NOTA KAMPUS

Program PITSTOP Bantu Pelajar, Tetapi Sampai Bila?

31/12/2025 11:05 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Salmiwati Othman

Malaysia merupakan sebuah negara yang keterhadapan dalam menyediakan hub pendidikan tinggi di serantau Asia.

Walaubagaimanapun, isu kemiskinan masih belum dapat ditangani sepenuhnya di Malaysia maupun di negara-negara Asean, ia secara tidak langsung memberi kesan kepada pembangunan mahasiswa di universiti.

Masalah ini serba-sedikit memberi tekanan kepada pengurusan universiti terutama universiti yang mempunyai bilangan mahasiswa yang ramai.

Isu kelaparan dalam kalangan pelajar ada dikupas dan terdapat laporan mengatakan terdapat pelajar tidak mendapat makanan yang secukupnya serta menjejaskan pelajaran mereka di universiti.

Laporan MSTAR bertarikh 31 Oktober 2025 mengupas pengalaman seorang bekas mahasiswa yang menyesal membantu gelandangan kerana mengganggap ia satu tindakan yang kurang bijak. Bagi beliau, di IPT ramai lagi mahasiswa yang miskin dan memerlukan makanan.

Di beberapa universiti awam terdapat ruang menyediakan sumbangan makanan dan barang keperluan percuma kepada mahasiswa dengan pelbagai nama seperti contoh gerobok rezeki (NR,UiTM), Foodbank di Inasis (UUM), Sudut Makanan Percuma (SMMTC), Projek Nasi Bajet M50 (UTM) dan program Kasih Siswa.

Manakala di UiTM SeMalaysia, konsep PitStop@HEP telah diperkenalkan bermula tahun 2021 setelah pandemik Covid-19 melanda dunia yang menyebabkan ekonomi rakyat terjejas teruk terutama melibatkan keluarga B40 dan miskin tegar.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM dibawah gagasan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi mengambil tindakan segera dalam menangani isu ini dengan menubuhkan ruang Pitstop@HEP di fakulti-fakulti serta kolej penggajian bagi menyediakan pelbagai makanan seperti nasi lemak, roti, biskut serta minuman berkotak.

Peranan Pitstop @HEP kepada mahasiswa

Penubuhan Pitstop@HEP merupakan satu inisiatif strategik yang dirangka bagi memperkukuh ekosistem sokongan dan kebajikan pelajar di universiti. Secara khususnya, Pitstop @HEP berperanan sebagai pusat intervensi awal yang memberi tumpuan kepada tiga domain utama, iaitu kebajikan pelajar, kesejahteraan emosi, dan kelangsungan akademik.

Penempatan inisiatif ini di peringkat fakulti bertujuan memastikan akses yang lebih dekat, respons yang lebih pantas, serta penyelarasan yang lebih berkesan antara pihak pentadbiran hal ehwal pelajar dan keperluan harian pelajar.

Terdapat satu kajian ilmiah berkaitan impak amalan pemakanan pelajar kolej komuniti terhadap pembelajaran (2022) yang menjelaskan terdapat kesan makanan yang diambil terhadap sokongan emosi (seperti tekanan atau kesedihan).

Kewujudan Pitstop@HEP boleh berperanan sebagai platform pencegahan dengan memberikan kesedaran tentang kepentingan sarapan, pemilihan snek sihat, dan mengelakkan makanan segera yang boleh menjejaskan tumpuan dan prestasi akademik dengan menyediakan makanan percuma yang berkhasiat.

Selain itu, pengendali Pitstop@HEP boleh mengadakan sesi pendidikan pemakanan interaktif atau bahan edaran yang fokus kepada: (i) kepentingan sarapan dan pengambilan makanan berkhasiat (ii) kesan negatif pengambilan snek tidak sihat dan makanan segera serta (iii)cara mengurus pemakanan ketika berhadapan dengan tekanan akademik.

Malahan, peranan Pitstop @HEP ini juga mempunyai persamaan dengan program “bank makanan” di United Kingdom apabila pengguna bank makanan yang baharu dan lebih ketara telah muncul.

Tapak serta ruang baharu untuk penyediaan makanan percuma telah dilaporkan (Francis-Devine, 2024), termasuk untuk pelajar universiti. Pada tahun akademik 2022/23, 14 peratus pelajar menggunakan bank makanan (NUS, 2024); dan pada tahun 2023, satu daripada empat universiti di UK dilaporkan mengendalikan bank makanan untuk pelajar mereka (Freeman, 2023).

Kesan Pitstop @HEP kepada pembangunan mahasiswa

Ternyata, Pitstop@HEP ada memberi kesan kepada pembangunan mahasiswa.

Antaranya, pemimpin mahasiswa seperti jawantankuasa perwakilan pelajar di fakulti dapat melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap pelajar lain diperluaskan melalui aktiviti mencari dana dan sumbangan untuk bekalan makanan di Pitstop@HEP.

Selain itu, semangat kesukarelawan dapat dipertingkatkan dalam kalangan mahasiswa dimana mereka akan lebih cakna dan ambil peduli terhadap kesusahan yang dihadapi oleh pelajar miskin.

Malahan, isu kelaparan dalam kalangan para pelajar dapat ditangani dan mereka dapat menumpukan perhatian semasa kuliah. Pitstop@HEP juga dapat mengurangkan beban kewangan serta meningkatkan kesejahteraan emosi apabila pelajar berasa dihargai dan difahami oleh pihak universiti.

Kelestarian Pitstop @HEP di universiti

Menjadi satu persoalan di minda para pelajar berkaitan kelestarian Pitstop @HEP ini samaada ia boleh bertahan dalam jangkamasa yang panjang atau sebaliknya?

Memandangkan cabaran berterusan yang dihadapi pihak universiti terhadap Pitstop@HEP adalah berkaitan kutipan dana dan perubahan dasar, maka oleh itu, masih belum dapat dilihat sama ada penyediaan makanan percuma untuk pelajar ini adalah mampan dari segi kewangan dan menjadi ciri 'seharian' dalam kehidupan kampus universiti itu sendiri.

Oleh itu, satu penyelidikan yang dikendalikan oleh TNC HEP UiTM serta 29 penyelidik UiTM sedang mengkaji tentang keberkesanan Pitstop@HEP di UiTM serta menyediakan kertas dasar berkaitan keperluan Pitstop@HEP dalam jangkamasa 5 tahun yang akan datang.

Dapatan kajian ini diharapkan dapat membantu pihak pengurusan universiti serta pemegang taruh untuk melaksanakan keputusan strategik dan merangka pelan intervensi yang terkait dengan kelangsungan Pitstop@HEP di Universiti Teknologi MARA.

-- BERNAMA

Dr Salmiwati Othman ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pusat Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UiTM

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)