NOTA KAMPUS

Keperluan Upskilling Dan Reskilling Dalam Era Kecerdasan Buatan

20/11/2025 03:20 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Miharaini Md Ghani

Landskap pekerjaan moden kini didominasi kecerdasan buatan (AI), automasi, dan transformasi digital, menjadikan keupayaan tenaga kerja untuk upskilling dan reskilling satu keperluan strategik mendesak.

Perubahan teknologi pesat mengubah cara kita berfikir, beroperasi, dan berinovasi, menuntut penyesuaian berterusan terhadap kemahiran baharu yang relevan dan bernilai tinggi.

Anjakan paradigma Komunikasi

Sektor komunikasi dan media, yang sebelum ini dianggap kebal daripada gangguan teknologi, kini menghadapi anjakan paradigma ketara.

Revolusi digital merombak struktur industri, memperkenalkan norma baharu dalam penghasilan kandungan, penyampaian mesej, dan interaksi dengan khalayak.

Memperkukuh kompetensi melalui pembelajaran berterusan menjadi teras utama untuk mengekalkan daya saing dan kelestarian sektor ini dalam era AI.

Kajian Randstad Workmonitor 2025

Kajian Randstad Workmonitor 2025 mendapati lapan daripada sepuluh profesional di Malaysia bersedia meninggalkan majikan mereka sekiranya tidak diberikan peluang menambah kemahiran.

Fenomena ini menggambarkan realiti baharu dunia pekerjaan, di mana pengetahuan sedia ada tidak lagi mencukupi untuk memastikan daya saing dan kebolehpasaran jangka panjang.

“Kalau dahulu kemahiran utama dalam komunikasi ialah menulis dan berucap, kini ia turut merangkumi kebolehan menganalisis data khalayak, memahami algoritma media sosial serta menilai impak mesej secara empirik,” ujar seorang pengamal komunikasi di Kuala Lumpur yang kini melanjutkan pengajian pascasiswazah secara sambilan.

Konteks Industri dan Tekanan Profesional

Sebagai nadi industri kreatif dan komunikasi negara, Kuala Lumpur menempatkan ratusan firma pengiklanan, agensi perhubungan awam, dan syarikat media digital.

Namun, corak kerja yang intensif, projek bertindih, dan jangka masa penyampaian yang ketat menjadikan pengajian konvensional bersemuka di kampus satu cabaran nyata bagi profesional dalam sektor ini.

Laporan PwC 2024 menunjukkan hampir 60 peratus tenaga kerja dalam industri komunikasi di Malaysia mengakui kekangan masa dan beban kerja sebagai penghalang utama untuk mengikuti latihan jangka panjang atau pengajian formal.

Namun pada masa yang sama, mereka sedar bahawa kemahiran analisis, penyelidikan dan pemikiran kritikal merupakan prasyarat utama bagi mendepani ekonomi berasaskan pengetahuan dan data.

Inisiatif USM: Pendidikan Fleksibel untuk Profesional

Menyedari cabaran semasa, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas Program Sarjana Komunikasi Mod Campuran (Mixed Mode) ke USM@KL.

Sebelum ini hanya ditawarkan di kampus induk Pulau Pinang, inisiatif ini membuka peluang kepada pengamal industri di Lembah Klang untuk melanjutkan pengajian tanpa menjejaskan komitmen kerjaya.

Dengan struktur 70 peratus penyelidikan dan 30 peratus kursus, program ini menekankan keseimbangan antara teori, praktikal dan penyelidikan. Menurut

Penyelaras Program, langkah ini bukan sekadar peluasan lokasi, tetapi usaha mengarusperdanakan sumbangan ilmu pengamal industri dalam memperkukuh hubungan antara akademia dan dunia pekerjaan.

Ramai pengamal komunikasi memiliki pandangan kritikal serta pengalaman lapangan yang boleh dijadikan kes kajian akademik. Melalui mod campuran, mereka berpeluang menukar pengalaman industri kepada penyelidikan ilmiah yang menyumbang kepada pembangunan bidang komunikasi negara,” jelas beliau.

Melalui pendekatan ini, pelajar dapat menjalankan penyelidikan berasaskan isu sebenar di tempat kerja termasuk strategi komunikasi digital, pengurusan reputasi semasa krisis, penggunaan AI dalam kandungan, serta kesan media terhadap tingkah laku pengguna.

Hasil penyelidikan sebegini bukan sahaja memperkukuh teori komunikasi, malah memberi manfaat langsung kepada organisasi melalui penemuan yang lebih kontekstual dan tempatan.


Menjayakan Agenda Nasional dan Matlamat 2030

Langkah strategik USM ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) dan Dasar Revolusi Industri 4.0 Negara, yang menekankan pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Universiti awam kini berperanan sebagai institusi pendidikan serta rakan strategik industri dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya tahan dan adaptif terhadap perubahan teknologi.

Melalui program fleksibel dan berasaskan penyelidikan, tenaga profesional dapat memperkukuh kompetensi dalam bidang yang sentiasa berevolusi.

Dalam konteks komunikasi, keupayaan mentafsir data khalayak, menilai keberkesanan mesej dan mengaplikasikan teknologi baharu menjadi teras kepada strategi komunikasi masa depan.

Menilai Semula Makna Kemahiran di Era Kecerdasan Buatan

Dalam dunia yang berubah lebih pantas daripada silibus pendidikan, keupayaan untuk learn, unlearn, dan relearn menjadi asas daya tahan profesional komunikasi yang perlu menyesuaikan diri dengan keperluan industri berasaskan penyelidikan, analisis dan inovasi.

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui USM@KL memperkukuh peranannya di ibu kota sebagai hab strategik yang menghubungkan ilmu dan industri, memperluas akses pendidikan fleksibel serta mempercepat pembangunan kemahiran baharu sejajar dengan tuntutan era kecerdasan buatan.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, “USM@KL berperanan sebagai jambatan antara universiti dan industri, memastikan kepakaran akademik memberi nilai langsung kepada tenaga kerja masa kini. Dalam era AI, kita mesti menjadi peneraju dalam membentuk masa depan pembelajaran dan pekerjaan.”


Gelombang digital mencabar cara kita bekerja sekaligus menguji keanjalan pemikiran dan kedalaman kebijaksanaan manusia dalam menilai semula makna sebenar kemahiran.

Di tengah arus perubahan pesat ini, upskilling dan reskilling telah menjadi tanggungjawab profesional dan keperluan strategik nasional, menuntut tindakan segera.

USM melalui USM@KL hadir sebagai platform pembelajaran fleksibel yang membolehkan profesional menguasai kemahiran baharu, memperkukuh daya saing, dan bersedia memimpin transformasi industri dalam era kecerdasan buatan.

-- BERNAMA

Dr Miharaini Md Ghani ialah Editor Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) dan Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)