KETAMADUNAN

Peranan Ulama Di Era Pasca Normal

31/07/2025 12:30 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Senator Dr Zulkifli Hasan

Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2025 yang dihadiri lebih 103 pondok dari seluruh Malaysia baru-baru ini merupakan satu petunjuk positif kepada perkembangan gandingan ulama dan umara’ di Malaysia.

Resolusi UMRAN 2024 merumuskan bahawa ulama memainkan peranan aktif menyuburkan pendekatan dakwah bil hikmah ke arah pembinaan dan pembangunan negara dan mengekang sebarang usaha yang boleh mengganggu keamanan, kestabilan dan perpaduan.

YAB Perdana Menteri sendiri semasa majlis Malaysia bermunajat dan meraikan ulama-ulama yang hadir menyatakan betapa penting peranan ulama dalam memberi pencerahan kepada rakyat agar segala usaha pembaharuan dapat digerakkan dengan berlandaskan ilmu, akhlak dan hikmah.

Peranan Ulama pasca normal

Berdasarkan kepada perkembangan semasa dan peredaran zaman, penulis berhasrat untuk mengetengahkan peranan ulama di era pasca normal dalam konteks negara bangsa (Ulama yang dimaksudkan di sini merujuk kepada golongan yang memiliki pengetahuan dan keahlian dalam bidang agama).

Era pasca normal yang penuh dengan keberantakan (chaos), kerumitan (complexity) dan pertentangan (contradiction) ini menuntut peranan ulama yang lebih menyeluruh dan terkehadapan.

Bukan itu sahaja, berbanding dengan era sebelum ini, krisis dan cabaran yang dihadapi di era pasca normal juga adalah berskala besar, cakupan yang luas, berlaku dengan pantas dan serentak. Ulama perlu memainkan peranan yang lebih efisyen dan strategik bagi menangani realiti baharu ini.

Peranan Intelektual

Ali Shariati menerusi karyanya bertajuk What is to be done, the Enlightened Thinkers and An Islamic Renaissance menggariskan peranan intelektual termasuk ulama membantu membangunkan masyarakat agar berkembang dan maju secara seimbang.

Peranan ulama adalah sangat signifikan dan mencabar terutamanya apabila mendepani realiti dunia pasca normal pada hari ini. Ulama perlu terlibat secara langsung dengan masyarakat dan merasai denyut nadi rakyat agar dapat menawarkan penyelesaian sebaiknya.

Institusi ulama penting dalam masyarakat

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ulama merupakan institusi yang sangat penting dalam masyarakat. Ulama menjadi jambatan dan penghubung antara umara’ atau pemerintah dan rakyat.

Ulama berperanan menasihat dan memberi bimbingan kepada pemerintah dan pemimpin tanpa takut mahupun untuk mendapat laba dan habuan dunia. Ulama adalah obor kepada pemerintah dan masyarakat berperanan memberi pencerahan dan pencerdasan ke arah kebaikan dan kemaslahatan.

Umumnya, ulama berperanan untuk melakukan islah atau menerajui perubahan. Perkataan seperti resurgence, revivalism atau sahwah (kebangkitan), renaissance atau nahda (pembaharuan), ihya (menghidupkan), tanmiya (pembangunan), tahrir (pembebasan), taghyir (perubahan) dan tanwir (pencerahan) adalah antara istilah yang berkait rapat dengan islah.

Keperluan melakukan islah ini dirakamkan oleh Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali”. (Surah Hud: 88).

Antara peranan utama ulama adalah untuk mencetuskan kesedaran agar ruh ajaran al-Quran dan al-Sunnah diamalkan dalam kehidupan, menegakkan keadilan dan terlibat secara langsung dengan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan yang seimbang.

Adalah menjadi peranan ulama untuk membentuk pemikiran masyarakat yang berjiwakan al-Quran dan al-Sunnah. Kekuatan intelektual tanpa sentuhan al-Quran dan al-Sunnah hanya akan melahirkan insan yang kosong jiwanya dan tidak seimbang emosi, rohani, intelektual dan jasmaninya.

Peranan ulama pada hari ini ialah menghadirkan ‘Tuhan’ dalam sistem kehidupan. Dalam erti kata lain dimensi Tawhid ini mengangkat karamah insaniah dan berperanan menegakkan prinsip-prinsip keadilan, etika dan moral dalam sistem kehidupan.

Paradigma Tawhid ini dijadikan asas dan dasar dalam membentuk sudut pandangan dan pemahaman terhadap sistem ekonomi, politik, sosial, budaya dan lain-lain. Dengan memahami Tauhid, masyarakat akan lebih cenderung kepada kebaikan dan mampu mewujudkan keseimbangan menerusi pengintegrasian ilmu dan amal.

Ulama juga berperanan untuk mengangkat tema kesejagatan Islam. Apa sahaja usaha, idea dan pemikiran, ia mesti memenuhi ciri kesejagatan ini. Antara ciri unggul Islam itu sendiri ialah bersifat ‘sejagat’ atau rahmah alamiah kepada seantero alam.

Kualiti kesejagatan yang ada pada Islam ini yang menjadi asas kepada ciri keterangkuman di mana Islam meraikan keunikan kelainan budaya, perbezaan tradisi, kepelbagaian bahasa dan ketinggian tamadun. Nilai kesejagatan dalam Islam ini menjadikan ia relevan dan bersesuaian dengan kehidupan manusia pada setiap masa tempat dan kelainan bangsa serta budaya.

Kecerdasan buatan dan perkembangan dunia digital bersama ulama

Seiring dengan kemajuan sains dan teknologi yang mempengaruhi kehidupan manusia seperti integrasi ruang siber dan fizikal, kecerdasan buatan dan perkembangan dunia digital, keadaan ini menjadi cabaran dan realiti baharu kepada ulama.

Perkembangan terkini menunjukkan pelbagai isu dan permasalahan sosial timbul kesan daripada penggunaan teknologi yang tidak terkawal dan beretika seperti kesihatan mental.

Sehubungan itu, ulama mempunyai tanggungjawab dan berperanan untuk membimbing dan memberikan pedoman kepada masyarakat bagi berinteraksi dengan teknologi secara berhikmah. Perkara ini menuntut ulama untuk mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran serta membiasakan dengan teknologi terkini.

Ekstremisme semakin berleluasa dan wasatiyah

Melihatkan perkembangan ekstremisme dan gejala ghuluw (melampau) yang semakin berleluasa, ulama berperanan menyuburkan pendekatan dan amalan wasatiyah (kesederhanaan).

Ulama mesti bertindak secara pro-aktif bagi memastikan pendekatan wasatiyah ini diarusperdanakan secara menyeluruh dan diamalkan oleh masyarakat. Manifestasi wasatiyah ini bukan sahaja dituntut dalam bentuk individu tetapi mewujudkan masyarakat secara kolektif yang mengamalkan wasatiyah.

Ini bermakna Islam menuntut masyarakat menjadikan pendekatan wasatiyah sebagai budaya dan amalan dalam kehidupan. Bagi maksud ini, ulama diharapkan menjadi peneraju dan pemangkin bagi membudayakan dan menyerapkan amalan wasatiyah dalam masyarakat.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud "Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi." (Riwayat Ahmad). Hadis ini adalah satu pengiktirafan dan juga amanah kepada golongan ulama mengenai peranan mereka dalam masyarakat dan terhadap umara’ atau pemerintah.

Sejarah telah membuktikan bahawa para ulama sentiasa berada di hadapan untuk menasihat pemerintah dan memimpin umat. Gandingan ulama dan umara’ menatijahkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Perkukuh gandingan ulama dan umara’

Sudah sampai masanya Malaysia memperkukuhkan lagi gandingan ulama dan umara’ ini bagi mendepani cabaran dan realiti baharu era pasca normal yang serba mencabar.

Kerajaan Madani telah membuktikan usaha dan azam meraikan dan mendekati ulama melalui pelbagai platform dan pendekatan.

Begitu ramai ulama tersohor dari seluruh dunia seperti Syeikh al-Azhar Mohammad Ahmad Tayyib, Syeikh Ali Al-Qaradaghi, Syeikh Ali Jum’ah, Syeikh Abu Bakar, Syeikh Yasir Qadhi, Syeikh Omar Sulaiman, Syeikh Abdul Hakim Murad, Maulana Tariq Jameel dan ramai lagi mengunjungi Malaysia dan menyampaikan tawsiyah, bimbingan dan nasihat yang sangat bermakna kepada kita semua. Usaha ini mesti diteruskan dan perlu mendapat sokongan rakyat Malaysia. Malaysia Madani, ulama dan umara’ berpisah tiada.

-- BERNAMA

Senator Dr Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)