NOTA KAMPUS

Pemimpin Mahasiswa Mendepani Cabaran Generasi Kini

03/03/2026 09:50 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Mohammad Hazami Abdul Hamid dan Nurul Huda Roslan

Tahun 2026 kini telah memasuki fasa awal pelaksanaannya, membuka ruang dan peluang baharu kepada pemimpin mahasiswa untuk meneroka pelbagai pengalaman kepimpinan yang bermakna.

Landskap kepimpinan mahasiswa masa kini turut berubah seiring dengan arus globalisasi, kemajuan teknologi serta dinamika sosial generasi semasa.

Pemimpin mahasiswa tidak lagi berperanan sebagai penggerak aktiviti semata-mata, malah menjadi suara, teladan, agen perubahan serta duta kecil yang memberi inspirasi dan membentuk budaya kampus serta masyarakat sekeliling.

Justeru, tahun ini wajar dimanfaatkan dengan azam dan semangat baharu untuk memantapkan kepimpinan yang relevan, inklusif, berdaya tahan dan berjiwa madani.

Cabaran Kepimpinan Mahasiswa Masa Kini

Pemimpin mahasiswa kini berdepan pelbagai cabaran seperti tekanan akademik, isu kesihatan mental, pengaruh media sosial, jurang kemahiran insaniah serta ketidaktentuan masa hadapan kerjaya.

Dalam konteks ini, pemimpin mahasiswa perlu lebih peka, empati dan bijaksana dalam memahami keperluan rakan sebaya.

Keupayaan mendengar, berkomunikasi secara berkesan serta membuat keputusan beretika menjadi tunjang kepada kepimpinan yang dipercayai.

Memperkukuh Integriti dan Nilai Kepimpinan

Pepatah Melayu menyebut, sediakan payung sebelum hujan. Pemimpin mahasiswa perlu mengorak langkah proaktif dengan mengukuhkan nilai integriti, amanah dan tanggungjawab dalam kepimpinan.

Prinsip ini penting bagi membina kepercayaan, mengelakkan konflik kepentingan serta melahirkan budaya organisasi yang sihat.

Pemimpin mahasiswa juga perlu menjadi contoh dalam disiplin, kejujuran dan kesediaan memikul tanggungjawab walaupun berhadapan cabaran dan kritikan.

Teknologi Digital sebagai Pemangkin Kepimpinan

Arus kemajuan teknologi dan kecerdasan digital yang pesat membuka ruang luas kepada inovasi dalam pengurusan organisasi mahasiswa.

Pemimpin mahasiswa perlu bijak memanfaatkan teknologi secara berhemah melalui penggunaan platform digital untuk penyebaran maklumat yang sahih, penglibatan mahasiswa yang inklusif serta pelaksanaan program berimpak tinggi.

Literasi digital dan etika dalam talian menjadi keperluan asas agar teknologi tidak disalah guna atau menjejaskan keharmonian komuniti kampus.

Kepimpinan Inklusif dan Tanggungjawab Sosial

Dalam mengejar arus pemodenan, pemimpin mahasiswa juga berperanan merapatkan jurang kepelbagaian kebolehan dan latar belakang mahasiswa.

Kepimpinan inklusif yang meraikan perbezaan budaya, pandangan dan keupayaan akan melahirkan organisasi yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Program kesukarelawanan dan perkongsian ilmu kepada komuniti di dalam serta di luar kampus memberi impak positif dalam melahirkan masyarakat berilmu.

Inisiatif ini selaras dengan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan yang merangkumi 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), bertujuan menamatkan kemiskinan, melindungi planet dan memastikan kemakmuran untuk semua menjelang tahun 2030, termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan, kesaksamaan jantina, iklim dan inovasi.

Selain itu, program kesukarelawanan, khidmat komuniti dan kolaborasi antara mahasiswa mampu menyemai nilai kemanusiaan, keprihatinan serta semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda.

Memanfaatkan Tahun 2026 sebagai Medan Kepimpinan

Melangkah ke hadapan, tahun 2026 bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar, tetapi peluang kepada pemimpin mahasiswa untuk memperbaharui visi, memperkukuh jati diri dan meningkatkan keupayaan kepimpinan.

Dengan penerapan nilai dan iltizam yang tinggi, sokongan pengurusan kampus serta kesediaan mahasiswa untuk belajar dengan hati dan minda terbuka, pemimpin mahasiswa mampu mendepani cabaran generasi kini dengan yakin dan berkesan.

Kepimpinan mahasiswa yang berwawasan, beretika dan berjiwa madani akan menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi masa hadapan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial.

Justeru, tahun 2026 wajar dimanfaatkan sebagai medan memperkukuh kepimpinan, memperluas pengalaman dan membina jati diri pemimpin mahasiswa yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

-- BERNAMA

Mohammad Hazami Abdul Hamid ialah Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah.

Nurul Huda Roslan ialah ahli Malaysian Institute of Management (MMIM) dan Penolong Pendaftar di UiTM Cawangan Sabah.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)