TINTA MINDA

Kebakaran Hutan Gambut Pengerang, Cabaran Kesihatan Dan Alam Sekitar

09/02/2026 11:46 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Dr Ezrin Hani Sukadarin dan Dr Faridah Naim

Kebakaran hutan gambut yang berlaku di kawasan Pengerang, Johor, baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan penduduk setempat.

Walaupun api yang marak tidak merebak secara langsung ke kawasan perumahan, asap tebal yang terhasil telah memberi kesan besar terhadap kesihatan penduduk, kehidupan harian serta keseimbangan persekitaran kampung.

Keadaan ini memperlihatkan bagaimana kebakaran di kawasan hutan gambut boleh memberi implikasi langsung kepada komuniti berhampiran, meskipun lokasi kebakaran berada di luar kawasan penempatan.

Kebakaran hutan gambut berbeza daripada kebakaran biasa kerana api bukan sahaja marak di permukaan, malah terus membakar lapisan tanah di bawah tanah.

Proses pembakaran ini menghasilkan asap yang tebal, berbau kuat dan berterusan, serta boleh berlarutan selama beberapa hari atau minggu walaupun api kelihatan kecil dari luar.

Asap tersebut mengandungi zarah halus yang sangat kecil dan mampu memasuki saluran pernafasan apabila dihidu.

Oleh itu, kesannya tidak boleh dipandang ringan, khususnya kepada penduduk kampung yang tinggal berhampiran kawasan kebakaran berkenaan.

Kesan Terhadap Kesihatan

Antara kesan paling ketara yang dirasai penduduk ialah masalah pernafasan.

Ramai penduduk mengadu mengalami batuk, sesak nafas, dada terasa ketat serta serangan asma yang lebih kerap.

Golongan yang paling berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit sedia ada seperti asma atau masalah jantung, yang lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada asap dalam tempoh yang berpanjangan.

Selain itu, asap kebakaran turut menyebabkan iritasi pada mata, hidung dan tekak.

Mata menjadi pedih dan berair, hidung terasa perit dengan bau hangit yang berterusan, manakala tekak menjadi kering dan sakit.

Penduduk yang kerap melakukan kerja luar seperti berkebun dan menangkap ikan turut melaporkan masalah kulit gatal serta ketidakselesaan fizikal akibat terdedah kepada udara tercemar.

Dalam jangka masa panjang, pendedahan berterusan kepada asap kebakaran gambut berpotensi melemahkan sistem pernafasan dan menjejaskan tahap kesihatan secara keseluruhan.

Dalam keadaan asap yang semakin membimbangkan dan berlarutan, sebahagian penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sebagai langkah perlindungan kesihatan, khususnya bagi golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan.

Bagi penduduk kampung, pemindahan ini bukanlah satu perkara mudah kerana mereka terpaksa meninggalkan rumah dan rutin harian, namun langkah tersebut perlu diambil demi mengelakkan kesan kesihatan yang lebih serius.

Pada masa sama, penduduk yang kekal di rumah terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang hari bagi mengurangkan kemasukan asap, menyebabkan kediaman menjadi panas dan kurang selesa, sekali gus menambah tekanan emosi serta kebimbangan apabila kebakaran berlarutan tanpa kepastian bila keadaan akan kembali pulih.

Kesan kebakaran gambut turut melibatkan persekitaran fizikal kampung, khususnya sistem saliran dan sumber air. Asap yang bercampur dengan embun atau hujan ringan boleh meninggalkan debu hitam pada bumbung rumah, tanaman serta permukaan air.

Keadaan ini berpotensi mencemarkan parit, kolam dan sungai kecil yang menjadi sebahagian daripada sistem saliran kampung.

Di samping itu, tanah gambut yang terbakar menjadi rapuh dan tidak stabil, meningkatkan risiko lumpur, abu dan sisa pembakaran memasuki saliran, sekali gus menyebabkan parit tersumbat dan aliran air terganggu.

Dalam jangka panjang, situasi ini boleh meningkatkan risiko banjir kilat serta menjejaskan sumber air yang digunakan oleh penduduk.

Tingkatkan Kesedaran Bahaya Kebakarana Hutan Gambut

Dalam usaha mengawal kebakaran yang sukar dicapai melalui laluan darat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah melaksanakan operasi pemadaman dari udara menggunakan helikopter.

Penggunaan kaedah ini penting memandangkan kawasan gambut yang terbakar bersifat berlumpur, sukar diakses dan mempunyai api tersembunyi di bawah tanah.

Siraman air membantu menurunkan suhu kawasan kebakaran dan melembapkan tanah gambut, sekali gus memperlahankan pembakaran serta mengurangkan penghasilan asap yang menjejaskan penduduk.

Secara keseluruhannya, kebakaran hutan gambut di Pengerang memberi pengajaran penting bahawa kesan sesuatu kebakaran bukan hanya terhad kepada api yang kelihatan, tetapi turut melibatkan asap tebal yang berpanjangan, kesihatan penduduk dan kestabilan sistem persekitaran kampung.

Walaupun kebakaran berlaku di kawasan hutan, impaknya dirasai secara langsung oleh komuniti setempat melalui gangguan pernafasan, pencemaran udara, perubahan rutin harian dan tekanan emosi.

Dalam situasi sebegini, kerjasama erat antara pihak berkuasa dan penduduk amat penting.

Pematuhan terhadap nasihat keselamatan, termasuk menghadkan aktiviti luar, memakai pelitup muka dan berpindah sementara jika perlu, merupakan langkah pencegahan yang wajar demi melindungi keselamatan dan kesihatan bersama.

Pada masa sama, kesedaran tentang bahaya kebakaran hutan gambut serta kepentingan menjaga alam sekitar perlu diperkukuhkan agar komuniti setempat lebih bersedia menghadapi kejadian seumpama ini pada masa hadapan.

Hanya melalui kerjasama semua pihak, kesejahteraan penduduk dan kelestarian persekitaran dapat dipelihara secara berterusan.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin ialah Profesor Madya (Bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Dr. Faridah Naim Pensyarah Kanan (Bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)