TINTA MINDA

Keluarga Pesakit Skizofrenia Tidak Boleh Terus Berjuang Sendirian

04/03/2026 10:50 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Hariyati Ariffin

Kes pesakit skizofrenia mencederakan ahli keluarga sering menggemparkan masyarakat.

Namun di sebalik tajuk berita yang menakutkan, terdapat satu realiti yang jarang diperkatakan, iaitu penderitaan keluarga yang menjaga pesakit skizofrenia dalam diam dan stigma berat yang mereka galas.

Mereka menderita bertahun-tahun lamanya tanpa sokongan sistem yang mencukupi.

Hakikatnya, keluarga bukan sekadar penjaga. Mereka juga adalah sistem rawatan tidak rasmi negara, yang hadir tanpa latihan, tanpa elaun, dan tanpa ruang untuk berehat.

Apabila tragedi berlaku, masyarakat mudah menyalahkan keluarga. Sedangkan tragedi sering terjadi kerana kegagalan sistem sokongan komuniti dan pihak berkuasa, bukannya kegagalan pengorbanan dan kasih sayang keluarga

Statistik menunjukkan krisis masalah kesihatan mental di negara kita semakin serius.

Data nasional turut menunjukkan bahawa isu kesihatan mental di Malaysia semakin membimbangkan, di mana hampir 29.2% orang dewasa Malaysia (sekitar 4.2 juta individu) mengalami masalah kesihatan mental.

Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pula, prevalens meningkat daripada 7.9% kepada 16.5% dalam tempoh beberapa tahun.

Realiti Kesihatan Mental di Malaysia

Menurut laporan Utusan Malaysia, lebih satu juta rakyat Malaysia mengalami kemurungan, dengan sebahagian daripada mereka mempunyai pemikiran untuk mencederakan diri.

Statistik daripada Kementerian Kesihatan pula menunjukkan kes skizofrenia meningkat ketara, termasuk kenaikan sehingga 17% dalam tempoh setahun.

The Star melaporkan bahawa di Selangor, bilangan pesakit mental yang menerima rawatan di klinik kesihatan meningkat daripada 1,858 kes kepada lebih 2,000 kes dalam beberapa tahun.

Situasi ini menekankan beban rawatan komuniti yang semakin besar.

Malah, Dewan Rakyat Negeri Selangor menyatakan statistik ini hanya merangkumi pesakit yang mendapatkan rawatan sahaja dan tidak termasuk mereka yang menafikan masalah mental atau enggan mendapatkan rawatan.

Realiti sebenar dipercayai jauh lebih tinggi kerana ramai keluarga menyembunyikan penyakit akibat stigma.

Walaupun Malaysia mempunyai hospital, klinik, dan pakar psikiatri, jurang terbesar terletak pada sokongan kepada keluarga.

Ramai pesakit lewat mendapatkan rawatan kerana stigma dan kekangan komuniti, menyebabkan keluarga menanggung beban sendirian.

Keluarga menghadapi cabaran seperti:

  • Keletihan emosi kronik
  • Risiko keselamatan di rumah
  • Tekanan kewangan akibat kehilangan pekerjaan
  • Kesukaran mengurus pesakit yang tidak patuh ubat
  • Trauma psikologi bagi penjaga itu sendiri

Situasi ini menekankan bahawa isu kesihatan mental bukan sahaja melibatkan pesakit, tetapi juga memberi impak besar kepada komuniti dan keluarga, sekali gus memerlukan pendekatan sokongan yang lebih menyeluruh.

Justeru tanpa intervensi komuniti yang kukuh, keluarga pesakit akan hidup dalam keadaan berjaga-jaga dan kebimbangan sepanjang masa dan ini menambah tekanan dalam hidup mereka.

Sokongan Keluarga Pesakit Skizofrenia

Justeru, tanpa intervensi komuniti yang kukuh, keluarga pesakit akan terus hidup dalam kebimbangan dan berjaga-jaga sepanjang masa, menambah tekanan dalam kehidupan mereka.

Justeru, beberapa cadangan dasar yang perlu dipertimbangkan segera adalah seperti berikut:

1. Penubuhan Pusat Rehabilitasi Komuniti Khusus Skizofrenia

Pesakit skizofrenia memerlukan rehabilitasi berterusan, bukan rawatan episodik di hospital. Pusat ini perlu menyediakan:

  • Latihan kemahiran hidup
  • Pemantauan ubat
  • Terapi sosial
  • Program rakan pulih
  • Intervensi relapse awal

Cadangan ini selari dengan usaha NGO Kesihatan Mental seperti MaRMa, yang mencadangkan model rehabilitasi berfokus pemulihan fungsi dan integrasi sosial.

2. Pusat Respite dan Healing untuk Caregiver

Caregiver juga dianggap pesakit yang menderita dalam senyap. Kerajaan negeri boleh mewujudkan:

  • Pusat rehat sementara untuk pesakit
  • Program terapi trauma untuk caregiver
  • Sokongan psikologi berkala melalui kumpulan sokongan

Langkah ini dapat mencegah keletihan melampau yang berisiko menyebabkan konflik keluarga dan tragedi.

3. Pasukan Respon Krisis Mental Bergerak (Mobile Crisis Team)

Ramai keluarga tidak tahu ke mana harus menghubungi apabila pesakit mengalami episod agresif.

Pasukan respon komuniti boleh memberikan intervensi awal di rumah, mengurangkan keperluan kemasukan kecemasan, serta melindungi keselamatan keluarga dan pesakit.

4. Elaun dan Perlindungan Sosial untuk Caregiver

Penjagaan pesakit skizofrenia sering menyebabkan caregiver kehilangan peluang pekerjaan. Elaun khusus bagi caregiver penyakit mental boleh:

  • Mengurangkan tekanan kewangan
  • Meningkatkan pematuhan rawatan pesakit
  • Mengurangkan risiko pengabaian tidak sengaja

5. Pendidikan Masyarakat dan Pengurangan Stigma

Stigma menyebabkan keluarga menyembunyikan penyakit sehingga keadaan menjadi kritikal.

Kempen awam perlu menekankan bahawa skizofrenia ialah penyakit perubatan yang memerlukan rawatan dan rehabilitasi boleh membantu pemulihan. Keluarga memerlukan empati, bukan penghakiman.

Kesimpulan

Tiada ibu bapa membesarkan anak untuk hidup dalam ketakutan terhadap anak sendiri.

Namun tanpa sistem sokongan yang kukuh, ramai keluarga pesakit skizofrenia terpaksa berjuang dalam kebimbangan dan ketakutan, menghadapi masa depan yang gelap.

Jika negara serius menangani kesihatan mental, fokus tidak boleh hanya pada pesakit, tetapi juga keluarga yang menjaga mereka setiap hari.

Pencegahan tragedi bermula dengan sokongan komuniti, rehabilitasi berterusan, dan dasar yang memahami realiti kehidupan keluarga pesakit.

Keluarga pesakit skizofrenia tidak meminta simpati. Mereka hanya memerlukan sistem yang bersedia dan memahami sebelum tragedi berlaku, bukan selepasnya.

Seperti pepatah: “Sudah terantuk, baru terngadah.”

-- BERNAMA

Hariyati Ariffin ialah Pengerusi MaRMA NGO Kesihatan Mental Persatuan Ketenangan Minda Malaysia (MaRMA), sebuah NGO kesihatan mental yang komited dalam memberikan sokongan kepada penjaga pesakit mental (caregivers) di Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)