NOTA KAMPUS

Pembelajaran TVET Digital Mampu Tingkat Kompetensi Pelajar

05/08/2025 04:34 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Ts Dr Affero Ismail

Pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah menyaksikan pelbagai transformasi signifikan, khususnya sepanjang dekad ini. Kemunculan teknologi baharu seperti Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR), Mixed Reality (MR) dan Artificial Intelligence (AI) membuka ruang pembelajaran yang lebih luas, interaktif serta menyokong pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Perkembangan teknologi dalam kehidupan kita ini telah menimbulkan pelbagai persoalan seperti keupayaan pedagogi pada masa sekarang untuk menyokong pembelajaran pelajar dan sejauh mana keberkesanan kaedah konvensional dalam penyampaian kurikulum terutamanya dalam bidang TVET.

Seperti sedia maklum, pelaburan dalam sektor pendidikan digital memerlukan kos yang tinggi serta perhatian yang utama daripada pihak kerajaan. Inisiatif ini seharusnya menyokong kepada aspirasi dan matlamat negara dalam usaha menjadi peneraju ekonomi digital. Kerajaan Malaysia sangat komited dalam menjadikan Malaysia sebagai hab digital di Rantau Asia. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah meluluskan pelaburan bernilai RM114.7 bilion dalam pusat data (data centre) dan perkhidmatan awan (clould servives) antara tahun 2021 hingga 2023. Pelaburan ini telah mewujudkan 2,325 pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang kepakaran seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber, dan jurutera rangkaian.

Bagi memenuhi objektif pembelajaran dan keperluan pelajar pada masa kini, institusi TVET perlu proaktif dan inovatif dalam menyediakan kaedah pembelajaran yang terkini dan menarik. Generasi pada hari ini yang lahir dalam era digital amat celik digital, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), teknologi; malahan peranti digital telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Walaupun penggunaan skrin (screen time) sering dikaitkan dengan aktiviti seperti permainan, media sosial dan tontonan video, peranti ini sebenarnya berpotensi dijadikan alat pendidikan yang efektif. Maka, kita perlu akur terhadap perubahan semasa dan menjadikannya sebagai peluang untuk menyampaikan pendidikan secara lebih relevan dan holistik.

TVET: Nadi Utama Pembelajaran Masa Depan

Penyampaian ilmu dalam pendidikan merangkumi konteks formal, bukan formal dan informal, yang masing-masing mempunyai kaedah dan pendekatan tersendiri. Melalui teknologi pendidikan, pelajar mampu meneroka pembelajaran secara mendalam melalui persekitaran yang lebih menarik. Apabila wujud kekangan dari segi lokasi, masa dan kandungan, transformasi digital menjadi pemangkin kepada perubahan landskap pembelajaran. TVET digital bukan sahaja relevan malah berpotensi menjadi nadi utama pembelajaran masa depan. Persoalan yang timbul adalah sejauh mana kita bersedia untuk beralih kepada paradigma baharu ini?

Pendekatan TVET digital menekankan pembelajaran berpusatkan pelajar (student-centered learning). Kandungan digital bersifat ‘learner-designed,’ direka bentuk untuk memenuhi keperluan pelbagai gaya pembelajaran, sama ada membaca, menonton visual, mendengar audio atau menjalani latihan praktikal. Teknologi membantu pengajar mencipta suasana pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan. Namun, cabaran seperti keterbatasan fasiliti dan kandungan yang tidak sejajar dengan keperluan industri masih wujud. Apakah kaedah yang terbaik bagi mengatasi masalah ini?

Dari sudut pedagogi, aplikasi digital yang dibangunkan perlu merangkumi tiga domain utama hasil pembelajaran yang saling melengkapi. Dalam domain kognitif, pelajar memperoleh pemahaman konsep yang lebih mendalam melalui pendekatan visual dan interaktif, sekali gus memperkukuh penguasaan teori. Domain psikomotor pula membolehkan pelajar mengasah kemahiran teknikal secara aktif menerusi simulasi praktikal yang menyerupai keadaan sebenar, menjadikan proses latihan lebih efisien dan selamat. Sementara itu, domain afektif menyumbang kepada peningkatan motivasi dan keyakinan pelajar melalui penglibatan kendiri yang memberi mereka kawalan terhadap proses pembelajaran.

Gabungan ketiga-tiga domain ini secara keseluruhan menyokong pembentukan pelajar yang lebih kompeten, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran industri. Di samping itu, terdapat pelbagai platform TVET digital yang boleh dimanfaatkan, menawarkan sumber pembelajaran moden dan fleksibel untuk tenaga pengajar serta pelajar TVET. Platform ini secara umumnya membolehkan pelajar menjalankan simulasi pemasangan alatan kerja secara maya sebelum melaksanakan latihan amali sebenar. Dengan kelebihan untuk mengulang aktiviti amali sehingga mahir, pelajar dapat meneroka kandungan yang lebih kompleks secara kendiri, menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan menjimatkan masa.

Pendekatan ini turut menyokong prinsip akses pendidikan yang saksama, di mana pelajar dari kawasan luar bandar dan golongan berkeperluan kini berpeluang mengikuti latihan TVET berkualiti tanpa kekangan geografi dan kos. Penggunaan teknologi pembelajaran TVET digital membolehkan proses latihan dijalankan tanpa perlu membawa peralatan berat ke kawasan pedalaman, sekali gus mengurangkan beban kewangan kedua-dua pihak sama ada dari pihak institusi dan pelajar. Pelaburan dalam bidang pendidikan untuk generasi masa hadapan merupakan aset penting negara dalam membentuk masyarakat yang celik ilmu dan kompeten, khususnya dalam bidang TVET.

Seiring dengan aspirasi kerajaan Malaysia, TVET digital memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang mampan, inklusif dan responsif terhadap keperluan industri masa kini. Justeru, aplikasi TVET digital seperti AR, VR, MR dan platform pembelajaran digital 3D wajar diintegrasikan secara komprehensif dalam kurikulum TVET nasional. Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 iaitu Pendidikan Berkualiti, integrasi aplikasi TVET digital memperkukuh pedagogi yang bersifat inklusif, fleksibel dan lestari.

Pendigitalan kandungan TVET bukan sahaja memudahkan proses pengajaran dan penilaian, malah mempercepatkan proses penyampaian maklumat dan kemahiran secara konsisten di seluruh negara. Kerjasama antara institusi pendidikan, pihak industri dan pembuat dasar perlu diperkukuh bagi memastikan transformasi pendidikan TVET negara terus relevan, kompetitif dan berimpak tinggi.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Dr Affero Ismail , Jabatan Pendidikan Vokasional Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) atau Email: affero@uthm.edu.my

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)