Pada era digital masa kini, masyarakat bukan lagi berhadapan dengan kekurangan maklumat, sebaliknya dibanjiri data tanpa sempadan. Maklumat datang dari pelbagai sumber sama ada rasmi, tidak rasmi, sahih, separa benar, atau rekaan semata-mata. Akibatnya, masyarakat berhadapan dengan satu fenomena yang semakin membarah iaitu Infodemic. Istilah infodemic merupakan gabungan ‘information’ dan ‘epidemic’, diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semasa pandemik COVID-19. Ia merujuk kepada situasi lambakan maklumat yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat untuk membezakan antara fakta dan fitnah. Namun kesannya bukan terhad kepada komunikasi semata, tetapi telah meresap ke dalam aspek psikologi, sosial dan emosi masyarakat moden.
Tekanan Memenuhi Gaya Hidup Ideal
Di Malaysia, infodemic semakin ketara kesannya apabila penggunaan media sosial yang tinggi, terutama dalam kalangan remaja dan golongan berpendapatan rendah, dikaitkan dengan tekanan emosi yang serius. Kajian dan laporan tempatan menunjukkan bahawa ramai pengguna muda mengalami tekanan untuk memenuhi gaya hidup ideal seperti yang sering dipaparkan di media sosial. Kehidupan yang tampak sempurna, wajah yang sentiasa menarik, pencapaian yang gah, dan hubungan sosial yang kelihatan ideal semuanya mewujudkan satu bentuk perbandingan toksik yang mencetuskan perasaan tidak cukup baik, tidak relevan, dan sering tertinggal. Fenomena ini melahirkan tekanan sosial yang dikenali sebagai fear of missing out (FOMO), kegelisahan yang kronik dalam kes tertentu dan kemurungan yang tidak disedari.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila remaja menjadikan media sosial sebagai medium utama untuk meluahkan emosi, mencari identiti dan mendapatkan sokongan moral. Persidangan ASEAN sebelum ini telah menjelaskan bahawa generasi muda kini lebih terbuka menyuarakan perasaan mereka di ruang digital, yang dilihat sebagai ruang bebas dan mudah diakses. Namun, tanpa panduan literasi digital yang mencukupi, mereka mudah terdedah kepada nasihat yang menyesatkan, normalisasi tekanan hidup yang melampau, serta kandungan yang menolak sempadan realiti. Media sosial telah menjadi ruang yang mengaburkan batas antara ekspresi peribadi dan gangguan emosi. Ia membina satu ekosistem yang terlalu terbuka, namun sering kali tanpa empati, dan akhirnya memerangkap pengguna dalam kebisingan digital yang membebankan minda.
Risiko Kesihatan Mental
Kajian serantau dan tempatan mengesahkan bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan meningkatkan risiko kepada kesihatan mental. Di Singapura, kajian oleh Today Online pada tahun 2023 mendapati bahawa belia yang menggunakan media sosial melebihi tiga jam sehari berisiko tinggi mengalami kemurungan dan tekanan emosi. Sementara itu, kajian tempatan ke atas pelajar perubatan menunjukkan bahawa hampir 40 peratus daripada mereka yang menggunakan media sosial lebih lima jam sehari menunjukkan simptom kebimbangan, manakala satu pertiga daripadanya mengalami kemurungan. Penggunaan telefon pintar sebelum tidur turut menjejaskan kualiti tidur dan kesihatan emosi secara keseluruhan, yang akhirnya menjejaskan fungsi kognitif serta kecekapan membuat keputusan harian.
Salah satu punca utama kepada tekanan ini ialah algoritma media sosial yang dibina untuk memaksimumkan penglibatan pengguna. Sistem ini secara halus mengatur kandungan yang ditonton agar sejajar dengan minat pengguna, lalu membentuk gelembung maklumat yang sempit dan tidak seimbang. Kandungan yang mendapat perhatian biasanya bukan yang mendidik atau berinformasi, tetapi yang sensasi, kontroversi dan terlalu ideal. Apabila pengguna terus terdedah kepada gambaran hidup yang sempurna dan kejayaan luar biasa, mereka mudah merasa gagal, lemah dan tidak berharga. Dalam jangka panjang, keadaan ini mewujudkan keresahan dalaman, keletihan emosi, serta kebergantungan terhadap pengesahan digital dalam bentuk ‘like’ dan ‘share’.
Infodemic turut mencetuskan peningkatan kes buli siber, satu fenomena membimbangkan dalam kalangan generasi muda. Statistik menunjukkan lebih 13% pelajar sekolah menengah di Malaysia pernah menjadi mangsa buli digital, yang memberi kesan psikologi serius termasuk kemurungan serta kecenderungan mencederakan diri. Tragedi menyayat hati melibatkan personaliti media sosial, Rajeswary Appahu yang menamatkan riwayatnya akibat tekanan buli siber telah menggemparkan masyarakat dan mencetus desakan terhadap pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat. Hasil daripada kesedaran awam yang meningkat, “Esha Clause” diperkenalkan dalam Kanun Keseksaan bagi mengetatkan hukuman terhadap pelaku buli digital. Perkembangan ini membuktikan bahawa kesan infodemic bukan hanya bersifat maya, tetapi mampu mengancam nyawa serta keselamatan rakyat secara nyata.
Namun begitu, tidak semua tentang media sosial adalah negatif. Platform digital juga membuka ruang penting untuk menyebar kesedaran kesihatan mental, menghubungkan individu yang terpinggir kepada sumber sokongan, serta membina komuniti yang saling membantu. Kempen seperti #LetsTalkMind dan Digital Citizenship Malaysia menunjukkan bahawa apabila digunakan secara bijak, media sosial boleh menjadi alat pemulihan yang kuat dan berpengaruh. Ia boleh mendidik masyarakat untuk lebih prihatin, terbuka berbincang tentang isu emosi dan membentuk budaya sokongan yang lebih inklusif.
Literasi Digital
Bagi menghadapi infodemic dengan berkesan, masyarakat perlu dilengkapi dengan kemahiran literasi digital yang kukuh sejak usia muda. Institusi pendidikan, keluarga dan pembuat dasar harus berganding bahu memperkukuh keupayaan generasi kini untuk menilai, menyaring dan memahami maklumat dengan bijak. Pada masa yang sama, platform media sosial juga perlu lebih bertanggungjawab dalam membendung penyebaran maklumat palsu dan mewujudkan sistem semakan fakta yang lebih berkesan. Di samping itu, pendekatan rawatan psikososial perlu diperluaskan, terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti belia dan komuniti B40. Individu juga harus mula memberi ruang untuk diri sendiri berehat daripada dunia digital dengan mengamalkan detoks media secara berkala dan kembali kepada interaksi sosial yang lebih tulen dan bermakna.
Natijah daripada fenomena infodemic ini bukan sekadar menunjukkan kelemahan dalam teknologi maklumat atau komunikasi, tetapi mendedahkan krisis psikologi dan sosial yang semakin meruncing serta perlu ditangani secara menyeluruh. Dalam dunia yang sarat dengan gangguan, ilusi dan pencitraan digital, kekuatan mental, kecekapan berfikir dan kesedaran siber menjadi kunci untuk kita kekal waras, matang dan sejahtera. Hanya dengan kolaborasi erat antara individu, institusi dan negara, kita mampu membina masyarakat digital yang sihat, celik maklumat, serta berdaya tahan dalam mendepani cabaran maklumat abad ke-21.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)