Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memacu inisiatif pengantarabangsaan pendidikan tinggi menerusi penyertaan pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) dalam program berprestij Erasmus+ K171 Staff Mobility for Teaching and Training di University of Seville, Sepanyol pada Mei lepas.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen UPM memastikan kecemerlangan akademik bertaraf global, khususnya dalam bidang psikologi pendidikan selari dengan kerangka kolaborasi menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada tahun 2023 dengan University of Seville.
Selain penulis, program ini disertai Dr Nor Aimi Nasuha Burhanuddin, Pensyarah Kanan merangkap Penyelaras Program Mobiliti FPP. Kami mempunyai kepakaran dalam bidang Psikologi Pendidikan khususnya dalam aspek kesejahteraan pelajar, pembangunan kendiri, sokongan emosi, pembelajaran berpusatkan pelajar, di samping aspek bimbingan dan pementoran.
Program Erasmus+
Program Erasmus+ merupakan inisiatif utama Kesatuan Eropah di bidang pendidikan, latihan, belia dan sukan dengan tujuan menyokong mobiliti dan kerjasama antarabangsa ahli akademik, pentadbiran dan pelajar institusi pengajian tinggi. Program ini membuka peluang kepada warga universiti berkongsi kepakaran, membina kerjasama strategik dan memperluas ruang lingkup pendidikan melalui pengalaman di peringkat antarabangsa.
Pengisian sepanjang program tersebut termasuk perbincangan meja bulat berkaitan mobiliti, projek penyelidikan, lawatan ke pusat penyelidikan, lawatan ke pusat pengajian pasca siswazah dan antarabangsa, serta sesi dialog strategik bersama pengurusan universiti bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa.
Sesi dialog akademik yang berlangsung di Faculty of Work Sciences, University of Seville, turut melibatkan perbincangan strategik berkaitan pengurusan program, intervensi psikologi semasa dan pasca-pandemik, serta pemantapan kerjasama penyelidikan dua hala.
Penulis juga berkongsi tentang pelaksanaan program intervensi psikologi di Malaysia, khususnya berkaitan pelajar berisiko untuk tercicir dalam pendidikan. Turut disentuh mengenai kesejahteraan psikososial pelajar antarabangsa di Malaysia, pengurusan emosi dalam kalangan mereka, serta aplikasi pembelajaran dalam konteks kepelbagaian budaya.
Dalam melebarkan penyelidikan pendidikan ke peringkat antarabangsa, delegasi kami berpeluang mengadakan perbincangan bersama dua tokoh utama di bidang Psikologi Pendidikan, iaitu Prof Joaquin A. Mora-Merchan dan Prof Rosario del Ray Allamillo dari Department of Developmental and Educational Psychology, University of Seville.
Perbincangan tertumpu kepada usaha penyelesaian isu dan cabaran semasa di institusi pendidikan, khususnya berkaitan buli, buli siber dan keganasan pelajar di peringkat sekolah dan pendidikan tinggi. Usaha ini berpotensi memacu kolaborasi penyelidikan rentas negara yang lebih bermakna.
Agenda Pendidikan Tinggi Negara
Penyertaan dalam Program Erasmus+ ini membawa objektif yang selari dengan agenda strategik universiti dan negara. Antaranya, meningkatkan pengiktirafan antarabangsa ahli akademik UPM dalam bidang psikologi pendidikan dan sokongan pelajar. Program ini dilihat dapat mengukuhkan jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan dengan institusi luar negara.
Program ini juga menyokong pertumbuhan profesional pensyarah melalui pendedahan kepada budaya pendidikan dan inovasi pedagogi global, di samping dapat menjana peluang pertukaran pelajar dan staf di bawah kerangka Erasmus+ dan rakan kongsi strategik lain.
Selain Malaysia, program berkenaan menghimpunkan peserta dari 22 institusi pendidikan tinggi serata dunia termasuk Angola, Algeria, Argentina, Armenia, Brazil, Chile, Colombia, Costa De Marfil, Equador, Georgia dan Guatemala. Turut menyertai India, Japan, Kazakhstan, Marruecos, Nigeria, Peru, Senegal, Tajikistan, Tunez, Uzbekistan dan Morocco.
Delegasi UPM turut mengambil bahagian aktif dalam dialog strategik, bengkel profesional dan lawatan ke pusat penyelidikan berkaitan psikologi pendidikan dan pembangunan komuniti. Penyertaan dalam program ini turut membuka laluan kepada UPM untuk kolaborasi di peringkat global. Antaranya:
Lebih menarik, pihak kami dengan kerjasama University of Seville berjaya menganjurkan persidangan antarabangsa bertajuk, “Importance of the Quality of Education in Childhood, Its Evaluation and Its Impact on Development: An International Perspective”. Persidangan ini memberi penekanan kepada kepentingan menilai dan memperkasa pendidikan awal kanak-kanak dari perspektif global.
Kehadiran lebih 80 peserta dan pembentang ke persidangan ini secara bersemuka dan dalam talian memberi peluang pembelajaran dan pengalaman antarabangsa secara langsung dan interaktif bersama tokoh akademik dunia. Turut terlibat sebagai peserta ialah pelajar pascasiswazah dari FPP, UPM.
Antara tokoh akademik bidang berkenaan yang hadir termasuk, Prof Maria Jose Lera (University of Seville, Spain), Prof Kathy Sylva (University of Oxford, United Kingdom), Dr Dick Clifford (University of North Carolina, Amerika Syarikat), Dr Igor Shiyan (Moscow University), Toben Naesby (University of Northern Denmark), dan Brenda Taggart (UCL Institute of Education, UK).
Selain itu, Prof Maria Jose Lera telah mengadakan bengkel penilaian kualiti pendidikan awal kanak-kanak menggunakan instrumen “Early Childhood Environment Rating Scale (ECERS)”, yang sangat menarik dan sesuai diaplikasikan di negara ini.
Jaringan dengan tokoh-tokoh tersebut memperkukuhkan peluang penyelidikan bersama dan membuka akses kepada amalan terbaik di bidang psikologi pendidikan global.
Impak Program Erasmus+
Penyertaan UPM dalam program Erasmus+ ini adalah peluang dan ruang yang sangat penting. Pengalaman yang diperoleh bukan sekadar perkongsian ilmu, tetapi membuka ruang lingkup pengetahuan dan pengalaman baharu dalam memahami konteks pendidikan pelbagai budaya dan membina kesepaduan dalam menangani isu psikologi pelajar secara global.
Rakan penulis, Dr Nur Aimi Nasuha menyifatkan penyertaannya sebagai satu peluang pembelajaran yang sangat bermakna dalam memperkaya pendekatan psikologi pendidikan melalui pengalaman mobiliti sebenar dan jalinan antarabangsa yang kukuh.
Program Erasmus+ memberikan impak langsung yang berganda terhadap pembangunan antarabangsa UPM termasuk:
1. Pengiktirafan antarabangsa dalam bidang psikologi pendidikan dan pembangunan profesional guru.
2. Perluasan akses mobiliti antarabangsa untuk pensyarah dan pelajar UPM.
3. Inovasi pedagogi melalui pertukaran amalan terbaik dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai konteks pendidikan.
4. Pemerkasaan kapasiti fakulti untuk melaksanakan program bersama, seminar antarabangsa dan latihan akademik rentas budaya.
Penyertaan dalam program tersebut mencerminkan aspirasi UPM khususnya, FPP yang kini berusia 50 tahun untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan global. Ia juga menandakan kejayaan dalam memposisikan kepakaran dalam psikologi pendidikan ke tahap antarabangsa, selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21 yang semakin kompleks dan mencabar.
Jelas bahawa, universiti berada pada landasan kukuh untuk membentuk kolaborasi global yang inklusif dan memberi impak tinggi kepada pembangunan ilmu, masyarakat dan generasi pendidikan pada masa depan. Hal ini sejajar dengan moto FPP, “Leading in Educational Studies” yang mampu menyuntik motivasi dan inspirasi kepada institusi yang lain di peringkat global.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Nor Aniza Ahmad ialah Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Antarabangsa) di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Psikologi Pendidikan.