TINTA MINDA

Memerdekakan Minda Dari Ancaman Gajet Demi Kesejahteraan Moral Generasi Baharu

23/09/2025 09:56 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Norazlinda Mohammad

Kita sering mendengar gejala kepincangan moral berlaku dalam kalangan generasi muda sekarang.

Laporan yang disiarkan di dalam buletin TV3 mengejutkan sebahagian besar masyarakat Malaysia, bahawa seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) disahkan positif HIV sepanjang tahun lalu.

Apa yang menyedihkan, majoritinya berusia muda iaitu 18 tahun hinggakan 19 tahun.

Lensa media melaporkan peningkatan penghidap dan penularan penyakit HIV dalam kalangan siswazah.

Angka ini bukan sahaja nombor biasa tetapi ia menandakan negara Malaysia mempunyai krisis kesihatan awam yang perlu diselesaikan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan lagi terdapat peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar IPT berusia 18 hingga 25 tahun.

Apa yang lebih menggusarkan hati, ia menunjukkan bahawa generasi baharu kita sangat rapuh dari segi pemikiran, moral dan jati diri sedangkan mereka adalah tonggak harapan bangsa.

Didikan Awal

Laporan data ini memberikan kejutan agar kita mengawasi anak agar tidak sesat dan tersasar jauh dari landasan.

Inilah cabaran atau permasalahan moral yang harus dihadapi oleh ibu-bapa di dalam mendidik anak-anak remaja yang meningkat umur dan belia masa kini.

Tepuk dada, tanya hati masing-masing. Benarlah kata pepatah; melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Seharusnya bebanan melentur, mendidik, memantau perlakuan atau akhlak generasi muda bukan hanya terbeban kepada pendidik semata-mata tetapi ibu-bapa perlu sama-sama bertanggungjawab mengajar, memberi sepenuh perhatian, panduan dan kasih sayang agar selamat serta bebas daripada ancaman gajet dan dunia tanpa sempadan.

Usah menormalisasi gejala sosial yang menghancurkan generasi muda di masa hadapan.

Institusi kekeluargaan perlu bangkit dan ibu-bapa jangan jadi lalai menjalankan amanah kerana amat merugikan mengorbankan anak ke kancah dosa serta ketandusan arah hala tuju.

Perlu kita menilai objektif utama generasi baharu yang melangkah ke menara gading adalah untuk menuntut ilmu, membawa doa dan harapan ibu-bapa untuk berjaya di dalam pelajaran.

Anak muda sepatutnya menggapai mimpi yang ditenun dan memacu cita-cita agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Moral Terhakis

Ironinya, berlakunya kejutan budaya, jiwa memberontak, kurang kasih sayang menyebabkan sebahagian pelajar IPT tewas dengan nafsu yang tidak terkawal.

Lemahnya iman, bergaul bebas dan kurang kesedaran tentang agama sebagai perisai menyebabkan berlakunya kepincangan sosial di kalangan anak belia.

Selain itu, terdapat juga kes melahirkan anak luar nikah, hubungan sesama jenis, pembuangan bayi, kes terjebak dengan najis dadah serta sindiket pengedaran dadah.

Persoalannya, adakah ini yang kita banggakan; melahirkan generasi baharu yang rosak akhlaknya, menggadai maruah, masa depan tercela dan berkeperibadian lesu.

Generasi baharu adalah pelapis bagi membangunkan negara di dalam pelbagai sektor politik, ekonomi, sosial, teknologi dan pembangunan negara.

Justeru, pemikiran dan moral harus dijaga bagi melahirkan modal insan yang berkualiti bukan sahaja di dalam akademik, pemikiran, kerohaniannya tetapi juga membina jati diri yang unggul.

Betapa mahalnya harga sebuah kemodenan yang perlu dibayar oleh manusia dan jika tidak dikawal selia boleh mengancam peradaban manusia.

Teknologi gajet

Tidak dinafikan dengan adanya teknologi gajet seperti telefon pintar, tablet, Internet dan siaran satelit televisyen boleh merubah pemikiran, cara kehidupan, evolusi tingkah laku serta membantu kita bersosial di dalam masyarakat.

Namun, jika teknologi ini tidak dikawal selia, ia boleh membinasakan diri dalam jangka masa panjang.

Jangan membiarkan teknologi yang sedia ada mengawal dan membentuk gaya kehidupan manusia hingga merosakkan akhlak, minda, keharmonian dan norma masyarakat.

Umumnya, segelintir aplikasi media sosial merupakan gerbang kepada penyebaran budaya liar, hiburan yang melampau, aksi kehidupan bebas yang boleh mempengaruhi akal, minda di bawah sedar.

Malah yang menyedihkan, kandungan di dalam Internet yang membawa impak negatif, bertentangan dengan nilai-nilai murni serta kemanusiaan.

Wahai ibu-bapa jangan kita terleka dan memanjakan anak-anak dengan gajet tanpa pemantauan. Ibrahnya, ia ibarat senjata atau bom senyap yang ada kesan positif dan juga negatif jika gagal dikawal dengan baik.

Sudah tiba masanya kita berbalik kepada corak didikan ibu-bapa kita yang konvensional agar belia muda ini terpelihara daripada lemas di bawa arus kemodenan yang tak bertepi dan akhirnya membinasakan. Ia juga bagi memacu peradaban yang bermaruah.

Peranan ibu-bapa

Ibu-bapa perlu bijak memantau gajet iaitu telefon pintar anak mereka bagi menghindar gejala kepincangan moral serta mencegah berlakunya maksiat dalam kalangan anak mereka.

Pepatah ada mengatakan; mencegah adalah lebih baik dari merawat. Mereka perlu peka, tahu aktiviti yang dilakukan oleh anak dan dengan siapa mereka bergaul.

Usah membiarkan anak sewenang-wenangnya melayari media sosial yang membahayakan, merosak minda dan akhlak seperti melayari laman sesawang lucah dan bergaul bebas dengan rakan-rakan yang buruk perilakunya serta orang yang tidak dikenali tanpa di pantau.

Pemikiran liberal dan penjajahan budaya hedonisme perlu ditangkis bagi memastikan akhlak generasi baharu terpelihara.

Jangan terhantuk baru nak tengadah kerana nasi sudah menjadi bubur. Asas didikan perlu lahir dari rumah, seterusnya sekolah dan baru di IPT.

Usah takut untuk menegur anak demi memperbetulkan akhlak dan pemikiran sebelum terlambat.

Tiada istilah kuno atau mengongkong seseorang demi kebaikan. Didikan agama dan penekanan iman di dada perlu diperkasa oleh ibu-bapa bagi memelihara anak daripada terpengaruh dengan anasir-anasir asing yang bertentangan dengan budaya tempatan.

Komunikasi, teguran kasih sayang, menasihati serta selitkan unsur kerohanian, motivasi diri, kesedaran dan memberi perhatian kepada pembesaran anak demi membentuk keperibadian yang mulia, jiwa yang berdaya tahan, bersih dan sejahtera.

Ini selaras dengan membangunkan masyarakat MADANI yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam gagasan MADANI demi melahirkan masyarakat yang mampan.

Kempen kesedaran HIV

Sudah sampai masanya, Kementerian kesihatan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak sekolah perlu lebih tegas dan serius menggembleng tenaga mengadakan kempen berskala besar di peringkat IPT dan sekolah.

Ini bagi memberi kesedaran serta ilmu, informasi kepada pelajar untuk menangani permasalahan akhlak dan mencegah berlakunya pengaruh negatif, pergaulan bebas dan membanteras gejala HIV dan dadah di peringkat awal agar ia tidak menjadi barah masyarakat.

Informasi, risalah dan penyampaian perlu lebih terbuka bagi memberi penerangan yang padu, bagaimana ia berjangkit, apa yang perlu dicegah, cara dan bagaimana untuk hindar dari virus HIV.

Video bercorak interaktif, grafik atau multimedia boleh dibangunkan bagi menarik generasi muda memahami dan menyelami bagaimana menghindar HIV.

Badan-badan kesihatan dan badan NGO boleh melaksanakan pameran bergerak, memberi ceramah dan seminar di IPT dan sekolah bagi membuka minda dan kesedaran akan kesan jika gejala permasalahan sosial ini tidak dibendung di peringkat umbi.

Langkah ini juga bukan sahaja memberi satu amaran tetapi juga sebagai pencegahan krisis moral, penjagaan kesihatan, pengisian jiwa di kalangan anak muda yang meningkat naik.

Peranan Kerajaan & Pihak Berkuasa Tempatan

Sudah terang lagi bersuluh, terdapat penjualan kondom dan ubat kesihatan atau perangsang dijual secara berleluasa, bukan sahaja di kedai pasaraya tetapi juga di dalam aplikasi media sosial.

Inikah dinamakan kemodenan tanpa dikawal selia dan adakah ia tindakan yang waras memperjudikan akhlak generasi baharu yang semakin hanyut di dalam budaya liberalisme dan songsang.

Ini bukan soal hak individu tetapi ia mencerminkan kemusnahan identiti dan jati diri anak muda di Malaysia. Dimanakah pengawasan ibu-bapa dan keluarga?

Jadi tidak menghairankan, salah satu punca berlaku pergaulan bebas dan jangkitan HIV adalah pemikiran terbuka generasi muda kini tanpa ada batasan.

Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu bertindak serius dan tegas mengawal penjualan kondom dan ubat kesihatan atau ubat perangsang yang boleh memberi tiket dan mempengaruhi anak muda atau pelajar untuk mencuba dan terlibat di dalam pergaulan bebas.

Penguatkuasaan jitu dalam mengawal serta mengenakan hukuman setimpal kepada penjual kondom dan ubat perangsang secara terbuka bagi menangani gejala sosial.

Aplikasi media sosial yang boleh memberi akses kepada kandungan lucah perlu dibanteras bagi mengelakkan minda diracuni.

Ini bagi menghindar jiwa dan minda generasi baharu dari menjadi kotor, kosong, hilang pedoman akibat kurang perhatian dan kasih sayang keluarga.

Lazimnya, pemimpin perlu sedar bahawa mereka perlu bertanggungjawab, proaktif bertindak mencegah perbuatan yang salah seperti yang digariskan dalam Al-Quran iaitu amar ma’ruf nahi mungkar. Kudrat dan usaha pemimipin dan masyarakat perlu seiring dan sejalan.

Usah ada Stigma kepada penghidap HIV

Pihak pengurusan, ibu bapa dan pendidik perlu bertindak memberi kaunselling dan nasihat kepada anak muda atau pelajar yang didapati dijangkiti virus HIV.

Usah mengabaikan atau menjauhkan diri daripada mangsa HIV kerana mereka memerlukan empati, bantuan, perhatian, sokongan emosi dan nasihat yang berguna agar mereka lebih kuat, tabah di dalam menjalani dugaan kehidupan.

Kaunselor yang terlatih perlu ada di dalam IPT bagi memberi nasihat dan bimbingan tanpa ada rasa stigma atau prejudis.

Motivasi mereka agar terus berjuang di dalam menghadapi HIV perlu ditekankan oleh kaunselor, ibu-bapa dan pendidik bagi memberi sinar harapan agar individu ini tidak berputus asa dan kembali ke pangkal jalan.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, namun kerjasama dan rangkaian sokongan yang kukuh dapat membantu pelajar meneruskan kehidupan dengan penuh semangat dan tidak lagi terjerumus ke perkara negatif yang memusnahkan hidup.

Tuntasnya, melihat kepada permasalahan moral dan sosial di kalangan generasi baharu, kerajaan, ibu-bapa, pendidik dan masyarakat harus sedar dan bersama-sama memelihara dan mendidik anak-anak muda, belia agar terhindar daripada krisis moral dan kesihatan.

Generasi baharu merupakan permata yang berpotensi, pelapis dan warisan yang bakal membantu mentadbir dan membangunkan negara.

Memerdekakan minda mereka daripada penjajahan gajet, ancaman dunia siber dan budaya kuning adalah dugaan besar.

Hakikatnya, polemik krisis kesihatan dan sosial jika tidak ditangani dengan segera bukan sahaja menghancurkan masa depan generasi baharu yang usianya masih hijau tetapi juga merugikan negara.

Dalam menyusuri arus kemodenan, peradaban manusia perlu dijaga seiringan dengan perkembangan teknologi bagi melestarikan ketamadunan di abad ke-21.

Rakyat Malaysia perlu bersama-sama membina benteng nilai, agama, dan tingkatkan kesedaran moral serta keperibadian yang unggul bagi menangkis kebejatan sosial.

Solidariti di dalam menangani krisis moral dan kesihatan dapat memberi kekuatan kepada pembangunan dan peradaban masyarakat yang holistik dalam menghadapi cabaran semasa.

Kesederhanaan adalah dasar segala moral dan kebajikan utama manusia. Tanpa kesederhanaan, manusia tidak ada bezanya dengan haiwan- Napolean Bonaparte

-- BERNAMA

Norazlinda Mohammad ialah Pensyarah Kanan bidang Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)