Pada tahun 2022, dunia menyaksikan pembaziran makanan mencecah 1.05 bilion tan, bersamaan dengan berat kira-kira 3,500 Menara Berkembar Petronas. Di Malaysia sahaja, sebanyak 17,000 tan makanan dibuang setiap hari, dan hampir suku daripadanya masih elok untuk dimakan. Jumlah ini sebenarnya mampu menyediakan tiga hidangan sehari kepada tiga juta orang, sedangkan banyak isi rumah bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.
Pembaziran makanan bukan sekadar membuang lebihan lauk di pinggan. Ia merupakan ancaman tiga serangkai terhadap ekonomi, alam sekitar dan sekuriti makanan. Sacara global, pembaziran makanan menyumbang antara lapan peratus hingga 10 peratus kepada pelepasan gas rumah hijau. Ia turut membazirkan pelbagai sumber berharga yang digunakan untuk menghasilkan, mengangkut dan menyediakan makanan, termasuk tanah, air, tenaga dan tenaga kerja.
Isi Rumah Penyumbang Utama Pembaziran Makanan
Ramai beranggapan punca utama pembaziran makanan ialah hotel dan bufet. Namun realitinya, masalah ini lebih banyak berlaku di rumah. Kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan isi rumah menyumbang sebanyak 38.2 peratus daripada keseluruhan pembaziran makanan negara, lebih banyak berbanding dengan hotel (6.9 peratus), restoran (23.4 peratus) dan pasar (24.5 peratus).
Belanja dengan Bijak, Makan dengan Berhemah
Kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati separuh daripada pembaziran makanan isi rumah berpunca daripada makanan yang rosak atau hilang kesegarannya. Masalah ini boleh diatasi dengan langkah mudah seperti merancang menu, membeli mengikut keperluan, serta membungkus semula barang runcit secara pukal kepada kuantiti yang lebih kecil. Tindakan ini bukan sahaja mengelakkan pembaziran, malah membantu keluarga berjimat.
Melalui program “Eat Right to Play Right (ERTPR)” anjuran World Vision Malaysia, ibu bapa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) belajar tentang tips untuk mengurangkan pembaziran makanan. Mereka didedahkan kepada kaedah merancang menu berdasarkan Panduan Piramid Makanan Malaysia 2020, menyediakan makanan mengikut saiz hidangan yang disarankan, dan menyimpan makanan secara selamat. Usaha ini dapat mengurangkan pembaziran dan kos dapur isi rumah.
Namun, pembaziran makanan bukan hanya berkaitan dengan pembelian atau cara menyimpan makanan, tetapi juga dengan tabiat pemakanan kita. Makanan seperti nasi, mi dan bihun menyumbang hampir 75 peratus daripada sisa makanan pinggan manakala sayuran yang kurang dimakan sering dibuang begitu sahaja. Selain itu, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati 95.1 peratus orang dewasa tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan secukupnya
Keadaan ini bukan sahaja mencerminkan tabiat pemakanan yang kurang sihat, tetapi juga menambah kepada pembaziran makanan. Antara penyelesaian yang mudah termasuk makan secara berhemah dan mematuhi saiz hidangan yang disarankan. Amalan ini bukan sekadar membantu keluarga berjimat, malah dapat mengurangkan risiko obesiti serta penyakit tidak berjangkit yang lain.
Kurangkan Pembaziran Makanan demi Sistem Makanan Mampan
Dalam dunia yang serba mewah dengan makanan, masih terdapat 673 juta orang yang terpaksa tidur dalam kelaparan. Realiti ini membuktikan bahawa isu kelaparan bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan pengeluaran makanan, tetapi lebih berkaitan dengan masalah kemiskinan dan akses makanan.
Di Malaysia, pertubuhan seperti The Lost Food Project, Food Aid Foundation dan Yayasan Food Bank memainkan peranan penting dengan menyelamatkan lebihan makanan daripada pasar raya, hotel dan pasar untuk diagihkan semula kepada komuniti rentan. Usaha ini boleh diperkukuh melalui sokongan masyarakat sama ada dalam bentuk sumbangan, kerja sukarela ataupun kerjasama strategik.
Oleh itu, mengurangkan pembaziran makanan ialah kunci kepada pembinaan sistem makanan yang mampan. Langkah ini bukan sahaja mampu menjamin keterjaminan makanan dan pemakanan untuk semua, malah dapat dicapai tanpa menjejaskan ekonomi, alam sekitar atau kesejahteraan sosial. Pengalaman World Vision Malaysia turut menunjukkan bahawa apabila keluarga dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran mengurus sumber makanan, mereka mampu menggunakan penjimatan untuk keperluan asas seperti pendidikan — sekali gus menyumbang kepada usaha memutuskan kitaran kemiskinan.
Memanfaatkan SARA RM100
Bagi meringankan kos sara hidup rakyat, kerajaan Malaysia baru-baru ini telah menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 sekali beri kepada semua individu berumur 18 tahun ke atas. Walaupun bantuan ini menimbulkan pelbagai reaksi, kita dapat membelanjakan SARA dan mendapat penjimatan sekurang-kurangnya 25 peratus dengan mengurangkan pembaziran makanan.
Oleh itu, kita harus ingat bahawa mencegah pembaziran adalah sama pentingnya dengan mencari tawaran murah ketika kita membelanjakan bantuan SARA.
Setiap Ringgit yang dijimatkan daripada pembaziran makanan ialah pulangan kepada keluarga. Apabila kita membeli, memasak dan makan dengan berhemah, kita bukan sahaja menjaga pemakanan, tetapi turut menyumbang kepada pembinaan sistem makanan yang lebih mampan demi masa depan Malaysia.
Langkah mudah manfaatkan SARA, kurangkan pembaziran makanan
Rancang sebelum membeli-belah — sediakan senarai barangan runcit dan pastikan anda mengikutinya.
Simpan makanan dengan bijak — amalkan prinsip “masuk dahulu, keluar dahulu” dan gunakan kaedah penyimpanan yang sesuai.
Kawal saiz hidangan — pesan nasi atau mi dalam hidangan yang lebih kecil ketika makan di luar, dan habiskan sayur-sayuran di pinggan.
Periksa label tarikh luput — “Guna sebelum” = keselamatan, buang selepas tarikh tersebut; “Baik sebelum” = kualiti, jika makanan masih kelihatan, berbau dan rasa elok, maka secara umumnya ia masih selamat dimakan.
--BERNAMA
Ang Zheng Feng ialah Pegawai Kesihatan dan Pemakanan, World Vision Malaysia