Harapan rakyat terhadap penjawat awam pada tahun 2026 pasti memuncak tinggi.
Dalam dunia yang semakin tidak stabil, tidak pasti, rumit dan kabur, peranan mereka sebagai penggerak negara menuntut satu pembaharuan ekstrem.
Perkhidmatan awam seluruhnya berada di persimpangan dan perubahan penting.
Dalam hal ini perubahan cara kerja dan cara fikir besar-besaran sangat diperlukan. Rakyat semakin kritis dan tidak lagi menilai kecekapan pentadbiran semata-mata.
Malah kini yang menjadi perhatian ialah kejujuran niat, keberanian membuat keputusan dan keupayaan penjawat awam dalam menterjemahkan dasar kerajaan kepada kesejahteraan sebenar.
Ia mesti dapat dirasai akar umbi. Justeru tahun 2026 wajar dijadikan titik pembaharuan menyeluruh.
Bukan Sekadar Menjawat Jawatan
Azam paling asas penjawat awam ialah ‘berkhidmat’ kepada rakyat dan negara.
Ia satu kesedaran tugas bahawa mereka bukan sekadar ‘menjawat jawatan’. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan dalam pelbagai platform bahawa kerajaan mesti berfungsi sebagai ‘serve the people’ (pelayan rakyat).
Sekali gus penjawat awam bukan sekadar pengurus kuasa. Ia menuntut komitmen terhadap kepentingan awam. Bukan sekadar usaha-usaha kepada pematuhan prosedur semata-mata.
Budaya suka menangguhkan keputusan, berselindung di sebalik birokrasi atau memanjangkan proses tanpa keperluan mendesak perlu dihentikan.
Usaha ini tidak boleh dilakukan seorang sahaja tetapi semua penjawat awam dalam satu sistem rangkaian perlu terlibat. Penjawat awam 2026 perlu berazam untuk menjadi ‘penyelesai masalah’ dan bukan ‘pencipta kerenah’ dengan menunggang sistem.
Kecekapan tidak lagi boleh diukur berdasarkan kemasnya ruang kerja semata-mata.
Kekerapan mengadakan mesyuarat dan laporan tidak boleh lagi dianggap relevan. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kepelbagaian penilaian audit harus semakin dinamik serta berinovasi.
Perkembangan urusan kebajikan rakyat di lapangan menjadi tumpuan. Barulah kepercayaan awam boleh dipulihkan.
Penjawat Awam yang Cepat, Tepat dan Berimpak
Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam satu siaran media pada 27 November 2025 yang lalu menyatakan “Reformasi adalah satu kemestian.
Yang penting bukan sekadar dasar, tetapi keberhasilan yang dapat dirasai rakyat melalui tindakan kerajaan yang cepat, tepat dan berimpak”.
Lantaran menjadi cabaran kepada penjawat awam untuk menyambut dan memaknai semula nilai cepat, tepat dan berimpak.
Penjawat awam di tahun 2026 perlu cepat tetapi tidak cuai. Pantas bertindak tanpa mengorbankan kualiti dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Ia dilakukan dengan memberi tumpuan dan fokus kepada perkara kritikal, bersama maklumat yang mencukupi, kejelasan kuasa dan pembetulan berterusan. Cepat juga bermakna tidak membazirkan masa rakyat.
Penjawat awam perlu tepat dan tidak kaku. Beliau harus betul dari segi prinsip dan tujuan.
Namun bukan sekadar patuh pada teks atau manual kerja tersedia. Tepat tetapi kaku akan menyebabkan mereka patuh prosedur tanpa pertimbangan konteks.
Akhirnya jawapan “tidak boleh” dijadikan jawapan mudah hingga gagal melihat roh di sebalik sesuatu peraturan itu di wujudkan.
Berhemah dengan impak adalah sangat penting. Dalam kata lain berfikir jauh, bertindak dengan hikmah, beretika tetapi tidak lambat.
Usah berhemah tidak kena tempat. Dalam beberapa keadaan terlalu banyak pertimbangan hingga tiada keputusan sekali gus cenderung untuk mengelak tanggungjawab atas nama ‘berhati-hati’.
Lebih parah lagi mengadakan mesyuarat berulang kali tanpa hasil. Berhemahlah tetapi harus ada impak dengan keputusan bijaksana dan boleh dipertanggungjawabkan.
Integriti yang Substantif
Nilai teras yang perlu diperkukuh menjelang 2026 ialah integriti yang substantif. Ia merujuk kepada nilai yang melangkaui pematuhan peraturan semata-mata. Penjawat awam tidak hanya mampu bertanya di dalam diri sama ada sesuatu tindakan itu betul atau tidak.
Tetapi harus mengenal pasti adakah ia wajar, adil dan memberi manfaat kepada rakyat. Dalam hal yang demikian, keputusan yang sah dari segi prosedur tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat juga merupakan kegagalan integriti.
Penjawat awam perlu menolak amalan melengah-lengahkan urusan atas nama prosedur. Juga jangan menyembunyikan kesilapan di sebalik pelbagai sistem.
Integriti yang substantif juga adalah tentang nilai ihsan. Perlu ada keberanian moral dan nilai akauntabiliti peribadi. Dalam masa yang sama mempunyai rasa empati dalam memberikan perkhidmatan.
Anjakan Minda Kenegaraan
Cabaran terbesar menjelang 2026 ialah anjakan mind setting.
Penjawat awam tidak lagi boleh berfikir secara silo dan terikat kepada sempadan masing-masing. Isu seperti kemiskinan bandar, perubahan iklim, keterjaminan makanan, pendigitalan dan perpaduan sosial adalah bersifat rentas sempadan dan sektor.
Minda yang baharu menuntut penjawat awam berfikir dalam kerangka kenegaraan (statecraft). Mereka perlu memahami implikasi jangka panjang sesuatu dasar, mampu mengurus risiko secara matang dan berani melakukan penambahbaikan berterusan.
Pemikiran statecraft menuntut penjawat awam melihat dasar sebagai amanah berstrategik. Sesuatu keputusan yang dilakukan hari ini mesti dinilai dari sudut kesannya terhadap generasi akan datang meliputi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Malaysia MADANI menuntut penjawat awam mengamalkan budaya penambahbaikan berterusan sebagai azam bersama.
Bersedia untuk belajar, menilai dan mengakui kelemahan serta melakukan pembaharuan secara berfasa mencerminkan kematangan penjawat awam dalam mendukung institusi negara.
Inilah wajah perkhidmatan awam 2026, berfikiran kenegaraan, berteraskan nilai dan komited sepenuhnya untuk berkhidmat demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
Amanah Masa Hadapan
Kesimpulannya, penjawat awam 2026 adalah tentang berani berubah untuk memaknakan azam, nilai dan minda. Dalam dunia yang pantas berubah yang dituntut adalah kejujuran, keberanian dan komitmen tulus untuk berkhidmat.
Tahun baharu bukan sekadar pertukaran angka tetapi ia peluang memperbaharui niat dan memperkukuh tekad.
-- BERNAMA
Prof. Madya. Dr. Lutfan Jaes ialah Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)