Polemik perbincangan mengenai peluang pekerjaan dalam kalangan graduan di Malaysia terus kekal sebagai isu yang kritikal.
Situasi ini bukan sahaja akan membebankan keluarga dan ekonomi negara, tetapi juga akan memberi impak negatif terhadap keyakinan para graduan yang telah pun merangkul segulung ijazah.
Malah isu ini terus memberi kesan terhadap kestabilan sosial negara yang semakin mencabar.
Persoalan yang Timbul: Memilih Pekerjaan?
Persoalannya, kenapa permaslahan ini timbul?
Dari sudut graduan, ada di antara mereka sukar untuk mendapat pekerjaan kerana menolak pekerjaan yang menawarkan gaji yang rendah.
Ada juga yang hanya berminat bekerja di luar negara, berikutan tawaran gaji yang tinggi dan persekitaran kerja yang kondusif. Ada graduan yang lebih cenderung kepada ekonomi gig seperti freelancer, pemandu e-hailing.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), punca utama graduan tidak bekerja bukan disebabkan bentuk program di universiti, tetapi lebih kepada sikap graduan yang agak memilih pekerjaan.
Jika dirujuk kepada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) 2023, didapati terdapat sebanyak 22,248 kekosongan pelbagai jawatan bagi industri profesional, saintifik dan teknikal, melibatkan 5,734 syarikat tempatan.
Berdasarkan data tersebut, didapati jumlah penghasilan graduan boleh memenuhi kekosongan jawatan yang ada.
Ketidaksepadanan Pekerjaan Berbanding Kelulusan
Berdasarkan kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia, graduan juga berdepan dengan isu ketidaksepadanan pekerjaan (skill mismatch) iaitu bekerja dalam bidang pekerjaan di bawah kelayakan (underemployment) mereka.
Perkara ini berlaku disebabkan banyak faktor, seperti graduan begitu memerlukan pekerjaan tanpa memikirkan tahap kelayakan yang dimiliki. Ia juga berpunca dari program yang diambil agar sukar untuk mendapatkan peluang pekrjaan.
Oleh itu para graduan perlu bijak memilih program pengajian kerana hala tuju kerjaya mereka, sebahagian besar terletak kepada bidang pengajian yang diambil. Misalnya kerajaan ada menegaskan iaitu program yang diperlukan oleh industri pada masa kini adalah teknologi kejuruteraan.
Walaubagaimana pun kursus professional seperti ini mempunyai pra syarat tertentu, seperti cemerlang dalam mata pelajaran fizik dan metamatik, serta berada dalam aliran sains.
Dari sudut majikan ataupun pihak industri, kebanyakan mereka lazimnya akan memilih pekerja yang menepati misi dan visi syarikat masing-masing. Oleh itu pemilihan graduan, sudah tentu perlu memenuhi kehendak syarikat dan persaingan global.
Graduan kini perlu menyediakan diri mereka dengan soft skill yang terkini. Tanggungjawab ini bukanlah perlu diletakkan semata-mata di atas bahu Universiti, tetapi pelajar mestilah memulakan inisiatif untuk meningkatkan kompetensi diri agar mampu bersaing di pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.
Contohnya, kemahiran bertutur dwi-bahasa memberikan kelebihan kepada pelajar dalam meletakkan diri di syarikat global di Malaysia, yang rata-rata menggunakan komunikasi dan medium pengurusan operasi bukan dalam Bahasa Melayu.
Selain itu, kemahiran dalam menganalisa data, teknologi digital dan kelebihan mempunyai sijil-sijil professional boleh memberikan nilai tambah dalam kebolehpasaran seorang graduan.
Isu Program Ditawarkan Universiti Awam
Dari sudut universiti pula, untuk menegaskan faktor kekurangan peluang pekerjaan graduan lepasan Universiti Awam (UA) berpunca dari isu program-program yang disediakan, adalah satu pandangan yang perlu diperhalusi.
Ini kerana ia memerlukan perincian data yang tepat.
Jika ditinjau kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), didapati kadar kebolehpasaran graduan adalah melebihi 99 peratus pada tahun 2024.
Antara faktor kejayaannya kerana, ia mempunyai model pengajian yang unik dan berdaya saing, iaitu dengan mengabungkan sistem pendidikan, sistem ketenteraan dan hal ehwal pencapaian akademik.
Ia juga turut menekankan nilai kepimpinan yang berteraskan Intellectual Leaders of Character, yang bertujuan membentuk graduan awam dan graduan dalam kalangan pegawai tentera yang bersifat holistik, seimbang dari aspek Jasmani, Emosi, Rohani, dan Intelektual (J.E.R.I.).
Melalui model pendidikan ini, UPNM telah berjaya melahirkan para graduan yang berdisiplin, dan mampu menyesuaikan diri secara fleksibel terhadap persekitaran semasa dan cabaran strategik, dalam memenuhi keperluan pertahanan negara.
Selari dengan matlamat UPNM30 seperti mana penegasan Naib Canselor, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, usaha meningkatkan kebolehpasaran para graduan melalui pemfokusan bidang pertahanan dan keselamatan, telah diketengahkan melalui beberapa strategi.
Antaranya, mengadakan bengkel carrier coach.
Di sini para pensyarah di setiap fakulti dan pusat dilatih untuk membimbing para pelajar agar dapat menjelaskan hala tuju kerjaya masing-masing dalam bidang keselamatan dan pertahanan di masa depan.
Untuk mengukuhkan kefahaman dalam kerjaya tersebut, pihak Universiti juga telah menganjurkan Festival Kerjaya bagi mendedahkan para graduan ke arah peluang pekerjaan, melalui pemilihan Latihan Industri di organisasi yang bertunjangkan bidang pertahanan dan keselamatan, seperti Kementerian Pertahanan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Manakala penubuhan Kelab Pembangunan Kerjaya Pelajar dan Career Ambassador Faculty pula bertujuan membimbing corak pemikiran strategik di kalangan pelajar dalam membangunkan kerjaya masing-masing.
Selain itu, ia juga turut menanam keyakinan diri di kalangan pelajar agar sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan pihak industri dalam bidang keselamatan dan pertahanan.
Keberkesanan model strategik pendidikan di UPNM yang berasaskan akademik, ketenteraan dan pendekatan kepimpinan berteraskan disiplin, telah membuktikan bahawa program-program di UA mampu meningkatkan kebolehpasaran para graduannya.
Oleh itu, mana-mana pandangan yang dilontar tanpa berteraskan fakta, sukar untuk diangkat sebagai “kayu ukur” dalam menilai program di UA.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Wan Norhasniah Wan Husin ialah daripada Jabatan Hubungan Antarabangsa, Undang-undang dan Keselamatan) manakala Dr Nur Surayya Mohd Saudi ialah daripada Jabatan Logistik & Pentadbiran serta Felo Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.