TINTA MINDA

Di Sebalik Tragedi: Memahami Familicide Dan Mencegahnya

29/04/2026 09:50 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Rozanizam Zakaria

Beberapa kejadian tragis melibatkan kematian sekeluarga yang dilaporkan kebelakangan ini telah mengundang kejutan dan kesedihan dalam masyarakat.

Setiap insiden bukan sahaja meragut nyawa, tetapi meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.

Namun, di sebalik reaksi emosi, persoalan yang kita semua perlu ajukan ialah: apakah yang boleh kita pelajari agar tragedi ini tidak berulang?

Apakah itu familicide?

Fenomena yang juga dikenali sebagai familiside ini merupakan satu isu yang perlu difahami secara mendalam, bukan sekadar disensasikan.

Familicide merujuk kepada perbuatan membunuh beberapa ahli keluarga terdekat, lazimnya pasangan dan anak-anak, dan dalam banyak kes diikuti dengan bunuh diri oleh pelaku.

Walaupun jarang berlaku, ia merupakan antara bentuk keganasan paling menyayat hati kerana berlaku dalam institusi keluarga yang sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat.

Penting untuk difahami bahawa familicide jarang berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya sering menjadi kemuncak kepada tekanan yang berpanjangan.

Corak dan faktor yang terlibat

Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan pelaku adalah lelaki, manakala mangsa terdiri daripada pasangan dan anak-anak.

Kejadian sering berlaku di rumah dan berkait rapat dengan krisis seperti konflik rumah tangga, perceraian, masalah kewangan atau kehilangan peranan dalam keluarga.

Ini menunjukkan bahawa familicide bukan peristiwa rawak, tetapi mempunyai pola tertentu yang boleh dikenalpasti dan difahami lebih awal.

Peranan kesihatan mental

Masalah kesihatan mental sering menjadi faktor penting dalam kes familicide.

Gangguan seperti kemurungan teruk, gangguan bipolar dan masalah psikiatri lain dilaporkan dalam banyak kes, terutamanya apabila tidak dirawat atau tidak ditangani dengan baik.

Kemurungan yang teruk boleh menyebabkan pemikiran menjadi sempit dan pesimis.

Individu mungkin merasakan tiada jalan keluar daripada masalah yang dihadapi, sehingga dalam keadaan tertentu mempercayai bahawa mengakhiri kehidupan ahli keluarga adalah satu bentuk “perlindungan” buat keluarga.

Ini merupakan contoh bagaimana tekanan emosi yang melampau boleh mengganggu pertimbangan rasional seseorang.

Namun begitu, penting untuk ditegaskan bahawa kebanyakan individu dengan masalah kesihatan mental tidak bersifat ganas.

Familicide berlaku apabila faktor ini bertindih dengan tekanan lain yang tidak ditangani.

Faktor risiko psikologi dan sosial

Familicide biasanya melibatkan gabungan beberapa faktor risiko yang saling berkait.

Ini termasuk sejarah keganasan rumah tangga atau tingkah laku mengawal, ancaman untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain, serta konflik hubungan seperti perpisahan atau perceraian.

Selain itu, tekanan kewangan, kehilangan pekerjaan, serta perasaan malu, gagal atau hilang status juga sering menjadi latar belakang kepada kejadian ini.

Dalam banyak kes, pelaku mengalami kehilangan rasa kawalan terhadap kehidupan mereka.

Keadaan ini menjadi lebih ketara dalam kalangan individu yang sangat bergantung kepada peranan sebagai ketua keluarga atau penyara utama sebagai asas harga diri mereka.

Apabila peranan ini tergugat, kesannya boleh menjadi sangat mendalam.

Faktor budaya juga memainkan peranan. Stigma terhadap kesihatan mental serta kecenderungan untuk memendam masalah menyebabkan ramai individu tidak mendapatkan bantuan awal, walaupun berada dalam tekanan yang serius.

Tanda amaran yang perlu diberi perhatian

Salah satu aspek paling penting dalam pencegahan ialah mengenal pasti tanda-tanda awal yang sering muncul sebelum tragedi berlaku.

Antaranya termasuk luahan putus asa atau tiada harapan, perasaan bahawa diri adalah beban kepada orang lain, serta kecenderungan untuk menarik diri daripada keluarga dan masyarakat.

Dalam sesetengah kes, individu mungkin mengeluarkan ancaman untuk mencederakan diri atau orang lain, atau membuat kenyataan yang melibatkan kematian ahli keluarga seperti “lebih baik kita tiada”.

Tanda-tanda ini tidak boleh dianggap remeh kerana ia merupakan petunjuk kepada risiko yang serius dan memerlukan perhatian serta intervensi segera.

Membetulkan salah faham

Familicide sering dianggap sebagai tindakan spontan akibat tekanan atau kemarahan.

Namun, hakikatnya ia biasanya melalui proses yang berpanjangan dengan tanda amaran yang boleh dikenalpasti lebih awal.

Tekanan hidup juga bukan alasan kepada keganasan. Ramai individu menghadapi tekanan tanpa melakukan tindakan ekstrem.

Oleh itu, pemahaman yang lebih mendalam dan berasaskan bukti amat penting dalam melihat isu ini secara menyeluruh.

Pencegahan: Tanggungjawab bersama

Pencegahan familicide memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak.

Di peringkat kesihatan, saringan awal kesihatan mental perlu diperkukuhkan, terutamanya apabila individu berdepan krisis seperti kehilangan pekerjaan atau konflik keluarga.

Selain itu, akses kepada perkhidmatan kesihatan mental perlu dipermudah dan bebas daripada stigma agar individu berani mendapatkan bantuan.

Di peringkat masyarakat pula, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku orang sekeliling amat penting.

Sokongan sosial, komunikasi terbuka, dan galakan untuk mendapatkan bantuan profesional boleh menjadi faktor pelindung yang signifikan.

Refleksi untuk masa depan

Familicide bukan sekadar isu jenayah tetapi merupakan pengakhiran tragis kepada penderitaan yang tidak ditangani dan tanda amaran yang terlepas pandang.

Setiap kejadian seharusnya menjadi peringatan kepada kita semua bahawa intervensi awal mampu menyelamatkan nyawa.

Sebagai masyarakat, kita perlu bergerak daripada sekadar terkejut kepada memahami, dan daripada menyalahkan kepada mencegah. Kerana setiap tragedi yang dapat dielakkan adalah satu kehidupan yang berjaya diselamatkan.

-- BERNAMA

Dr Rozanizam Zakaria ialah Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja dan Pensyarah, Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)