dibawa secukupnya. Sekiranya perlu diambil secara berterusan, pastikan mereka mendapatkan surat perakuan daripada pihak hospital atau pegawai perubatan di Malaysia mengenai maklumat ubat-ubatan yang diperlukan serta priskripsnya sekali. Surat perakuan ini akan memudahkan pelajar apabila perlu berurusan dengan pihak kesihatan di Jepun seperti hospital atau farmasi. Sekiranya keperluan seperti ini disediakan sebaiknya, pelajar akan berasa tenang dan lebih fokus kepada pengajian. Kerisauan berada di tempat baharu dapat dikurangkan.

Sementara itu, pelajar yang akan belajar di Jepun diwajibkan untuk menyertai Insurans Kesihatan Nasional Jepun. Sekiranya perlu mendapatkan rawatan, pihak insurans hanya akan membayar 70 peratus daripada jumlah bil rawatan, manakala selebihnya adalah tanggungjawab individu. Maklumat seperti ini biasanya akan dikongsikan kepada pelajar, sebelum menjejakkan kaki ke Jepun. Perkara ini juga dalam pengetahuan pihak penaja seperti seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Persediaan Emosi

Selain persediaan fizikal mereka juga perlu mempunyai ketahanan mental dan emosi dalam menangani sebarang masalah. Apabila berada di tempat baharu, perasaan ‘terasing’ akan dirasai khususnya di fasa awal. Ketika ini, emosi mudah tercalar dan terganggu. Pelajar mungkin akan terasa seperti bersendirian, khususnya bagi mereka yang memasuki institusi yang tiada pelajar Malaysia. Keadaan akan lebih kritikal sekiranya di istitusi tersebut tidak ramai pelajar asing. Dalam situasi sebegini, pelajar perlu bersikap terbuka, namun tidaklah sehingga melupakan jati diri. Bersikap terbuka, bersederhana dalam banyak perkara, merendah diri dan bersopan santun adalah asas untuk mudah diterima dalam masyarakat Jepun. Sikap sebegini secara tidak langsung dapat mengawal emosi daripada perasaan ‘terasing’.

Pelajar juga perlu mengambil tahu perkara-perkara asas tentang negara Jepun kerana perbezaan latar belakang dan budaya antara kedua-dua negara. Jepun merupakan sebuah negara yang mempunyai etnik tunggal, iaitu hampir semua penduduknya adalah daripada bangsa yang sama, menuturkan bahasa yang sama, mengamalkan budaya dan kepercayaan yang hampir sama. Oleh itu, sikap orang Jepun tidak begitu terbuka sebagaimana orang Malaysia yang sudah biasa hidup dalam kepelbagaian etnik dan budaya. Mereka mementingkan kesopanan, sentiasa merendah diri dan sangat menghargai budaya. Dengan memahami perkara asas tentang Jepun dan masyarakatnya, pelajar akan lebih bersedia daripada segi emosi.

Pelajar yang memilih Jepun sebagai destinasi menyambung pengajian, disaran agar bersedia untuk hidup berdikari dan melakukan banyak perkara secara bersendirian, terutamanya di awal pengajian. Pada peringkat ini, pelajar tidak boleh terlalu bergantung dengan sesiapa. Bukan mudah untuk membuatkan orang Jepun dapat menerima ‘orang luar’ yang mempunyai latar belakang budaya, bangsa, bahasa dan agama yang berbeza daripada masyarakat mereka.

Adakalanya, pelajar mungkin akan terasa seperti dipinggirkan, disebabkan oleh perbezaan yang ketara antara orang Malaysia dengan orang Jepun. Bagi mengurangkan jurang ini mereka perlu memahami dan mempelajari sedikit sebanyak tentang cara hidup dan budaya orang Jepun. Dapatkan maklumat mengenai apa yang disukai oleh orang Jepun dan juga perkara yang sebaliknya. Dengan memahami budaya dan cara hidup orang Jepun, hubungan baik dengan masyarakat setempat akan lebih mudah terjalin dan kesihatan emosi juga lebih terjamin.

Bagi pelajar yang beragama Islam, mereka perlu tahu bahawa Jepun bukanlah sebuah negara Islam. Berdasarkan cara hidup orang Jepun, agama yang paling ramai penganut adalah agama Shinto dan Buddha, iaitu dianggarkan sekitar 84 hingga 96 peratus. Bilangan masjid dan surau juga sangat terhad. Makanan halal juga sukar diperoleh. Walaupun kebelakangan ini, jumlah bilangan masjid dan surau semakin meningkat, namun bagi pelajar yang memilih Jepun sebagai destinasi untuk menyambung pengajian, perlu bersedia dengan keadaan ini.

Mereka juga boleh mencari maklumat mengenai bilangan pelajar asing di unversiti yang akan dipilih, terutamanya bilangan pelajar yang beragama Islam serta merujuk fasiliti yang disediakan di universiti pilihan. Ada juga universiti di Jepun yang menyediakan surau untuk pelajar beragama Islam, selain kafeteria yang menyediakan makanan halal atau ‘Muslim Friendly’. Penjualan makanan halal juga semakin meningkat, terutamanya di kawasan yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam, dan juga boleh dibeli secara dalam talian. Namun, harus diingat bahawa dalam urusan beragama, masyarakat Jepun biasanya akan mengelak daripada indivdu yang terlalu ekstrem dalam beragama serta tidak menghormati penganut agama-agama lain.

Selain itu, untuk menjamin kestabilan emosi, pelajar boleh juga membina hubungan sosial dengan pelajar-pelajar lain yang akan sama-sama belajar di Jepun atau yang telah berada di Jepun. Melalui cara ini mereka boleh bertanyakan tentang pengalaman yang telah dilalui atau berkongsi persoalan yang terlintas di fikiran dalam komuniti tersebut. Cara ini membolehkan mereka mengurangkan kebimbangan sebelum sampai ke Jepun. Malahan, sekiranya berlaku sebarang permasalahan mereka mempunyai tempat untuk berkongsi.

Kemahiran Berbahasa Jepun

Kemahiran berbahasa Jepun sangat penting dalam memastikan seseorang pelajar dapat mengharungi setiap cabaran dalam pembelajaran dan kehidupan seharian di negara matahari terbit itu. Umum mengetahui bahawa bahasa Jepun dianggap sebagai bahasa tunggal dalam komunikasi, 99 peratus bahasa ibunda mereka adalah bahasa Jepun itu sendiri. Ia digunakan dalam semua urusan, termasuk urusan rasmi dan tidak rasmi, seperti komunikasi seharian dengan rakan, pensyarah dan penduduk setempat. Setiap pelajar perlu menguasai bahasa Jepun walaupun pilihan kursus dijalankan dalam bahasa Inggeris, ia akan memudahkan komunikasi dengan pelajar dan pensyarah serta penduduk setempat

Selain itu, setiap pelajar perlu menguasai dan lulus ujian bahasa Jepun dikenali JLPT (Japanese Language Proficiency Test). Ujian ini perlu diambil di Malaysia, perlu lulus sekurang-kurangnya sehingga tahap N2 (Tahap B2, CEFR). Ujian ini mengandungi lima tahap, dan tahap N5 merupakan tahap yang terendah. Selanjutnya, mereka juga perlu menguasai jenis-jenis tulisan Jepun iaitu tulisan Hiragana, Katakana dan Kanji. Kursus kemahiran bahasa Jepun ini biasanya sudah terkandung dalam silibus pusat-pusat persediaan pengajian ke Jepun yang ada di Malaysia seperti di Ambang Asuhan Jepun (AAJ) INTEC Education College, Pusat Bahasa Teikyo, dan sebagainya.

Persediaan sebelum menyambung pengajian ke Jepun perlu dirancang dengan baik dan menyeluruh merangkumi pelbagai aspek, seperti akademik, kewangan, logistik, bahasa, kekuatan fizikal dan juga kekuatan emosi. Semasa menghadiri kursus-kursus persediaan pula, pelajar didedahkan dengan kemahiran asas, terutamanya kemahiran bahasa Jepun.

Perkara seperti persediaan fizikal dan emosi juga perlu diambil peduli, sebelum memilih Jepun sebagai destinasi untuk menyambung pengajian. Dengan mengetahui perkara-perkara tersebut, pelajar dan ibu bapa dapat menimbangkan keputusan untuk menyambung pengajian ke Jepun dengan sewajarnya. Persediaan yang rapi dapat membantu pelajar menghadapi setiap dugaan dan cabaran sepanjang pengajian mereka di Jepun.

-- BERNAMA

Siti Hajar Bidin merupakan Guru Bahasa Jabatan Bahasa Antarabangsa Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Hiyama Junko @ Noor Siti Abdullah merupakan Guru Bahasa Jabatan Bahasa Antarabangsa Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)