Kecerdasan buatan (AI) bukan lagi satu topik sains fiksyen. Ia kini menjadi sebahagian daripada realiti hidup moden – daripada telefon pintar, aplikasi perbankan, hinggalah kepada sektor perkilangan, kesihatan dan lain-lain. Namun di sebalik kemajuan ini, muncul satu persoalan besar: apakah manusia akan digantikan oleh AI? Atau mampukah manusia menyesuaikan diri dengan perubahan ini?
Jawapannya tidak terletak pada memilih antara manusia atau mesin. Sebaliknya, ia terletak pada keupayaan manusia untuk upskill iaitu menambah dan memperbaharui kemahiran agar terus relevan dalam dunia kerja yang semakin didorong oleh teknologi.
Bukan Lagi Isu Masa Depan, Tetapi Sekarang
Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia, sebanyak 44 peratus kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan akan berubah menjelang 2027. Ini termasuk kemahiran digital, pemikiran analitik, kreativiti, penyelesaian masalah kompleks, serta kebolehan beradaptasi.
AI mula mengautomasi tugas-tugas rutin seperti pengurusan data, perkhidmatan pelanggan asas, malah sesetengah aspek dalam bidang penulisan dan kewartawanan. Apa yang dahulunya memerlukan pasukan manusia, kini boleh dilakukan oleh sistem yang cekap, pantas dan kos efektif.
Namun, ini tidak bermakna manusia akan hilang tempat sepenuhnya. Sebaliknya, peranan manusia akan beralih kepada kerja yang lebih tinggi nilai seperti membuat keputusan strategik, mengurus hubungan manusia, menyusun maklumat, serta memastikan etika dan nilai diterapkan dalam penggunaan teknologi.
Mengapa Upskill Itu Kritikal?
Upskill bermaksud proses menambah baik atau memperluaskan kemahiran sedia ada agar seseorang mampu mengadaptasi kepada perubahan keperluan kerja. Dalam konteks AI, ia bermakna membina kecekapan dalam penggunaan teknologi, memahami prinsip digital, serta memantapkan kemahiran insaniah yang sukar ditiru oleh mesin.
Di Malaysia, kajian TalentCorp dan Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa kebanyakan majikan kini mencari pekerja yang boleh ‘berinteraksi dengan teknologi’ – bukan semata-mata pakar teknikal, tetapi mereka yang tahu bagaimana teknologi boleh diguna untuk menyelesaikan masalah dan menambah nilai dalam tugasan.
Ironinya, pekerja yang terlalu bergantung pada cara lama atau enggan mempelajari kemahiran baharu berisiko untuk ketinggalan, walaupun memiliki pengalaman bertahun-tahun dalam bidang tertentu. Ini menjadi cabaran besar bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada organisasi dan negara.
Pendidikan dan Latihan Perlu Bergerak Seiring
Sistem pendidikan formal perlu seiring dengan keperluan masa hadapan. Kursus universiti tidak boleh terlalu terikat pada silibus lama yang tidak lagi mencerminkan kehendak industri. Institusi pengajian tinggi mesti lebih responsif, fleksibel dan terbuka kepada pembelajaran modular, microcredential, serta kolaborasi dengan sektor teknologi.
Latihan kemahiran digital, kecekapan analitik, pengaturcaraan asas serta penggunaan AI dalam pekerjaan harian perlu diberi penekanan yang lebih serius dalam sistem pendidikan dan latihan sedia ada. Dalam masa yang sama, kemahiran insaniah seperti komunikasi, empati, kepimpinan dan pemikiran etika juga perlu terus diperkasakan – kerana inilah nilai tambah manusia yang sukar digantikan oleh mesin.
Dunia Pekerjaan Bukan Tentang Sama Ada, Tetapi Sama-Sama
Persoalan popular yang sering timbul: Adakah AI akan merampas pekerjaan manusia? Jawapannya: ya dan tidak.
Ya – dalam erti kata bahawa tugas berulang dan rutin akan semakin diganti oleh sistem automasi. Tetapi tidak – kerana akan wujud pekerjaan baharu yang memerlukan kebijaksanaan manusia untuk melatih, menyelia dan memperhalusi sistem AI. Contohnya, jurutera pembelajaran mesin, penganalisis etika AI, pereka pengalaman pengguna, dan pakar data.
Namun, semua pekerjaan baharu ini menuntut kemahiran yang tidak semestinya dimiliki oleh semua orang. Maka, di sinilah upskilling menjadi agenda paling penting supaya dapat mengelakkan ramai individu tersisih dalam revolusi teknologi ini.
Tanggungjawab Bersama: Individu, Majikan dan Negara
Proses upskill tidak boleh diletakkan di bahu individu semata-mata. Ia memerlukan kerjasama menyeluruh antara majikan, kerajaan, institusi latihan dan masyarakat. Majikan perlu menyediakan peluang latihan dan penyesuaian tugas. Kerajaan perlu menambah insentif kepada syarikat dan rakyat yang mahu mengikuti kursus kemahiran baharu. Sementara itu, individu pula mesti bersedia untuk belajar semula dan belajar sepanjang hayat (lifelong learning).
Di Malaysia, beberapa inisiatif seperti program e-LATiH oleh HRD Corp dan pelbagai kursus digital oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah langkah ke hadapan. Namun, penyertaan masih rendah terutamanya dalam kalangan golongan pertengahan dan dewasa bekerja. Mentaliti “saya sudah tahu” perlu diubah menjadi “saya mahu terus belajar”.
AI Bukan Pengganti, Tetapi Peluang
Kita tidak dapat menghalang kemajuan teknologi. Namun, kita boleh memilih sama ada mahu kekal statik atau bergerak seiring. Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh AI, manusia masih ada kelebihan – tetapi hanya jika kita bersedia membina keupayaan baharu.
Upskilling bukan satu pilihan lagi. Ia sudah menjadi keperluan mendesak. Sama ada kita pekerja, pelajar, usahawan atau penjawat awam – dunia digital akan terus berkembang. Mereka yang cekap membaca perubahan, pantas belajar, dan berani mencuba perkara baharu akan terus berdiri teguh, bukan hanya dalam kerjaya, tetapi dalam menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.
-- BERNAMA
Dr. Syafila Kamarudin merupakan Ketua Laboratori Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia