PENA WANITA

Seni Komunikasi Melalui Kemahiran Mendengar

04/02/2026 03:38 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Siti Zanariah Yusoff

Pernahkah anda berada dalam lif bersama rakan sekerja atau jiran, sambil terdengar mereka bercerita tentang hari yang sukar, tetapi anda hanya tersenyum sambil melihat telefon atau menunggu giliran untuk bercakap?

Atau, ketika minum kopi bersama kawan lama, mereka berkongsi masalah hidup, dan anda terus memberi cadangan tanpa benar-benar mendengar dari awal hingga akhir?

Contoh-contoh situasi begitu mungkin berlaku setiap hari, namun ia meninggalkan kesan yang besar tanpa disedari. Kita sering mendengar untuk membalas, tetapi bukan untuk memahami.

Tanpa disedari, tabiat ini menambah tekanan kepada diri sendiri dan orang lain.

Dalam dunia yang serba pantas ini, tekanan kerja, keluarga, dan gangguan media sosial menyebabkan komunikasi manusia sering terburu-buru.

Kita mungkin terbiasa memberi respons pantas, tetapi jarang memberi perhatian sepenuhnya kepada isu yang disampaikan.

Akibatnya, salah faham mudah berlaku, hubungan menjadi renggang, dan stres meningkat yang sepatutnya boleh dikurangkan.

Inilah sebab mengapa kemahiran mendengar secara aktif amat penting.

Kemahiran mendengar dalam berkomunikasi

Secara ringkas, kemahiran komunikasi berkesan merujuk kepada keupayaan menyampaikan dan menerima mesej dengan jelas, tepat dan berkesan supaya maksud yang ingin disampaikan difahami serta mencapai tujuan komunikasi.

Ia melibatkan penggunaan bahasa yang sesuai, nada suara yang betul, bahasa tubuh yang positif dan empati terhadap orang lain.

Komunikasi yang berkesan turut melibatkan kemahiran mendengar.

Kemahiran ini bukan sekadar mendengar secara aktif apa yang diucapkan oleh orang lain, tetapi memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang disampaikan, memahami mesej, emosi dan niat penutur, konteks di sebalik kata-kata tersebut, serta memberi maklum balas yang sesuai.

Mendengar secara aktif membantu mengelak salah faham, membina kepercayaan dan mengeratkan hubungan antara individu.

Hal ini termasuk memberi tumpuan sepenuhnya tanpa gangguan, mengulangi kata-kata lawan bicara untuk memastikan kita benar-benar faham, serta menahan diri daripada terus mentafsir atau menasihati sebelum waktunya.

Teknik ini menjadikan perbualan lebih bermakna dan menenangkan emosi kedua-dua pihak.

Banyak kajian dalam bidang komunikasi menunjukkan bahawa mendengar secara aktif adalah antara kemahiran paling sukar untuk dikuasai.

Hal ini kerana ia memerlukan perhatian penuh, kesabaran, dan empati untuk benar-benar memahami orang lain.

Selain itu, kita perlu menjaga lisan dan kata-kata yang diungkapkan.

Kadang-kadang, satu ayat negatif yang ringan atau gurauan yang tersasar boleh melekat lama di fikiran orang lain yang mendengar. Malah, lebih lama daripada yang kita sangkakan.

Kata-kata sedemikian boleh menyentuh hati, membangkitkan perasaan amarah, atau meninggalkan kesan negatif yang tidak disedari.

Oleh itu, mendengar dengan niat memahami dan berkata-kata dengan penuh empati bukan sahaja menenangkan orang lain, tetapi membantu kita sendiri berasa lebih tenang dan bertanggungjawab dalam komunikasi interpesonal.

Kesan kemahiran mendengar

Komunikasi yang dilakukan dengan niat ingin memahami memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi.

Mendengar secara empati boleh meredakan emosi negatif, meningkatkan rasa dihargai, dan membina hubungan yang lebih kukuh.

Contohnya, membiarkan pasangan atau anak remaja bercerita tanpa tergesa-gesa memberi nasihat, atau memberi ruang kepada rakan sekerja untuk meluahkan masalah tanpa mencelah, boleh meningkatkan keyakinan dan kelegaan emosi mereka.

Beberapa tips mudah untuk diamalkan bagi mendengar secara aktif termasuklah menumpukan sepenuh perhatian pada perbualan tanpa gangguan telefon atau media sosial.

Di samping itu, menggunakan pertanyaan terbuka untuk memahami lebih mendalam, dan mengulangi inti pati perbualan untuk menunjukkan perhatian dan pemahaman.

Kadang-kadang, senyap dan mendengar lebih berharga daripada seribu perkataan balasan dan cadangan.

Dengan mengamalkan komunikasi yang betul, kita bukan sahaja memudahkan perbualan, tetapi juga mencipta penawar tekanan emosi untuk diri sendiri dan orang di sekeliling.

Kata-kata kita sama ada disedari atau tidak mempunyai kuasa yang mungkin meninggalkan kesan lebih lama daripada yang dijangkakan.

Jadi, dengarlah dengan hati, dan bercakaplah dengan penuh empati.

Jelas bahawa, komunikasi berkesan bermula dengan kemahiran mendengar secara aktif dan berempati, bukan sekadar keupayaan bertutur.

Kegagalan untuk mendengar dengan betul boleh mencetuskan salah faham, merenggangkan hubungan dan meningkatkan tekanan emosi.

Maka, penguasaan kemahiran mendengar secara berkesan wajar diberi perhatian sebagai satu seni asas penting dalam membina hubungan yang harmoni, kesejahteraan emosi dan komunikasi interpersonal yang lebih berhemah dalam kehidupan seharian.

-- BERNAMA

Dr Siti Zanariah Yusoff ialah Exco Inovasi Digital dan Wacana, Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE), serta Ketua Pusat Pengajian Bahasa Moden dan Komunikasi, Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)