PENA WANITA

Demokrasi Digital : Potensi Dan Cabaran Dalam Era Teknologi

14/01/2026 11:05 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Nazreena Mohammed Yasin dan Hanisah Md Idris

Pengenalan

Dunia kini menyaksikan gelombang baharu demokrasi, bukan di jalanan, tetapi di ruang maya.

Di Malaysia, suara rakyat boleh dilihat bukan lagi hanya di kotak undi semata-mata, tetapi di media sosial, portal berita, dan pelbagai aplikasi digital. Inilah wajah baharu demokrasi yang dikenali sebagai demokrasi digital iaitu satu bentuk evolusi politik yang kini turut mewarnai landskap Malaysia.

Demokrasi mencerminkan satu sistem pemerintahan yang membabitkan penglibatan aktif rakyat dalam aktiviti serta sebarang pengambilan keputusan politik.

Ini jelas menggambarkan pandangan salah seorang ahli demokrasi iaitu Abraham Lincoln yang mendeskripsikan demokrasi sebagai “pemerintahan rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat”.

Perkara-perkara yang mengaitkan digital pula ialah segala aspek yang menggunakan peranti seperti komputer, internet atau sistem elektronik berbentuk data.

Demokrasi merupakan asas penting dalam pembentukan sesebuah negara bangsa. Ia memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan, memilih pemimpin, serta mengambil bahagian dalam proses politik.

Seiring perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, konsep demokrasi kini bergerak ke arah lebih digital. Kewujudan teknologi digital kini menjadi satu wahana penting untuk menyokong dan memperkukuh proses demokrasi.

Kehadiran internet, media sosial, dan aplikasi mudah alih telah mengubah landskap politik Malaysia, daripada cara berkempen, mengundi, hinggalah kepada interaksi antara pemimpin dengan rakyat.

Fenomena ini sering disebut sebagai demokrasi digital, iaitu penggunaan teknologi untuk memperluas partisipasi rakyat dalam proses demokrasi.

Di Malaysia, demokrasi digital menjadi semakin relevan selepas beberapa siri pilihan raya umum, terutamanya sejak 2008 apabila media sosial mula memainkan peranan penting dalam politik.

Demokrasi digital bukan sahaja membuka peluang baharu, malah turut menghadirkan cabaran besar yang perlu ditangani. Artikel ini akan membincangkan peluang dan cabaran demokrasi digital dalam konteks Malaysia, serta implikasinya terhadap masa depan sistem politik negara.

Demokrasi Digital: Ciri-ciri dan Pelaksanaan

Demokrasi digital boleh difahami sebagai integrasi teknologi maklumat ke dalam proses politik dan pentadbiran. Ia merangkumi pelbagai aspek, antaranya:

  1. Akses maklumat politik melalui internet dan platform digital secara lebih terbuka dan pantas. Contoh: laman web kerajaan dan portal data terbuka.
  2. Komunikasi dua hala antara pemimpin dengan rakyat menerusi media sosial atau aplikasi. Contoh: soal jawab antara pemimpin dan rakyat di Facebook.
  3. Penglibatan rakyat secara langsung dan lebih luas dalam perbahasan isu awam. Contoh: forum, petisyen atau undian dalam talian dan aplikasi khusus.
  4. E-kerajaan dan e-pengundian, yang memberi kemudahan kepada rakyat dalam urusan pentadbiran dan pilihan raya seperti menggalakkan serta meningkatkan kadar penyertaan dalam proses pengundian melalui e-voting.

Di negara-negara maju, demokrasi digital semakin matang dengan adanya sistem e-pengundian dan aplikasi rasmi kerajaan yang telus. Di Malaysia, usaha ke arah ini masih dalam proses perkembangan, tetapi potensi besarnya jelas kelihatan.

Potensi Demokrasi Digital di Malaysia

1. Meningkatkan Keterlibatan Rakyat
Teknologi membolehkan lebih ramai rakyat, khususnya golongan muda, untuk mengambil bahagian dalam proses politik tanpa dibatasi oleh lokasi atau sosioekonomi. Melalui media sosial, rakyat dapat mengutarakan pandangan, berbincang isu semasa, serta mengkritik dasar kerajaan secara terbuka.

Hal ini menjadikan politik lebih inklusif berbanding dahulu, apabila akses kepada ruang awam lebih terbatas dan kurang penglibatan rakyat.

2. Ketelusan dan Akauntabiliti

Dengan adanya platform digital, rakyat boleh memantau serta menilai aktiviti kerajaan dengan lebih efektif.

Ini bukan sahaja membantu memperkukuh integriti pentadbiran, malah memastikan setiap keputusan dibuat secara lebih terbuka dan telus.

Contohnya, laporan kewangan, data perbelanjaan awam, atau keputusan dasar boleh dikongsi secara terbuka melalui portal rasmi kerajaan.

Ini memberi peluang kepada rakyat untuk menilai prestasi pemimpin dan mengurangkan risiko penyelewengan.

3. Pendidikan Politik Masyarakat

Internet membuka ruang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat politik dengan lebih cepat dan pelbagai.

Artikel, video, infografik, dan forum maya membolehkan rakyat memahami isu semasa secara mendalam. Ini secara tidak langsung meningkatkan literasi politik masyarakat. Perkembangan ini menunjukkan bahawa pendidikan politik masyarakat semakin mudah dicapai melalui teknologi digital. Namun begitu, masyarakat juga perlu bijak menapis maklumat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan pemahaman politik sebenar.

4. Kemudahan dalam Urusan Pentadbiran

Melalui sistem e-kerajaan, kebergantungan rakyat terhadap prosedur manual yang kompleks dapat dikurangkan secara signifikan.

Proses seperti pembayaran cukai, pendaftaran undi, atau permohonan bantuan dapat dilakukan secara dalam talian dengan lebih efisien. Hal ini meningkatkan keberkesanan sistem demokrasi yang menekankan kesejahteraan rakyat.

Cabaran Demokrasi Digital di Malaysia

1. Jurang Digital

Tidak semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada internet yang sama; stabil dan pantas. Jurang digital berlaku antara kawasan bandar dan luar bandar.

Golongan luar bandar, warga emas, dan masyarakat berpendapatan rendah mungkin terpinggir daripada demokrasi digital kerana kekurangan kemudahan teknologi. Jurang ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam penglibatan demokrasi digital.

2. Penyebaran Maklumat Palsu (Fake News)

Platform digital juga menjadi tempat penyebaran berita palsu atau maklumat yang tidak tepat serta penyalahgunaan maklumat.

Berita palsu, propaganda politik, dan manipulasi media sosial boleh mencetuskan kekeliruan rakyat. Keadaan ini berisiko menjejaskan kestabilan politik jika tidak dikawal dengan baik.

‘Sebenarnya.my’ merupakan salah satu inisiatif dari pihak kerajaan yang dikenali sebagai pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya.

Platform ini penting untuk mengelakkan penularan berita palsu dalam talian yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

3. Isu Keselamatan Siber

Demokrasi digital bergantung kepada kepercayaan terhadap sistem teknologi.

Jika berlaku kebocoran data, penggodaman, atau penipuan siber, keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi boleh terjejas. Contohnya, isu berkaitan privasi data pengundi atau keselamatan sistem e-kerajaan.

4. Polarisasi Politik

Media sosial sering kali memperkuat perbezaan pandangan politik sehingga membawa kepada polarisasi dalam masyarakat.

Rakyat cenderung berada dalam ‘echo chamber’ iaitu hanya menerima maklumat yang selari dengan pandangan mereka, Tanpa kawalan dan literasi digital yang baik, ia berpotensi melemahkan perpaduan sosial serta menghakis budaya dialog yang rasional dalam masyarakat demokratik.

5. Regulasi dan Etika

Kewujudan demokrasi digital menuntut undang-undang dan dasar yang jelas. Malaysia masih berhadapan dengan cabaran dalam menetapkan garis panduan yang seimbang antara kebebasan bersuara dan kawalan terhadap maklumat berbahaya.

Tanpa kawalan yang jelas, ruang digital mudah menjadi medan penyebaran fitnah, maklumat palsu, serta ucapan kebencian yang boleh menggugat kestabilan politik. Oleh itu, undang-undang siber yang adil serta garis panduan etika komunikasi perlu ditegakkan bagi melindungi hak pengguna tanpa mengekang kebebasan demokratik.

Implikasi terhadap Masa Depan Malaysia

Perkembangan demokrasi digital memberi kesan besar kepada masa depan politik Malaysia.

Pertama, ia menjadikan proses politik lebih telus dan terbuka, sekali gus memperkukuh sistem demokrasi berparlimen.

Perkembangan ini seterusnya dapat mewujudkan rakyat yang lebih kritis serta berani menyuarakan pendapat.

Akhir sekali, ia berperanan penting sebagai pemangkin kepada transformasi kerajaan yang lebih cekap, inklusif, dan responsif terhadap rakyat dengan memupuk komunikasi dua hala yang berkesan dan efektif.

Namun, kegagalan mengurus cabaran demokrasi digital boleh mengundang risiko ketidakstabilan politik, penyalahgunaan maklumat, serta ketidaksaksamaan sosial.

Oleh itu, kerajaan, parti politik, dan masyarakat sivil perlu berganding bahu untuk membina ekosistem digital yang kukuh dan sihat.

Strategi Pembangunan Masa Hadapan

1. Memperkukuh Literasi Digital

Dalam era digital yang semakin kompleks, literasi digital bukan sekadar kemahiran menggunakan teknologi, tetapi juga kemampuan menilai kesahihan sumber maklumat serta memahami implikasi sosial dan etika penggunaannya.

Pendidikan digital perlu diterapkan secara berterusan melalui kurikulum sekolah, program komuniti, dan latihan profesional agar rakyat mampu menjadi pengguna digital yang bertanggungjawab dan mampu berfikir secara kritis.

Rakyat perlu dididik untuk menilai maklumat secara kritis dan beretika dalam penggunaan teknologi. Pendidikan digital wajar diperkenalkan di sekolah, universiti, dan komuniti.

2. Mengurangkan Jurang Digital (Keadilan Akses)

Kerajaan perlu memperluas dan memperkukuh infrastruktur digital melalui peluasan rangkaian internet berkelajuan tinggi dan pemberian subsidi peranti asas kepada golongan yang layak.

Ini bagi memastikan kesamarataan dalam memiliki peluang berhubung dan mendapatkan maklumat serta prinsip keadilan dalam demokrasi dapat direalisasikan sepenuhnya.

Akses internet berkualiti yang lebih luas di kawasan luar bandar, sekali gus memastikan setiap lapisan masyarakat dapat mengambil bahagian dalam demokrasi digital.

3. Memperketat Keselamatan Siber

Dalam demokrasi digital, perlindungan terhadap data rakyat keselamatan siber dan memastikan sistem dalam talian berfungsi dengan selamat adalah isu yang tidak boleh dipandang remeh.

Kerajaan perlu meningkatkan perlindungan laman web rasmi dan mendidik rakyat tentang amalan keselamatan siber agar kepercayaan terhadap sistem demokrasi terus terpelihara.

Sistem e-kerajaan dan platform digital perlu dilindungi dengan teknologi keselamatan terkini agar keyakinan rakyat tidak terjejas dan lebih yakin menggunakan perkhidmatan yang disediakan dalam laman web rasmi kerajaan negeri atau kerajaan tempatan.

4. Mewujudkan Dasar dan Etika yang Seimbang

Undang-undang yang berkaitan dengan media dan komunikasi digital perlu dilaksanakan secara telus dan adil agar tidak disalahgunakan untuk mengekang suara rakyat.

Ketelusan ini akan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kejujuran kerajaan dalam melindungi hak demokratik.

Undang-undang yang jelas diperlukan untuk melindungi kebebasan bersuara rakyat tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keselamatan negara dan keharmonian masyarakat.

Kesimpulan

Secara tuntas, demokrasi digital menunjukkan bagaimana kemajuan dan perkembangan teknologi dapat memperkasakan sistem pemerintahan yang lebih terbuka, cekap, dan berpusat kepada kepentingan rakyat.

Demokrasi digital merupakan fenomena penting dalam era teknologi yang semakin canggih.

Di Malaysia, ia membuka peluang besar untuk memperkukuh sistem politik yang lebih telus, inklusif, dan responsif terhadap rakyat. Namun, cabaran seperti jurang digital, berita palsu, dan isu keselamatan siber perlu ditangani dengan serius.

Dengan langkah proaktif daripada kerajaan, masyarakat sivil, dan rakyat sendiri, Malaysia mampu membina ekosistem demokrasi digital yang kukuh.

Akhirnya, demokrasi digital bukan sekadar tentang teknologi semata-mata, tetapi tentang bagaimana rakyat dan pemimpin bersama-sama membentuk masa depan negara yang lebih adil, makmur, dan demokratik selari dengan negara-negara maju yang lain yang menggunakan platform digital secara berhemah.

-- BERNAMA

Dr Nazreena Mohammed Yasin ialah daripada Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) manakala Hanisah Md. Idris ialah daripada Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Asasi Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)