TINTA MINDA

Bangunan Hijau Dan Impak Sosial: Menilai Keberkesanan Dalam Membangun Komuniti Bandar Lestari

16/07/2025 10:12 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Ts Dr Nurfadzillah Ishak dan Ts Dr Muhammad Azizi Azizan

Malaysia sedang menuju ke arah agenda pembangunan yang lebih lestari, dan bangunan hijau menjadi antara elemen penting dalam agenda ini. Ini dibuktikan dengan lebih 671 projek telah mendapat panarafan menerusi Indeks Bangunan Hijau (Green Building Index atau GBI) iaitu sistem penarafan komprehensif yang pertama di negara ini bagi menilai kelestarian reka bentuk dan prestasi bangunan, bandar dan kilang.

Bagaimanapun, wujud persoalan sejauh mana pembangunan ini dapat menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar dan komuniti bandar.

Realiti Keberkesanan

Beberapa projek mercu tanda yang sering diangkat sebagai contoh pembangunan hijau membuktikan bahawa pembinaan mesra alam adalah tidak mustahil. Tinjauan pendapat dalam kalangan orang ramai pula menunjukkan meskipun bangunan-bangunan ini kelihatan moden dan mesra tenaga, namun ada yang berpendapat ia kurang memberikan impak sosial yang bermakna terutamanya dalam mencapai pembangunan komuniti yang seimbang dan inklusif.

Antaranya, reka bentuk yang lebih menumpukan kepada pencapaian teknikal seperti penjimatan tenaga dan penarafan pensijilan sahaja, tetapi mengabaikan aspek kemasyarakatan seperti ruang interaksi terbuka, kawasan komuniti yang kondusif, serta kemudahan awam yang inklusif dan mudah diakses. Hal ini menjadikan bangunan hijau yang dibina kurang mesra pengguna dan gagal menggalakkan pembangunan komuniti yang seimbang.

Statistik daripada sumber laporan Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) bagi tahun 2024 menunjukkan bahawa bangunan hijau di Malaysia secara purata menjimatkan antara 20 peratus hingga 30 peratus tenaga serta boleh mengurangkan penggunaan air sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus. Selain itu, ia turut menyumbangkan kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 37 peratus. Walaupun pencapaian ini memberi kesan besar kepada operasi bangunan daripada sudut teknikal, ia tidak semestinya dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan sosial komuniti penghuni.

Kajian GBI turut menunjukkan bahawa kadar penyertaan bagi elemen hijau sosial seperti bumbung hijau dan ruang komuniti masih rendah atas beberapa faktor seperti kos tambahan dan penyelenggaran yang tinggi. Purata ruang hijau di bandar utama Malaysia seperti Kuala Lumpur, hanyalah sekitar 12-meter persegi per kapita, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Kajian PLANMalaysia, dimana ia jauh lebih rendah berbanding saranan ideal 20-meter persegi di kawasan bandar yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kekurangan ini memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan mental, fizikal dan sosial masyarakat bandar.

Namun begitu, banyak lagi pembangunan yang digambarkan sebagai ‘hijau’ yang hanya menepati syarat minimum tanpa dapat menyelesaikan isu sosial, alam sekitar dan ketahanan bandar. Ini mencerminkan satu trend bahawa bangunan hijau tidak selalu bermaksud pembangunan mampan. Kekurangan dalam memberi impak sosial yang signifikan boleh menyebabkan jurang antara infrastruktur fizikal dan kesejahteraan komuniti semakin melebar.

Tanpa penyediaan ruang intraksi sosial, kemudahan awam inklusif, dan akses kepada perkhidmatan asas, bangunan hijau berisiko hanya menjadi ruang elit yang terasing daripada realiti kehidupan masyarakat setempat. Ini bukan sahaja menjejaskan integrasi sosial, tetapi juga boleh mengurangkan rasa memiliki dalam kalangan penduduk dan menimbulkan ketidakadilan bandar. Bagi mencapai pembangunan komuniti yang seimbang dan inklusif, aspek sosial perlu diberi keutamaan yang setara dengan prestasi teknikal dan alam sekitar dalam perancangan dan pelaksanaan bangunan hijau.

Potensi Inisiatif

Untuk memastikan inisiatif bangunan hijau bukan sekadar slogan untuk menarik perhatian, semua pihak, baik kerajaan, pemaju, akademik dan masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan strategik. Di pihak kerajaan, dasar yang lebih tegas perlu diperkenalkan termasuk mempeluaskan insentif fiskal yang telah diusahakan seperti potongan cukai, subsidi bahan binaan hijau dan pengurangan yuran pelan bangunan.

Selain itu, penilaian impak karbon dan sosial perlu diwajibkan dalam setiap kelulusan projek. Konsep Transit-Oriented Development (TOD) mesti diarusperdanakan dalam perancangan bandar. Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan mengalakkan penggunaan pengangkutan awam, pada masa sama meningkatkan akses sosial serta menjadikan persekitaran bandar lebih mampan dan inklusif.

Melalui industri pembinaan pula, pengunaan bahan binaan mampan dan teknologi seperti Teknik Pembinaan Volumetrik Prafebrikasi Prasiap (Prefabricated Prefinished Volumetric Construction – PPVC) dan Building Information Modelling (BIM) harus dipertingkatkan. Penilaian kitar hayat bangunan perlu dijadikan amalan utama. Reka bentuk bangunan juga perlu mengambil kira fungsi sosial, keselamatan serta akses awam bagi menyokong kesejahteraan komuniti. Selain itu, pihak industri digalakkan melabur dalam sistem pensijilan antarabangsa seperti Leadership in Energy and Environmental (LEED) atau EDGE bagi meningkatkan daya saing global.

Inisiatif seperti membangunkan konsep rantaian bekalan hijau yang mengutamakan pembekal dan logistik mesra alam juga perlu dipertingkatkan. Pemaju dan kontraktor utama digalakkan untuk menerapkan sistem pemantauan prestasi tenaga bangunan secara berterusan bagi memastikan objektif kelestarian dapat dicapai selepas pembinaan selesai. Perkongsian pintar antara agensi kerajaan seperti melalui program demostrasi teknologi hijau wajar diperluas untuk mempercepat adaptasi inovasi teknologi dalam industri.

Selain itu, institusi pendidikan juga diharap dapat menyumbang dalam aspek ilmu dan latihan bermula dari peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi. Di peringkat sekolah, kurikulum boleh dipertingkat dengan memperluas modul kesedaran alam sekitar dan kelestarian bangunan, termasuk aktiviti praktikal seperti kebun komuniti dan pengurusan sisa. Di peringkat menengah dan politeknik, latihan teknikal berkaitan teknologi hijau dan reka bentuk mampan perlu diperkenalkan.

Di peringkat universiti pula, penawaran kursus wajib berkaitan perubahan iklim, bangunan hijau dan reka bentuk bandar mampan harus dijadikan sebahagian daripada program-program kejuruteraan, teknologi, seni bina dan perancangan bandar. Kajian impak sebenar bangunan hijau terhadap komuniti harus dilaksanankan secara koloboratif bersama industri dan pihak berkuasa tempatan. Modul latihan professional dan garis panduan rekabentuk berdasarkan iklim serta konteks tempatan juga perlu dibangunkan dan disebarluas kepada pengamal industri dan pembuat dasar untuk memastikan pemindahan ilmu yang efektif dan berterusan.

Penglibatan masyarakat mahupun NGO, adalah penting dalam membentuk budaya kelestarian dari bawah. Antara inisiatif yang boleh digerakkan termasuklah penubuhan kumpulan komuniti hijau tempatan yang berdaftar bagi memantau dan memberi maklum balas terhadap pembangunan di kawasan meraka. NGO juga boleh bekerjasama dengan sekolah dan pihak berkuasa tempatan untuk menganjurkan bengkel dan kempen kesedaran tentang kepentingan ruang hijau sosial dan penggunaan tenaga lestari di rumah.

Selain itu, masyarakat boleh terlibat dalam program ‘adopt a park’ untuk menjaga taman komuniti untuk menwujudkan kebun bandar bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan kesejahteraan sosial. Menaiktaraf pengunaan platform digital seperti aplikasi aduan awam dan pemetaan ruang hijau juga dapat memperkuatkan suara rakyat dalam perancangan bandar yang inklusif. Inisiatif seperti ini dapat memberikan tekanan positif kepada pihak berkuasa untuk melaksananakan dasar yang lebih responsif terhadap keperluan komuniti.

Bangunan Hijau Medium Interaksi Sosial, Keterangkuman Dan Kesejahteraan Komuniti

Pembangunan hijau tidak boleh menjadi hak eksklusif pemaju besar atau projek mega. Ia mesti manjadi hak semua rakyat tanpa mengira latar belakang sosial atau ekonomi. Bangunan yang benar-benar hijau bukan sahaja mesra alam, tetapi turut mewujudkan ruang yang menyokong interaksi sosial, keterangkuman dan kesejateraan komuniti secara menyeluruh. Apa gunanya bangunan pencakar langit yang indah, jika ia menjadi sumber kesesakan, pencemaran atau pengasingan sosial?

Bangunan hijau sepatutnya menjadi medium penyatu yang bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, tetapi juga memperkukuhkan rasa memiliki dan kebersamaan antara manusia dan alam. Harapan komuniti adalah melihat pembangunan bandar yang tidak hanya efisen dari segi tenaga dan teknologi, tetapi juga membina sebuah masyarakat yang harmoni, inklusif dan berdaya tahan. Inilah masa untuk kita mengubah naratif bangunan hijau daripada sekadar simbol kepada satu gerakan transformasi sosial dan ekologi yang sebenar.

-- BERNAMA

Ts Dr Nurfadzillah Ishak ialah Pensyarah Kanan, Program Teknologi Pembinaan Bangunan, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Ts Dr Muhammad Azizi Azizan ialah Pensyarah Kanan, Program Kejuruteraan Teknologi Awam (Pembinaan), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)