Oleh Prof Madya Dr Raja Zuraidah Rasi dan Mohd Nizam Daut
Kualiti serta keluasan jaringan rel nasional sangat mempengaruhi pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kekuatan hubungan sosial dan masyarakat sesebuah negara.
Projek East Coast Rail Link (ECRL) adalah salah satu projek pembangunan rel atau landasan kereta api yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Projek pembangunan rel ini bukan sahaja selari dengan trend global dalam pembangunan infrastruktur rel tetapi juga mencerminkan kepentingan pengangkutan rel dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Kepentingan pembangunan rel sesebuah negara boleh dilihat secara umum iaitu majoriti negara-negara di seluruh dunia memberi keutamaan perancangan dan pembangunan infrastruktur rel masing-masing. Vietnam telah mengumumkan rancangan untuk membina laluan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Hanoi dan Ho Chi Minh City menjelang 2035 dengan kos dianggarkan bernilai USD 67 bilion. Projek ini adalah sebahagian daripada pelan naik taraf sistem rel utara-selatan negara tersebut. Amerika Syarikat juga merancang beberapa projek rel berkelajuan tinggi, dengan sekurang-kurangnya lima laluan sedang dicadangkan untuk pembangunan pada masa hadapan.
ECRL: Mamacu Ekonomi, Perkukuh Infrastruktur, Sokong Konsep Bandar Hijau
Di Malaysia, projek laluan rel Pantai Timur ini dijangka akan mula beroperasi pada 2027 akan datang. Pembinaan ECRL dilihat bukan sekadar soal meningkatkan sistem pengangkutan atau meningkatkan kesalinghubungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, malah merupakan strategi menyeluruh untuk memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh infrastruktur masa depan, dan memastikan pembangunan negara yang mampan. Dengan panjang keseluruhan 665 km, ECRL dijangka berfungsi sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh rantaian bekalan serta dapat menghubungkan kawasan perindustrian utama dan membuka peluang baharu bagi pelbagai sektor industri, terutama bagi negeri di dalam jajarannya iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Projek ECRL memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pergerakan penumpang dan kargo antara Pantai Timur dan Pantai Barat. Dengan adanya sistem rel ini, masa perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dapat dikurangkan daripada lapan hingga 12 jam melalui jalan darat kepada hanya empat jam. Ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kecekapan perjalanan, tetapi juga menyediakan alternatif yang lebih cekap untuk penghantaran kargo. Sambungan ECRL dengan Pelabuhan Klang juga akan mempercepatkan perdagangan dan pengedaran barangan antara Pantai Timur dan Pantai Barat, sekali gus mengukuhkan daya saing ekonomi negara.
ECRL juga dilihat dapat membantu mengurangkan pergantungan kepada pengangkutan jalan raya. Peralihan pengguna jalan raya kepada pengangkutan rel, secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO₂) negara. Sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurangan jejak karbon. Pembangunan infrastruktur rel seperti ECRL juga menyokong konsep bandar hijau, yang mana kawasan sekitar stesen dapat berkembang dengan lebih mampan.
Selain itu, peralihan kepada sistem rel, juga dapat mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Timur (LPT), menjadikan perjalanan lebih lancar. Malah pengangkutan rel secara statistiknya lebih selamat berbanding pengangkutan jalan raya. Jika dikaji statistik kemalangan jalan raya di Malaysia, setiap tahun terdapat peningkatan bilangan kemalangan yang berlaku. Infrastruktur rel yang kukuh dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian yang tinggi akibat kemalangan jalan raya. Selain itu, pengangkutan rel kurang terjejas oleh keadaan cuaca buruk berbanding kenderaan darat dan udara, menjadikannya pilihan yang lebih boleh dipercayai untuk penumpang serta barangan.
Dari sudut ekonomi, ECRL berpotensi merangsang pelaburan dan perdagangan di sepanjang laluannya. Dengan akses yang lebih baik, kawasan luar bandar dan bandar kecil di Pantai Timur akan menjadi lebih menarik bagi pelabur untuk membangunkan perniagaan, perindustrian dan hartanah. Selain itu, pembinaan dan operasi ECRL akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti kejuruteraan, pengangkutan, logistik, dan pelancongan. Infrastruktur yang lebih baik ini juga akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan dengan memudahkan akses ke destinasi popular seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang dan bandar-bandar warisan di Pantai Timur.
Lebih daripada sekadar aspek ekonomi dan pengangkutan, ECRL juga memberi impak positif kepada kehidupan sosial masyarakat. Akses yang lebih mudah ke bandar-bandar utama membolehkan lebih ramai penduduk luar bandar menikmati kemudahan kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan yang lebih baik. Selain itu, ia juga menggalakkan interaksi sosial antara komuniti berbeza di seluruh negara, sekali gus memperkukuhkan hubungan masyarakat dan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat akses kepada kemudahan moden. Dengan mobiliti yang lebih baik, masyarakat juga berpeluang untuk meneroka lebih banyak peluang kehidupan yang sebelum ini sukar dicapai.
Secara keseluruhannya, ECRL bukan sahaja sebuah projek infrastruktur, tetapi juga pemangkin transformasi ekonomi yang berpotensi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan meningkatkan daya saing industri Malaysia di peringkat global.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr Raja Zuraidah Rasi ialah Ketua Pusat Penyelidikan Perkhidmatan dan pegurusan Operasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Mohd Nizam Daut ialah Pengurus Projek East Coast Rail Link (ECRL) Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.