Dalam kebanyakan perbincangan tentang keganasan rumah tangga, tumpuan sering terarah kepada penderaan fizikal seperti tumbukan, tendangan atau kekerasan yang meninggalkan kesan nyata pada tubuh mangsa. Namun, terdapat satu bentuk penderaan yang lebih sunyi, tidak kelihatan di mata kasar, tetapi memberi kesan yang sangat dalam terhadap jiwa dan kesihatan mental seseorang. Ia dikenali sebagai cold violence atau keganasan dingin yang merupakan sejenis penderaan emosi yang berlaku secara senyap tetapi berpanjangan.
Cold Violence: Keheningan yang Menghancurkan
Cold violence merujuk kepada tindakan yang disengajakan seperti mendiamkan pasangan tanpa sebab munasabah, enggan berkomunikasi, menjauhkan diri secara emosional, atau tidak memberi sebarang perhatian dan kasih sayang. Tingkah laku ini biasanya dilakukan berulang kali hingga menyebabkan pasangan terasa terasing, tidak dihargai, dan akhirnya membawa kepada tekanan emosi dan kemurungan. Malangnya, kerana ia tidak melibatkan luka fizikal atau jeritan, ia sering tidak diambil serius, bahkan oleh mangsa sendiri.
Fenomena ini tidak terhad kepada satu negara sahaja. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa satu daripada tiga wanita di seluruh dunia pernah mengalami keganasan rumah tangga dalam pelbagai bentuk, termasuk penderaan emosi dan psikologi. Statistik ini dipercayai lebih tinggi kerana ramai mangsa tidak melaporkan pengalaman mereka akibat rasa malu atau tidak menyedari bahawa apa yang dialami adalah sejenis penderaan.
WHO turut menyatakan bahawa penderaan emosi sering menjadi pencetus utama kepada kemurungan, kebimbangan melampau dan kes bunuh diri dalam kalangan wanita berkahwin.
Di Malaysia, situasinya juga membimbangkan. Menurut laporan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sekitar tahun 2020-2022, lebih 40 peratus aduan keganasan rumah tangga yang diterima melalui Talian Kasih 15999 melibatkan penderaan emosi atau psikologi. Sementara itu, kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2021 yang melibatkan 500 pasangan mendapati bahawa 57 peratus wanita dan 35 peratus lelaki pernah mengalami penderaan emosi daripada pasangan mereka.
Dalam satu kes di Selangor, seorang isteri dilaporkan telah dipulau oleh suaminya selama lebih enam bulan di mana dia tidak ditegur, tidak disentuh dan tidak diberi sebarang perhatian. Keadaan ini melarat hingga membawa kepada gangguan emosi kepada isteri yang memerlukan rawatan psikiatri. Hal ini menunjukkan bahawa cold violence bukan sekadar pergaduhan kecil, tetapi suatu bentuk keganasan senyap yang mampu meruntuhkan rumah tangga.
Penekanan Prinsip Kasih Sayang
Dalam Islam, hubungan antara suami dan isteri digariskan dengan prinsip kasih sayang, penghormatan dan komunikasi yang baik. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat 19 menyatakan: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik (ma’ruf).” Ini menunjukkan bahawa layanan penuh hikmah, kelembutan dan komunikasi yang membina adalah asas kepada kehidupan rumah tangga yang harmoni.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya.”(Riwayat Tirmizi). Kedua-dua dalil ini jelas menolak sebarang bentuk penderaan — termasuklah yang dilakukan secara diam dan halus — kerana ia bertentangan dengan konsep rahmah dan ta’awun dalam keluarga.
Dari sudut psikologi, cold violence boleh menyebabkan kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan mental mangsa. Antaranya termasuklah penurunan harga diri, kebimbangan berpanjangan, gangguan tidur dan kemurungan. Dalam jangka masa panjang, hubungan yang tidak sihat seperti ini boleh mempengaruhi anak-anak, menimbulkan konflik keluarga, serta menurunkan kualiti hidup secara keseluruhan.
Pakar psikologi mencadangkan agar pasangan yang mengalami masalah komunikasi dingin segera mendapatkan bantuan seperti sesi kaunseling perkahwinan, rawatan terapi individu, atau perundingan keluarga. Pengiktirafan awal terhadap penderaan emosi adalah kunci kepada pemulihan.
Pendidikan Rumah Tangga, Asas Kesejahteraan Sosial
Penyelesaian terhadap isu ini tidak hanya terletak pada aspek rawatan, tetapi juga pencegahan dan pendidikan. Islam misalnya, sangat menekankan komunikasi beradab (hiwar) dalam menyelesaikan konflik, serta amalan perbincangan bersama (musyawarah) dengan penuh hormat.
Sekiranya masalah berlarutan, pasangan dianjurkan untuk mendapatkan pandangan pihak ketiga yang adil dan dipercayai, termasuk ahli keluarga, tokoh agama atau kaunselor rumah tangga. Selain itu, penting juga untuk memperkukuh pendidikan rumah tangga dalam kursus pra-perkahwinan agar bakal pasangan sedar bahawa kasih sayang bukan hanya pada tindakan fizikal, tetapi juga pada komunikasi, keprihatinan dan kehadiran emosi.
Kesimpulannya, cold violence adalah sejenis penderaan yang tidak kurang bahayanya berbanding keganasan fizikal. Ia boleh berlaku dalam diam tetapi kesannya cukup besar untuk meretakkan hubungan, meruntuhkan emosi, dan menghancurkan institusi keluarga.
Masyarakat perlu lebih peka terhadap isu ini dan tidak lagi menganggapnya sebagai perkara kecil atau lumrah dalam rumah tangga. Dengan kesedaran, sokongan psikologi dan bimbingan berteraskan nilai-nilai kerohanian, rumah tangga yang retak dapat diselamatkan sebelum roboh sepenuhnya.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor ialah Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan merangkap Felo Bersekutu di Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia.