Malaysia merupakan antara jaguh pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, menghasilkan berjuta-juta tan sisa tandan kosong kelapa sawit (TKKS) setiap tahun. Pengurusan sisa ini menjadi isu penting, terutamanya berkaitan kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara optimum. Antara kaedah yang mula mendapat perhatian ialah penggunaan abu daripada proses pembakaran (incineration) TKKS sebagai baja pertanian.
Isu utama pengurusan sisa sawit adalah jumlah besar sisa TKKS yang kerap kali dibuang atau dibakar secara terbuka. Pembakaran terbuka ini juga dilihat menjadi punca dan ia menyebabkan pencemaran udara, pembaziran sumber serta menjejaskan kesihatan awam. Oleh itu, teknologi pembakaran moden dilihat sebagai alternatif mampan bagi mengurangkan masalah pencemaran dan memanfaatkan sisa menjadi sumber berharga.
Kandungan Mineral Penting Dalam TKKS Mampu Tingkatkan Hasil Tanaman
Potensi utama abu TKKS terhasil daripada proses pembakaran adalah kandungan mineral yang tinggi, seperti kalium, fosforus, kalsium, magnesium dan silika. Mineral ini penting untuk kesuburan tanah dan pertumbuhan tanaman. Kajian awal menunjukkan bahawa baja abu sawit mampu meningkatkan hasil tanaman seperti padi, sayur-sayuran dan tanaman buah-buahan secara signifikan.
Apa yang menarik perhatian, penggunaan abu ini bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia import tetapi turut menyokong konsep pertanian lestari serta menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG ke-2 (Zero Hunger), SDG ke-12 (Responsible Consumption and Production) dan SDG ke-13 (Climate Action).
Halangan dan Cabaran
Namun, beberapa halangan perlu diatasi sebelum potensi ini dapat dimanfaatkan secara meluas. Antara cabaran tersebut termasuklah kos tinggi pemasangan dan operasi incinerator moden, kekurangan kesedaran dalam kalangan petani tentang manfaat penggunaan abu ini, serta aspek regulasi yang belum jelas mengenai penggunaan abu daripada incinerator sebagai baja pertanian. Di samping itu, isu logistik berkaitan pengumpulan, pengangkutan dan penyimpanan abu turut menjadi halangan yang perlu diberi perhatian serius.
Kerajaan memainkan peranan kritikal dalam mengatasi halangan ini melalui penggubalan dasar dan insentif yang menyokong pelaburan dalam teknologi hijau. Program kesedaran dan latihan yang melibatkan petani juga perlu digiatkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Kementerian Perladangan dan Komoditi. Subsidi atau insentif khas boleh diberikan kepada syarikat perladangan yang melabur dalam Pembangunan incinerator moden bagi menggalakkan penggunaan teknologi mampan ini.
Bukan itu sahaja, peranan penyelidik universiti adalah siknifikan bagi memastikan teknologi ini sesuai untuk diaplikasi secara meluas. Kajian saintifik dan pembangunan teknologi pembakaran bersih perlu ditingkatkan untuk memastikan abu yang terhasil benar-benar selamat digunakan dalam pertanian. Universiti juga perlu menjalankan kajian terperinci tentang kesan jangka panjang penggunaan abu ini terhadap kesuburan tanah dan keselamatan makanan.
Bimbingan Dan Latihan
Selain itu, komuniti setempat pula boleh memainkan peranan sebagai penerima manfaat utama teknologi ini. Petani kecil perlu dibimbing dan diberi latihan tentang kaedah penggunaan abu sawit sebagai baja secara betul. Mereka juga boleh membentuk koperasi komuniti bagi menguruskan pengumpulan dan pengedaran abu kepada ahli komuniti, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu. Sebagai contoh, Koperasi Pekebun Kecil Daerah Pontian (KEPAK) kian aktif menjalinkan kerjasama dengan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi usaha membangunkan teknologi yang dapat menghasilkan baja lestari.
Dari segi penerimaan, petani umumnya positif tetapi masih berhati-hati kerana kurang pengetahuan dan pengalaman dalam menggunakan baja abu sawit ini. Kerjasama berterusan antara kerajaan, universiti dan komuniti diperlukan untuk membina kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan petani.
Tambahan daripada itu, risiko yang perlu diberi perhatian termasuklah potensi pencemaran logam berat dalam abu, jika proses pembakaran tidak dijalankan dengan sempurna. Oleh itu, kawalan kualiti yang ketat oleh pihak berkuasa adalah penting untuk memastikan hanya abu berkualiti tinggi yang bebas pencemaran digunakan sebagai baja.
Kejayaan Teknologi Incinerator
Jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Eropah, teknologi incinerator bagi menghasilkan baja daripada sisa organik sudah lama dipraktikkan secara meluas dan mendapat sambutan positif daripada komuniti petani. Negara-negara ini mempunyai regulasi ketat serta sistem logistik yang cekap dalam pengumpulan dan penggunaan semula abu sisa. Kerajaan mereka menyediakan insentif jelas serta persekitaran peraturan yang kondusif untuk memacu pembangunan teknologi ini.
Sebagai contoh, Jepun mempunyai garis panduan terperinci mengenai penggunaan abu daripada incinerator yang menjamin keselamatan dan keberkesanan baja yang dihasilkan. Korea Selatan pula telah berjaya menjadikan abu sisa organik sebagai komponen penting dalam program pertanian mampan nasional mereka.
Malaysia boleh belajar daripada kejayaan negara-negara ini, terutamanya dalam aspek regulasi, kawalan kualiti, dan sistem sokongan kepada petani. Usaha kerajaan bersama universiti dalam membina garis panduan khusus dan menjalankan kajian saintifik yang mendalam boleh memastikan penggunaan abu TKKS lebih efektif dan selamat.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, hala tuju sektor pertanian dan perladangan negara dijangka memberi fokus kepada kelestarian alam sekitar, peningkatan produktiviti melalui teknologi hijau dan pengurangan kebergantungan kepada import baja kimia. Garis panduan sedia ada seperti Pelan Strategik Pertanian Negara 2021-2030 dan Pelan Tindakan Sawit Lestari Malaysia (MSPO) akan terus menjadi rujukan utama dalam mencapai matlamat ini.
Secara tuntas, potensi penggunaan abu tandan kelapa sawit sebagai baja daripada proses incinerator adalah besar dan menjanjikan manfaat ekonomi serta alam sekitar yang signifikan. Namun, ia memerlukan komitmen tinggi daripada kerajaan, penyelidik dan komuniti bagi memastikan teknologi ini berjaya diterapkan secara mampan dan meluas di Malaysia dan ia boleh dicontohi oleh negara-negara lain.
-- BERNAMA
Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom merupakan Penyelidik Utama, Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM) Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).