Sejak kebelakangan ini, istilah pertanian bandar semakin kerap kedengaran. Jika dahulu bercucuk tanam hanya dikaitkan dengan kawasan kampung atau kebun luas, kini bandar juga sudah menjadi lokasi untuk menanam sayur, herba dan buah-buahan.
Walaupun skalanya kecil, manfaatnya sangat besar, baik untuk alam sekitar, kesihatan, mahupun ekonomi.
Mengapa pertanian bandar penting?
Pertama sekali, ia menjamin bekalan makanan segar. Bayangkan jika sayur yang dimakan ditanam hanya beberapa kilometer dari rumah, bukan diimport beribu batu jauhnya. Bukan sahaja lebih segar, malah kos penghantaran dan jejak karbon juga dapat dikurangkan.
Selain itu, pertanian bandar membantu “menghijaukan” kawasan konkrit. Ruang kosong di bumbung bangunan, balkoni rumah pangsa, atau lot tanah kecil boleh dimanfaatkan menjadi kebun mini.
Hasilnya, suasana bandar menjadi lebih sejuk mata memandang dan sedikit sebanyak membantu mengurangkan pencemaran.
Kebun komuniti
Manfaat sosialnya juga ketara. Projek kebun komuniti, contohnya, mampu menyatukan penduduk setempat.
Aktiviti menanam, menyiram dan menuai bukan sahaja mengeratkan hubungan jiran, malah memberi terapi minda kepada mereka yang penat bekerja di depan komputer.
Dari sudut ekonomi, pertanian bandar semakin diminati usahawan muda. Dengan teknologi moden seperti hidroponik dan akuaponik, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan makanan segar.
Pertanian bandar juga membolehkan penduduk menghasilkan makanan sendiri, sekali gus meringankan perbelanjaan.
Kemudahan geran sokongan
Tambahan pula, banyak geran daripada kerajaan tempatan, negeri, pusat, malah dana antarabangsa kini tersedia untuk menyokong projek berteraskan kelestarian dan inovasi hijau.
Misalnya, kerajaan menyalurkan geran pertanian bandar melalui program seperti Geran Agropreneur Muda (GAM) yang menawarkan dana sehingga RM30,000 kepada usahawan muda dan Program SejaTi MADANI untuk komuniti yang layak.
Negara-negara maju sudah lama membuktikan keberkesanan pertanian bandar.
Singapura, misalnya, terkenal dengan ladang menegak di tengah kota, manakala Jepun menggunakan teknologi pintar untuk menanam sayur di bangunan bertingkat.
Malaysia juga tidak ketinggalan,malah sebagai Pengerusi ASEAN, negara ini berpeluang mengetengahkan kerancakan pertanian bandar demi keterjaminan makanan masa depan.
Pertanian bandar bukan hanya isu teknikal tentang menanam sayur atau menghasilkan makanan segar di kawasan bandar. Ia juga membawa dimensi pendidikan, nilai, dan falsafah hidup. Di sinilah peranan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) penting, khususnya melalui penyelidikan, inovasi teknologi, latihan komuniti dan dasar lestari.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menonjol dengan konsep tawhidic yang menyatukan ilmu, iman dan amal. Dengan pendekatan ini, pertanian bandar bukan sahaja memenuhi keperluan makanan, tetapi juga dilihat sebagai ibadah menjaga amanah Allah terhadap bumi.
Kejayaan pertanian bandar
Kejayaan pertanian bandar tidak hanya bergantung pada dasar kerajaan atau inisiatif universiti, tetapi sangat memerlukan sokongan aktif daripada komuniti setempat.
Peranan mereka menjadi nadi penggerak kerana pertanian bandar berlaku di ruang kehidupan seharian masyarakat.
Tanpa penglibatan komuniti setempat, usaha ini tidak mampu berterusan dan akhirnya akan terhenti sebagai projek sementara yang tidak meninggalkan impak besar.
Justeru, pendekatan inklusif amat penting. Komuniti perlu dilibatkan sejak peringkat awal perancangan agar mereka merasakan projek ini milik bersama, bukan hanya program sementara yang dipaksakan dari luar.
Pertanian bandar mampu mengubah kehidupan masyarakat moden dengan menjamin makanan, menghijaukan bandar dan membuka peluang ekonomi hijau. Lebih penting, ia mencerminkan kesedaran bersama bahawa bumi ini amanah untuk dijaga, bukan dieksploitasi.
-- BERNAMA
Dr Adibah Amir ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Pembuatan dan Bahan Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor.