Perkembangan pesat media sosial telah melahirkan satu fenomena baharu dalam masyarakat moden, iaitu kemunculan pempengaruh atau social media influencers sebagai agen komunikasi yang berpengaruh.
Golongan ini bukan sahaja membentuk citarasa pengguna, malah mempengaruhi pandangan, sikap dan nilai hidup masyarakat, khususnya generasi muda.
Dalam konteks ini, tahap pendidikan seseorang pempengaruh menjadi faktor penting yang menentukan kematangan sahsiah, kualiti wacana awam serta tahap tanggungjawab sosial yang dipamerkan, terutamanya apabila mereka terlibat dalam pemasaran produk dan perkhidmatan.
Isu berkaitan pempengaruh
Isu berkaitan pempengaruh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular sebelum ini telah membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai peranan pendidikan dalam membentuk keperibadian dan keupayaan membuat keputusan secara berhemah.
Perbincangan ini tidak seharusnya dilihat sebagai usaha merendahkan mana-mana individu berdasarkan kelayakan akademik, sebaliknya sebagai satu refleksi kolektif tentang kepentingan pendidikan tinggi dalam membina pemikiran matang, beretika dan bertanggungjawab dalam ruang awam.
Secara prinsipnya, pendidikan yang tinggi mampu membentuk sahsiah peribadi agar menjadi lebih matang dan terpuji.
Di institusi pengajian tinggi, pelajar dilatih untuk berfikir secara sistematik, berkomunikasi dengan sopan, menghormati perbezaan pandangan dan mengawal emosi ketika berdepan kritikan.
Proses ini membentuk individu yang lebih stabil dari segi emosi dan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila berhadapan dengan khalayak yang besar di media sosial.
Peranan pendidikan memandu individu membuat keputusan
Selain itu, pendidikan berperanan penting dalam memandu individu membuat keputusan yang lebih rasional dan bertanggungjawab.
Individu berpendidikan tinggi lazimnya terdedah kepada pemikiran kritis, analisis risiko serta kesedaran terhadap implikasi sosial dan undang-undang.
Dalam dunia pempengaruh, setiap kenyataan, kandungan atau promosi yang dibuat boleh memberi kesan langsung kepada tingkah laku pengguna.
Tanpa pertimbangan yang teliti, kurang beretka dan berintegriti rendah, tindakan tersebut boleh membawa implikasi negatif, bukan sahaja kepada pengikut, malah kepada reputasi sendiri.
Pendidikan juga memainkan peranan besar dalam pembangunan karakter insan secara menyeluruh.
Ia bukan sekadar melahirkan individu berilmu, tetapi membentuk nilai empati, integriti dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
Pempengaruh yang mempunyai latar pendidikan tinggi biasanya lebih peka bahawa populariti adalah satu amanah sosial.
Mereka memahami bahawa kebebasan bersuara perlu disertai dengan akauntabiliti, dan kesilapan wajar ditangani dengan sikap terbuka serta kesediaan untuk memperbaiki diri.
Perbezaan pempengaruh
Perbezaan ini dapat dilihat apabila membandingkan pendekatan pempengaruh lepasan SPM dan pempengaruh berkelulusan ijazah sarjana muda atau lebih tinggi.
Pempengaruh lepasan SPM lazimnya membina pengaruh melalui pengalaman peribadi, kreativiti dan keberanian menampilkan diri, yang sememangnya mempunyai nilai tersendiri.
Namun, kekurangan pendedahan kepada latihan pemikiran matang dan etika komunikasi boleh menyebabkan sebahagian mereka bertindak secara spontan, emosional dan kurang menilai kesan jangka panjang terhadap masyarakat.
Sebaliknya, pempengaruh berkelulusan ijazah cenderung menampilkan pendekatan yang lebih berfakta, berhati-hati dan berimbang.
Mereka lebih sedar akan batasan profesional, memilih bahasa yang lebih berhemah serta cuba mendidik pengikut melalui dialog yang membina.
Perbezaan ini bukan bersifat mutlak, tetapi cukup untuk menunjukkan bagaimana pendidikan mempengaruhi cara seseorang menilai dan bertindak terhadap sesuatu isu.
Tanggungjawab sosial pempengaruh
Aspek yang semakin penting dalam perbincangan ini ialah tanggungjawab sosial pempengaruh dalam pemasaran produk dan perkhidmatan.
Pada era ekonomi digital, pempengaruh bukan lagi sekadar pencipta kandungan, tetapi telah menjadi ejen pemasaran yang berupaya mempengaruhi keputusan pembelian pengguna.
Oleh itu, mereka memikul tanggungjawab besar untuk memastikan produk atau perkhidmatan yang dipromosikan adalah selamat, beretika dan tidak mengelirukan.
Pempengaruh yang berpendidikan tinggi lazimnya lebih memahami konsep pemasaran beretika, ketelusan iklan dan kepentingan perlindungan pengguna.
Mereka cenderung untuk menyemak latar belakang produk, memahami kesan penggunaannya dan memaklumkan secara jujur kepada pengikut, termasuk pendedahan bahawa kandungan tersebut adalah berbayar atau berbentuk kerjasama komersial.
Pendekatan ini membantu membina kepercayaan jangka panjang antara pempengaruh dan masyarakat.
Risiko promosi tanpa tanggungjawab sosial
Sebaliknya, tanpa kesedaran tanggungjawab sosial, terdapat risiko pempengaruh mempromosikan produk yang meragukan, tidak selamat atau memberi kesan buruk kepada kesihatan dan kewangan pengguna, semata-mata demi keuntungan jangka pendek.
Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan etika pemasaran, malah boleh memberi kesan serius kepada masyarakat, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh.
Dalam hal ini, pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran bahawa pemasaran bukan sekadar menjual, tetapi satu bentuk komunikasi sosial yang membawa implikasi moral.
Pempengaruh perlu sedar bahawa setiap promosi adalah satu bentuk pengaruh nilai, dan mereka bertanggungjawab memastikan pengaruh tersebut membawa kebaikan, bukan mudarat.
Pendidikan tinggi tidak harus jadi ukuran mutlak menilai
Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa pendidikan tinggi tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak nilai seseorang. Kejayaan dan kebijaksanaan juga boleh dibina melalui pengalaman hidup, pembelajaran kendiri dan bimbingan berterusan.
Apa yang lebih penting ialah kesediaan pempengaruh untuk belajar, meningkatkan ilmu dan menerima teguran secara terbuka demi kebaikan bersama.
Kesimpulannya, pendidikan yang tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk kematangan sahsiah, kebijaksanaan membuat keputusan dan tahap tanggungjawab sosial pempengaruh media sosial, khususnya dalam pemasaran produk dan perkhidmatan.
Dalam dunia digital yang semakin kompleks, masyarakat memerlukan pempengaruh yang bukan sahaja popular, tetapi juga berilmu, beretika dan berjiwa besar.
Pendidikan, sama ada formal atau sepanjang hayat, kekal sebagai asas utama dalam melahirkan pempengaruh yang mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih matang, berintegriti dan berdaya tahan.
-- BERNAMA
Dr Anim Zalina Azizan ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).