TINTA MINDA

Khazanah Pengetahuan Dan Wajah Baharu Pendidikan Sains Dalam RPN 2026-2035

04/02/2026 12:59 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin

Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 hadir pada saat pendidikan negara semakin dituntut untuk lebih berakar pada realiti insan dan masyarakatnya.

Dalam konteks pendidikan Sains, persoalan besar yang perlu kita ajukan ialah: adakah Sains akan terus dilihat sebagai medan elit yang hanya dimiliki oleh segelintir pelajar cemerlang, atau ia akan berkembang sebagai wahana pembinaan insan yang adil, inklusif dan bermakna untuk semua?

Di sinilah konsep funds of knowledge atau khazanah pengetahuan menjadi sangat relevan dan strategik untuk menghidupkan roh kemanusiaan dalam pelaksanaan RPN.

Khazanah pengetahuan merujuk kepada himpunan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman hidup yang dibawa oleh pelajar daripada keluarga serta komuniti mereka.

Ia merangkumi pengetahuan praktikal yang terbina melalui kehidupan seharian seperti bertani, berniaga, membaiki kenderaan, mengurus rumah, menangkap ikan, atau berurusan dengan teknologi secara tidak formal.

Khazanah pengetahuan menolak tanggapan bahawa ilmu hanya wujud dalam buku teks atau makmal, sebaliknya mengiktiraf bahawa masyarakat itu sendiri ialah tapak penghasilan ilmu yang sah dan bernilai.

Sains Lebih daripada Abstrak

Dalam pendidikan Sains, pendekatan ini membawa implikasi besar.

Selama ini, Sains sering diajarkan secara abstrak dan terpisah daripada dunia pelajar.

Akibatnya, ramai pelajar merasakan bahawa Sains bukan milik mereka, seolah-olah ia hanya relevan untuk golongan tertentu yang cemerlang akademik.

Khazanah pengetahuan membetulkan keadaan ini dengan menjadikan pengalaman hidup pelajar sebagai titik mula pembelajaran.

Nelayan memahami fizik ombak dan angin, petani menguasai biologi tumbuhan dan tanah, dan mekanik mengaplikasikan prinsip tenaga dan geseran. Semua ini ialah Sains dalam bentuk yang hidup dan autentik.

Teras Pedagogi Sains Negara

Jika RPN benar-benar mahu membina pendidikan yang inklusif, maka pendekatan berasaskan khazanah pengetahuan perlu menjadi salah satu teras pedagogi Sains negara.

Ia membolehkan Sains sekolah menjadi jambatan antara pengetahuan formal dan realiti kehidupan pelajar.

Pelajar tidak lagi belajar Sains untuk menjawab soalan peperiksaan semata-mata, tetapi untuk memahami dunia yang mereka diami.

Pembelajaran menjadi satu proses pemaknaan pengalaman dan ilmu, bukan sekadar pemindahan maklumat.

Dari sudut keadilan pendidikan, khazanah pengetahuan memainkan peranan yang sangat penting.

Tanpa kesedaran ini, pendidikan Sains mudah terperangkap dalam budaya elitis yang menguntungkan pelajar bandar dan kelas menengah, sementara pelajar luar bandar atau daripada latar sosioekonomi rendah dianggap “kurang berkeupayaan”.

Khazanah pengetahuan mengubah naratif tersebut.

Pelajar tidak lagi dilihat sebagai individu yang kosong pengalaman dan ilmu, sebaliknya sebagai pembawa ilmu yang kaya dengan pengalaman bermakna dalam kehidupan.

Ini merupakan satu bentuk keadilan pendidikan, iaitu pengiktirafan bahawa semua golongan menyumbang kepada ekosistem ilmu.

Guru Sebagai Pereka Pembelajaran

Implikasi khazanah pengetahuan terhadap pedagogi Sains amat besar.

Guru bukan lagi sekadar penyampai sukatan pelajaran, tetapi menjadi pereka bentuk pengalaman pembelajaran.

Mereka perlu mengenali latar belakang pelajar, memahami kehidupan komuniti setempat, dan membina konteks pembelajaran yang berakar pada realiti tersebut.

Projek Sains boleh direka berasaskan isu sebenar komuniti seperti penapisan air, pengurusan sisa, penjimatan tenaga, pertanian lestari, atau reka bentuk rumah yang sesuai dengan iklim tempatan.

Khazanah pengetahuan juga menuntut perubahan dalam sistem penilaian.

Jika pembelajaran berasaskan pengalaman hidup diangkat, maka penilaian tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan bertulis.

Penilaian perlu merangkumi hasil projek, pembentangan, portfolio, refleksi pelajar dan dokumentasi kerja komuniti.

Penilaian menjadi alat pembinaan makna dan jati diri, bukan mekanisme pengasingan akademik mengikut tahap pemikiran.

Sains, AI dan Kemanusiaan

Dalam era kecerdasan buatan (AI), khazanah pengetahuan menjadi semakin penting.

AI boleh dimanfaatkan untuk membantu pelajar mendokumentasikan pengetahuan komuniti, menganalisis data setempat, atau memvisualkan penyelesaian teknikal.

Namun, AI tidak boleh menggantikan kebijaksanaan hidup manusia.

Khazanah pengetahuan mengingatkan kita bahawa teknologi harus berkhidmat kepada manusia, bukan menghakis nilai kemanusiaan dalam pendidikan.

Peranan universiti juga amat penting dalam menjayakan agenda ini.

Universiti perlu menjadi pusat penyelidikan dan latihan pedagogi Sains berasaskan khazanah pengetahuan, melahirkan guru yang peka kepada keadilan sosial dan kebijaksanaan komuniti.

RPN seharusnya melihat universiti sebagai rakan strategik penjaga keseimbangan antara ilmu, nilai dan kemanusiaan.

Akhirnya, khazanah pengetahuan bukan sekadar satu strategi pengajaran, tetapi satu falsafah pendidikan.

Ia mengajarkan kita bahawa ilmu itu bersifat kolektif, bahawa kebijaksanaan hidup wujud dalam masyarakat, dan bahawa Sains perlu merendah diri untuk mendengar suara manusia.

Dalam kerangka RPN, khazanah pengetahuan memberi peluang untuk membina pendidikan Sains yang bukan sahaja canggih dari segi teknologi, tetapi juga luhur dari segi kemanusiaan.

Inilah wajah baharu Sains yang kita perlukan:

Sains yang membina insan, memuliakan pengalaman hidup, dan mengangkat martabat setiap pelajar sebagai pemilik ilmu yang sah.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin ialah ahli akademik bidang Pendidikan Sains di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)