Oleh Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Dalam kehidupan, manusia akan melalui beberapa zaman dan peringkat.
Antaranya ialah zaman persekolahan, sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun hingga ke menara gading.
Pada ketika ini, kita belajar, bermain dan hidup bebas daripada tanggungjawab yang besar.
Selepas itu, kita melangkah ke alam pekerjaan. Pada peringkat ini, kita sibuk bekerja untuk mencari rezeki serta membina kerjaya.
Sehinggalah tiba masanya, kita akan melalui alam persaraan, iaitu berehat daripada pekerjaan, tidak lagi memikirkan kehendak majikan dan menikmati sisa-sisa usia dengan lebih tenang.
Kemudian, apabila memasuki alam pekerjaan, kita mula menyedari keperluan terhadap wang. Gaji pertama terasa begitu besar, sehinggakan kita tidak sedar betapa cepatnya ia dibelanjakan dan akhirnya habis.
Kita mula belajar membayar bil, melunaskan pinjaman, menyara keluarga dan menyimpan sedikit demi sedikit.
Persediaan persaraan
Kita bekerja bukan untuk hari ini sahaja, sebaliknya turut memandang peluang peningkatan demi masa hadapan. Setiap bulan, potongan KWSP dibuat; ada yang menyedarinya dan ada juga yang tidak.
Ada yang menambah simpanan secara sukarela, manakala ada yang membiarkannya begitu sahaja. Namun, satu perkara yang pasti, kita semua bekerja dengan harapan suatu hari nanti dapat berehat dengan tenang.
Pengumuman KWSP baru-baru ini tentang rangka kerja kecukupan simpanan persaraan agak mengejutkan.
Sasaran yang ditetapkan ialah RM390,000 untuk simpanan asas, RM650,000 untuk simpanan mencukupi dan RM1.3 juta untuk simpanan dipertingkat.
Natijahnya, di media sosial, reaksi mereka yang panik muncul. Ramai yang tertanya-tanya bagaimana hendak mencapai angka sebesar itu dengan gaji yang sederhana.
Namun di sebalik kepanikan itu, terdapat satu persoalan yang lebih mendalam: Adakah simpanan wang sahaja yang menentukan kebahagiaan persaraan kita?
Apabila umur sudah mencecah 55 tahun ke atas, terdapat dalam kalangan kita fizikal tubuhnya sudah tidak sekuat dulu, terdapat juga mereka yang mengalami masalah kesihatan dan sebagainya sehingga menyebabkan semangat kerja sudah mulai luntur.
Pada waktu itu, kita mula membuat kiraan, berapakah simpanan kita? Cukupkah untuk bersara? Apabila angka itu muncul di hadapan mata, baharulah kita tersedar dan mungkin tersentak.
Ada yang bersyukur kerana simpanan mencukupi dan ada yang terkejut kerana simpanan jauh dari sasaran. Ketika itu timbul satu penyesalan kerana tidak merancang dengan baik.
Sasaran RM1.3 juta itu bukanlah untuk menakut-nakutkan orang ramai. Apabila dilihat pada satu sudut lain, sasaran itu membuka mata kita tentang realiti kos sara hidup yang semakin meningkat.
Namun, dalam keghairahan kita mengejar angka itu, janganlah sampai kita lupa bahawa persaraan yang bahagia bukan sekadar tentang berapa banyak wang dalam akaun bank.
Persaraan juga tentang harapan dan impian kita.
Harapan ketika bersara
Apakah harapan kita bila bersara?
Ada yang ingin mengembara melihat dunia, ada yang mahu duduk tenang di kampung halaman yang jauh dari hirukpikuk kota, ada yang ingin menunaikan umrah berulang kali.
Ada juga yang ingin berbakti kepada masyarakat dengan terlibat dengan badan bukan kerajaan bagi mengisi hari-hari agar lebih bermakna.
Begitulah antara impian kita. Islam tidak melarang kita daripada memikirkan masa hadapan.
Memandang masa hadapan dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok”.
Ayat ini jelas menyuruh kita memikirkan hari esok, termasuk hari tua kita. Namun maksud “memperhatikan apa yang telah diperbuatnya” bukan sekadar mengira dan menambah simpanan wang, perlu melihat juga kiraan simpanan amalan yang dibawa.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Gunakanlah lima perkara sebelum lima perkara: mudamu sebelum tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum miskinmu, lapangmu sebelum sempitmu dan hidupmu sebelum matimu” (Riwayat al-Hakim).
Pengajaran hadis cukup mendalam iaitu mengajar kita memanfaatkan setiap fasa kehidupan dengan teliti, terancang serta bijak.
Apabila kita berada di alam pekerjaan, itulah masanya untuk menyimpan dengan lebih baik, bukan sahaja menyimpan wang, namun “simpanan” amal jariah.
Menyimpan wang secara disiplin itu perlu dilakukan bagi persediaan pada hari tua, dan pada masa yang sama persediaan simpanan lain juga perlu diberi perhatian iaitu; simpanan bagi amal soleh, simpanan hubungan baik dengan keluarga, simpanan kesihatan dengan menjaga tubuh badan, simpanan ilmu dengan terus mencari ilmu pengetahuan.
Simpanan ini merupakan antara bekalan untuk persaraan yang lebih bermakna.
Simpanan wang ringgit itu memang penting, namun ia hanyalah alat untuk menghidupkan harapan dan impian.
Jika simpanan kesihatan dijaga, harapannya adalah supaya kita masih mampu berdiri teguh melihat anak cucu membesar.
Jika simpanan hubungan kekeluargaan dibaja, impiannya adalah agar hari tua kita tidak sepi, namun dikelilingi kasih sayang yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Sasaran RM1.3 juta yang ditetapkan KWSP seharusnya dilihat sebagai jambatan untuk melunaskan impian yang mungkin tertangguh sewaktu kita sibuk membina kerjaya.
Ada yang berimpian mahu menghabiskan sisa usia di Tanah Suci, ada yang berharap dapat mengembara melihat keindahan ciptaan Tuhan dan tidak kurang juga yang ingin menabur bakti melalui kerja amal.
Tanpa perancangan yang baik, impian ini mungkin sekadar menjadi angan-angan yang terkubur bersama keletihan usia.
Namun, Islam mengajar kita bahawa harapan sebenar adalah pada keredaan-Nya.
Persaraan bukanlah titik noktah untuk berhenti mengimpikan sesuatu, namun fasa untuk menukar jenis sumbangan.
Walau berapa pun angka yang tertera di akaun bank, impian tertinggi kita adalah untuk meninggalkan legasi yang baik, sama ada melalui ilmu yang dikongsi, sedekah yang mengalir atau doa anak-anak yang soleh.
Akhirnya, persaraan yang indah adalah yang mampu mengimbangi tiga perkara: simpanan yang mencukupi, harapan yang tidak pernah padam dan impian yang membawa kita lebih dekat kepada Pencipta.
Simpanlah dengan bijak, berharaplah pada yang kekal dan berimpilah untuk sebuah pengakhiran yang bermakna yang bukan sahaja untuk dunia, malah juga untuk akhirat.
-- BERNAMA
Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi ialah Prof Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open Universiti Malaysia.