Cadangan untuk meningkatkan umur persaraan kakitangan kerajaan di Malaysia daripada 60 kepada 65 tahun telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.
Ada yang menyambut baik dengan harapan dapat terus menyumbang kepada negara, manakala sebahagian lagi khuatir ia mungkin menutup peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Sehinggakan ada banyak parodi yang dibuat di media sosial yang mengolok-ngolokkan golongan yang memilih untuk bersara lebih lewat.
Persoalannya, apakah kita benar-benar bersedia untuk mengikuti jejak negara-negara lain yang telah lama menetapkan umur persaraan lebih tinggi?
Kalau ditelusuri di peringkat global, umur persaraan berbeza-beza bergantung kepada perundangan, dasar sosial, ekonomi dan kesihatan awam sesebuah negara.
Data OECD
Menurut data dari Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), majoriti negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Amerika Syarikat menetapkan umur persaraan rasmi sekitar 65 tahun.
Malah di beberapa negara seperti Iceland dan Norway, umur persaraan fleksibel dan boleh dilanjutkan sehingga 67 tahun, bergantung kepada kesihatan dan kemampuan individu.
Dalam kalangan negara ASEAN pula, Malaysia kini berada di peringkat pertengahan. Thailand menetapkan umur persaraan pada 60 tahun, Indonesia 58 tahun (dengan rancangan untuk naik ke 65 secara berperingkat sejak zaman pemerintahan Presiden Joko Widodo).
Manakala Singapura telah mula menaikkan umur persaraan wajib kepada 63 tahun pada 2022 dan akan meningkat lagi ke 65 menjelang 2030.
Melihat kepada trend ini, Malaysia bukanlah perlu tergesa-gesa jika ingin mempertimbangkan had umur persaraan kepada 65 tahun.
Melihat kepada golongan yang kelihatan menyokong kenaikan had umur persaraan ini, pada mereka usia 60 kini bukan lagi dianggap ‘tua’ dari sudut keupayaan bekerja.
Statistik Perangkaan Malaysia
Apatah lagi, berdasarkan statistik daripada Perangkaan Malaysia, peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia kini meningkat kepada purata lebih 75 tahun.
Kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan bahawa ramai pesara masih sihat dan produktif, tetapi tidak lagi mempunyai akses kepada pekerjaan tetap.
Keadaan ini menyebabkan mereka beralih kepada kerja-kerja sambilan atau tidak formal demi menampung kehidupan, terutama dalam suasana kos sara hidup yang kian meningkat.
Selain itu, penangguhan persaraan kepada usia 65 tahun juga dapat membantu menampung keperluan sumber manusia dalam sektor awam yang semakin mencabar, khususnya dalam bidang kritikal seperti pendidikan, kesihatan, dan keselamatan.
Bayangkan seorang doktor pakar yang telah berkhidmat selama 30 tahun, namun terpaksa bersara walaupun kepakarannya masih diperlukan dan kesihatannya baik. Bukankah itu satu pembaziran sumber?
Dari sudut ekonomi pula, penangguhan persaraan bermakna kerajaan dapat menangguhkan pembayaran pencen sepenuh masa dan memperoleh tenaga kerja berpengalaman untuk tempoh lebih lama.
Ini penting memandangkan jumlah pesara kerajaan semakin meningkat. Misalnya, pada tahun 2023, terdapat lebih 900,000 pesara dan angka ini dijangka melepasi satu juta menjelang 2026.
Dalam satu laporan oleh Bank Dunia, negara-negara yang menaikkan umur persaraan menunjukkan kestabilan kewangan jangka panjang yang lebih kukuh kerana ia mengurangkan tekanan ke atas dana pencen dan sosial.
Kadar Pengangguran
Namun begitu, isu ini juga perlu diteliti dari sudut sosiologi. Ada kebimbangan bahawa peluang pekerjaan untuk graduan muda akan semakin sempit jika ramai yang tidak bersara pada usia 60 tahun.
Dilaporkan bahawa kadar pengangguran belia Malaysia pada 2024 kekal tinggi iaitu 10.4 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 24 tahun, dan 6.2 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 30 tahun.
Ini bermakna, cadangan menaikkan umur persaraan hanya akan menyempitkan lagi peluang pekerjaan kepada golongan muda, termasuk wanita muda yang masih berusaha membina kehidupan dan kestabilan kewangan.
Begitupun, menurut satu kajian sosial oleh Universiti Malaya pada tahun 2021, faktor yang lebih besar menyumbang kepada pengangguran graduan ialah ketidaksesuaian kemahiran, bukan semata-mata kekurangan peluang.
Di sinilah perlunya keseimbangan bukan sekadar menangguhkan persaraan, tetapi juga merancang penempatan semula, pengkhususan tugas, dan program mentor-mentee antara generasi muda dan pekerja senior.
Di sisi pandang agama Islam terhadap isu umur persaraan ini, tiadalah satu ketetapan akan angka umur yang khusus. Sebaliknya, Islam memberi penekanan kepada kemampuan, keikhlasan dan kesungguhan seseorang dalam bekerja.
Dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan tentang Nabi Musa yang dicadangkan sebagai pekerja kerana beliau kuat dan amanah, mafhum-Nya: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas ayat 26).
Ini menunjukkan bahawa selagi seseorang itu masih berupaya dan berintegriti, dia masih boleh menyumbang kepada masyarakat. Nabi Muhammad SAW sendiri berdakwah dan memimpin umat sehingga usia lebih 60 tahun.
Para sahabat seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman juga memikul amanah negara ketika usia lanjut. Dalam Islam, usia bukanlah penghalang selagi akal dan tubuh masih sihat.
Dari perspektif nilai sosial, membenarkan mereka yang ingin terus bekerja sehingga usia 65 juga adalah satu bentuk penghormatan kepada pengalaman dan sumbangan mereka.
Ramai warga emas yang merasakan mereka masih mampu menyumbang tetapi sering dipinggirkan oleh sistem.
Dengan memberi ruang lanjutan bekerja secara sukarela atau kontrak pasca-persaraan, kita dapat membina masyarakat yang inklusif dan memanfaatkan nilai-nilai generasi terdahulu.
Pelaksanaan Berstruktur, Bukan Semberono
Namun, pelaksanaan kenaikan umur persaraan ini tidak boleh dibuat secara semberono.
Ia perlu disertakan dengan syarat-syarat penilaian kesihatan berkala, prestasi kerja, dan pilihan untuk bersara lebih awal bagi mereka yang tidak mahu atau tidak mampu meneruskan perkhidmatan.
Kerajaan juga boleh mencontohi negara seperti Jepun yang menyediakan laluan fleksibel di mana pesara boleh memilih untuk bekerja secara sambilan atau dalam kapasiti bukan pentadbiran.
Menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun bukanlah satu paksaan, tetapi peluang untuk membina masa depan yang lebih seimbang antara generasi, menjimatkan sumber negara, dan menghormati warga kerja yang telah lama menyumbang.
Dalam masa yang sama ia perlu diimbangkan dengan keperluan golongan muda terutamanya graduan universiti yang turut memerlukan ruang untuk berkerjaya dan memulakan kehidupan mereka selepas tamat pengajian.
Apa yang penting ialah pelaksanaannya dilakukan secara adil, saksama dan disertai dengan sokongan polisi yang menyeluruh.
Sesungguhnya, pengalaman itu tidak dapat dibeli, dan dalam membina negara, kita memerlukan tenaga muda yang bertenaga serta diimbangkan dengan kebijaksanaan warga tua yang berjiwa besar.
Bak kata peribahasa Melayu, 'bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak'.
--BERNAMA
Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor ialah Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.