Oleh Prof Madya Ir Ts Dr Saifulnizan Jamian dan Ts Inv Mahmood Abd Hakim Mohamad
Bagi tahun baharu, adalah wajar untuk kita menetapkan azam yang lebih jelas dan bermakna bagi memperkukuh prestasi serta kesejahteraan diri.
Tahun baharu bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar, sebaliknya ia merupakan peluang strategik untuk menyusun semula hala tuju kerjaya, memperkukuh disiplin kerja dan meningkatkan nilai diri dalam organisasi.
Azam yang dirangka dengan niat yang betul akan menjadi pemangkin kepada perubahan sikap, peningkatan motivasi dan pembudayaan kerja berprestasi tinggi.
Lebih daripada itu, azam baharu juga harus merangkumi komitmen terhadap kesejahteraan diri, kerana pekerja yang sihat secara fizikal dan mental lebih berupaya menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.
KPI dan SKT: Panduan prestasi, bukan beban
Dalam konteks organisasi, penetapan Key Performance Indicator (KPI) dan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) perlu difahami sebagai alat pengurusan yang kritikal, bukan sekadar keperluan pentadbiran. KPI dan SKT berfungsi menterjemahkan visi serta objektif organisasi kepada sasaran individu yang boleh diukur, dipantau dan dinilai.
Apabila setiap pekerja memahami peranan dan sumbangan mereka melalui KPI dan SKT yang jelas, wujud keselarasan antara matlamat peribadi dengan keperluan organisasi.
Keselarasan ini penting kerana ia memastikan setiap usaha yang dilakukan tidak bersifat terasing, sebaliknya menjadi sebahagian daripada strategi besar organisasi.
Kepentingan KPI dan SKT juga terletak pada keupayaannya membina akauntabiliti dan profesionalisme dalam kalangan pekerja. Sasaran yang ditetapkan secara realistik dan spesifik membantu pekerja mengurus masa, sumber dan keutamaan kerja dengan lebih sistematik.
Di samping itu, pemantauan berkala terhadap pencapaian KPI dan SKT membolehkan penambahbaikan dilakukan secara berterusan, sekali gus mengelakkan budaya kerja reaktif dan bersifat ad hoc.
Pekerja yang berdisiplin dalam mengurus KPI dan SKT akan lebih bersedia menghadapi cabaran, kerana mereka sudah terbiasa dengan budaya kerja yang terancang dan berorientasikan hasil.
Dinamika kerja era digital
Bagi 2026, keperluan untuk menetapkan KPI dan SKT yang relevan menjadi semakin mendesak selari dengan perubahan landskap kerja yang pantas, didorong oleh teknologi, pendigitalan dan tuntutan produktiviti yang lebih tinggi.
Pekerja bukan sahaja dinilai berdasarkan kehadiran atau tempoh perkhidmatan, malah keupayaan menyumbang nilai tambah, berinovasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
Justeru, KPI dan SKT perlu dirangka secara dinamik agar selari dengan cabaran dan peluang semasa. KPI yang statik dan tidak mengambil kira perubahan teknologi atau keperluan pasaran akan menyebabkan organisasi ketinggalan.
Oleh itu, pekerja dan pengurus perlu sentiasa bersedia untuk menilai semula sasaran, menyesuaikan strategi dan memastikan KPI serta SKT kekal relevan.
Kerja efektif: Bekerja bijak, bukan sekadar lama
Dalam mengejar prestasi kerja, aspek kesejahteraan pekerja tidak boleh diketepikan. Prestasi yang tinggi hanya dapat dicapai apabila pekerja berada dalam keadaan fizikal dan mental yang sihat.
Pekerja yang terlalu menekan diri dengan sasaran tanpa menjaga kesihatan berisiko mengalami keletihan melampau, tekanan emosi dan akhirnya menjejaskan produktiviti.
Oleh itu, azam baharu seharusnya turut merangkumi komitmen untuk mengamalkan gaya kerja yang lebih efektif dan seimbang.
Kerja efektif bukan bermaksud bekerja lebih lama, tetapi bekerja dengan lebih bijak.
Pekerja yang mampu mengatur jadual dengan baik, menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan, serta meminimumkan gangguan akan lebih produktif berbanding mereka yang hanya bergantung kepada jumlah jam bekerja.
Teknik seperti time-blocking, pengurusan keutamaan menggunakan kaedah matriks Eisenhower, atau amalan deep work boleh membantu pekerja memberi tumpuan penuh kepada tugas yang penting.
Apabila kerja dilakukan secara fokus dan sistematik, hasilnya lebih berkualiti dan masa yang digunakan lebih optimum.
Kesejahteraan fizikal dan mental
Dalam pada itu, kesejahteraan fizikal perlu diberi perhatian. Pekerja yang sihat tubuh badan lebih bertenaga, lebih fokus dan lebih berdaya tahan terhadap tekanan kerja.
Senaman ringan seperti berjalan kaki, berbasikal atau melakukan regangan di pejabat boleh membantu meningkatkan aliran darah dan mengurangkan rasa letih.
Pemakanan seimbang juga memainkan peranan penting dalam memastikan tenaga berpanjangan sepanjang hari. Begitu juga dengan tidur yang berkualiti, kerana rehat yang mencukupi membolehkan otak berfungsi dengan lebih baik dan meningkatkan daya kreativiti.
Kesihatan mental pula menjadi aspek yang semakin kritikal dalam dunia kerja moden. Tekanan kerja, bebanan KPI dan tuntutan organisasi boleh menjejaskan kesejahteraan emosi jika tidak diurus dengan baik.
Oleh itu, pekerja perlu mengamalkan strategi kesihatan mental seperti mindfulness, meditasi ringkas, atau sekadar meluangkan masa untuk hobi dan aktiviti santai.
Komunikasi terbuka dengan rakan sekerja dan pengurus juga penting untuk mengurangkan rasa terasing dan membina sokongan sosial di tempat kerja.
Apabila pekerja berasa didengar dan dihargai, tahap kepuasan kerja akan meningkat, sekali gus menyumbang kepada pencapaian KPI dan SKT yang lebih baik.
Pembangunan kompetensi dan kepuasan kerja
Dalam konteks pembangunan kerjaya, azam baharu seharusnya merangkumi komitmen untuk meningkatkan kompetensi diri.
Ini boleh dilakukan melalui latihan formal, pembelajaran kendiri atau perkongsian ilmu di tempat kerja. KPI dan SKT tidak seharusnya dilihat sebagai tekanan, sebaliknya sebagai panduan pembangunan kerjaya yang tersusun.
Apabila pekerja mengambil pemilikan terhadap sasaran mereka sendiri, wujud rasa tanggungjawab dan kepuasan kerja yang lebih tinggi.
Pekerja yang proaktif dalam meningkatkan kemahiran akan lebih bersedia menghadapi perubahan teknologi dan keperluan pasaran, sekali gus menjadikan mereka aset penting kepada organisasi.
Prestasi dan kesejahteraan seiring
Gabungan azam baharu yang jelas, KPI yang berfokus dan SKT yang terancang merupakan asas penting dalam membina budaya kerja cemerlang.
Namun, kejayaan sebenar hanya akan tercapai apabila prestasi kerja digabungkan dengan kesejahteraan fizikal dan mental. Pekerja yang sihat, berdisiplin dan bersemangat akan lebih berupaya menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.
Dengan iltizam, disiplin dan sikap proaktif, tahun 2026 berpotensi menjadi tahun yang lebih produktif, berintegriti dan bermakna bagi individu serta organisasi.
Secara keseluruhan, kejayaan organisasi bagi 2026 bergantung kepada keseimbangan antara pencapaian prestasi dan penjagaan kesejahteraan pekerja.
KPI dan SKT yang dirangka secara dinamik, disertai iltizam, disiplin dan sikap proaktif, akan membentuk budaya kerja cemerlang yang berintegriti dan berdaya tahan.
Apabila prestasi dan kesejahteraan bergerak seiring, bukan sahaja produktiviti organisasi dapat dipertingkat, malah kepuasan dan makna kerja dalam kehidupan pekerja turut diperkukuh.
-- BERNAMA
Prof Madya Ir Ts Dr Saifulnizan Jamian ialah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) manakala Ts Inv Mahmood Abd Hakim Mohamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma universiti sama.