Manusia ada ketikanya diuji dengan ujian atau cabaran yang mencabar deria, emosi dan kesihatan mental.
Pelbagai permasalahan kehidupan yang boleh menganggu ketenangan hati, pemikiran dan emosi manusia.
Permasalahan kehidupan yang merangkumi skop sosial, kemasyarakatan dan ekonomi merupakan antara rencah-rencah kehidupan kita yang bernama manusia.
Begitu juga, suasana persekitaran pekerjaan mempengaruhi kesihatan mental, membentuk emosi yang tenang atau bergejolak dengan masalah.
Adakalanya tempat kita mencari rezeki dikelilingi dengan manusia yang positif, sentiasa menyokong antara satu sama lain dan selebihnya toksik dan narsistik yang kadangkala menjentik ketenangan perasaan dan emosi.
Lebih menakutkan lagi, jika persekitaran tidak mesra ini berterusan di tempat kerja; boleh menjejaskan hubungan, perasaan, memberi tekanan mental, kesedihan dan boleh mengakibatkan kemurungan dalam jangka yang panjang.
Individu narsistik ini sememangnya kurang kasih sayang dan sering memerlukan perhatian.
Budaya Individualistik dan Narsistik Berleluasa
Manusia mempunyai pelbagai personaliti atau sikap begitu juga hati dan jiwa di dalam diri seseorang.
Ilmuwan Psilkologi Havelock Ellis (1898) berpendapat narsisme menggambarkan keadaan pesakit yang taksub dengan dirinya sendiri, manakala Ernest Jones (1913-1951) menafsirkan narsisme sebagai kecacatan karakter iaitu seseorang yang mempunyai sifat keyakinan diri yang tinggi tetapi melangkaui batas kesihatan mental.
Dalam lingkaran sosial, individu yang bersikap individualistik dan narsistik memiliki ego yang berlebihan dan boleh menyebabkan permasalahan komunikasi, mengganggu hubungan interpersonal dan kesejahteraan mental di dalam sesebuah organisasi.
Narsisme merupakan gangguan psikologi kerana mereka merasakan mereka yang paling hebat, menunjukkan kuasa, terasa lebih sempurna daripada orang lain dan dahagakan layanan, perhatian serta pujian dari orang sekelilingnya.
Individu ini sememangnya kurang empati, berhati keras, suka mendominasi, memanipulasi keadaan, mementingkan diri dan suka menyalahkan orang lain (gaslighting) ibarat peribahasa baling batu sorok tangan.
Kuman di seberang laut nampak, Gajah depan mata tak nampak. Peribahasa ini sesuai digambarkan kepada individu narsisme yang suka mencari kesalahan orang lain.
Individu yang berpersonaliti narsistik seharusnya berfikiran terbuka, kalis kritikan dengan menerima nasihat demi untuk kebaikan dirinya bukannya bersikap angkuh, defensif, melawan kata persis menegakkan benang yang basah.
Hakikatnya, mereka perlu dibantu segera kerana sikap narsistik merupakan permasalahan gangguan personaliti di dalam masyarakat.
Ini bagi membina perhubungan yang lebih sihat, sejahtera, positif dan produktif di tempat kerja.
Natijahnya, perilaku narisistik ini sangat merugikan kerana memiliki jiwa yang rapuh dan ia akan membuat orang sekeliling menjauhkan diri kerana mereka susah bekerjasama dengan orang lain.
Mereka juga kurang prihatin, tidak rasa bersalah dengan merendahkan orang lain demi membuat diri mereka dihormati dan rasa superior, terhebat dalam segala aspek kehidupan di dalam status sosial atau di tempat kerja.
Hentikan bersikap narsistik: kita bukan sahaja perlu menjaga perasaan orang lain malah menghormati hak dan keperluan mereka, bukannya mengambil kesempatan seman-mata untuk meraih keuntungan diri sendiri.
Seseorang itu harus sentiasa mengingat bahawa kehidupan ini ibarat putaran roda, perlu hidup bermasyarakat bukannya hidup dengan dunia sendiri.
Ibrahnya, betapa pentingnya menjaga adab, komunikasi interpersonal bukan sahaja membina hubungan baik dengan Allah SWT tetapi juga menjaga hubungan sesama manusia.
Dalam agama Islam pun sudah digariskan betapa pentingnya seseorang diharuskan untuk menjaga hubungan yang baik dengan manusia lain iaitu Hablum Minallah Dan Hablum Minannas.
Sesungguhnya kita boleh meminta keampunan dari Allah SWT atas dosa atau khilaf diri tetapi jika berbuat dosa sesama manusia belum tentu dimaafkan oleh individu yang kita telah sakiti hatinya.
Firman ALLAH SWT dalam Surah Luqman, ayat 18 mengingatkan kita:
“Dan janganlah kamu memalingkan wajah daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”
Ruang atau Hak Peribadi Sama Sekali Tidak Dihormati
Ada di kalangan kita yang pernah merasakan ruang atau hak peribadi tidak dihormati dan dicerobohi.
Suasana sedemikian boleh mencipta ketegangan emosi yang menjejaskan hubungan ukhwah atau silaturrahim.
Individu narsisme ini adakalanya bertindak agresif, memulakan serangan peribadi, di luar kawalan dan mula mengeluarkan kenyataan, merendahkan orang lain serta sindiran yang tidak sepatutnya.
Sikap biadab ini harus dicegah kerana ia boleh mengakibatkan ketidakselesaan jiwa dan perasaan seseorang.
Usah menormalisasi pembulian di tempat kerja kerana komunikasi yang bercanggah serta tingkahlaku atau pergerakan badan yang negatif sememangnya ditolak, tidak relevan di tempat kerja demi menjaga keharmonian organisasi. Ia sememangnya merosakkan dinamik kerjasama di dalam organisasi.
Manusia yang bijak dan profesional seharusnya bijak menggunakan akal dan kawal emosi bukannya membiarkan emosi mengawal diri sendiri.
Tanggungjawab Pengurusan Organisasi bagi Penyelesaian Optimal dan Efektif
Seharusnya pengurusan sesebuah organisasi bersikap cakna dan tegas menangani isu permasalahan narsisme di tempat kerja.
Jangan ambil sambil lewa kerana ia sudah berakar umbi dan kelak menjadi parah. Sikap ini boleh menjejaskan kualiti kerja dan prestasi organisasi di dalam jangka panjang.
Pemimipin organisasi seharusnya bertanggungjawab memanggil pekerja narsistik dengan memberi teguran, nasihat bagi membendung permasalahan konflik di tempat kerja.
Pemupukan budaya kerja yang sihat harus dititikberat dan disemai sebaiknya bagi menggalakkan pekerja bersikap empati, bekerjasama dengan baik bagi mewujudkan komunikasi dan hubungan interpersonal yang baik sesama staf yang lain.
Pepatah ada mengatakan mencegah lebih baik daripada mengubati. Kenali masalah dan cuba mencari jalan penyelesaian yang efektif bagi menangani masalah narsisme.
Ini juga bagi mendukung gagasan Malaysia MADANI yang diasaskan oleh PMX iaitu mengamalkan sikap ihsan, hormat, bagi membina masyarakat yang sejahtera dan yakin.
Tuntasnya, buang sikap narsistik dan kenali kesannya kepada orang sekeliling kerana ia bukan sahaja merugikan diri sendiri tetapi juga merupakan masalah personaliti diri yang menyumbang kepada permasalahan sosial dan produktiviti organisasi.
Individu yang bermasalah ini perlu mendapatkan rawatan terapi sebelum terlambat.
Kita perlu membina peradaban, personaliti yang unggul bagi melahirkan masyarakat, bangsa yang beradab, bahagia, sejahtera akalnya bagi menjaga kemampanan serta kualiti kerja yang cemerlang sebagai pemangkin kepada prestasi yang baik di organisasi tempat kita; mencurah bakti.
“Aku lebih menghargai orang yang beradab daripada berilmu. Jika hanya berilmu, iblis pun lebih tinggi ilmunya daripada manusia”- Syeikh Abdul Qadir Jailani
-- BERNAMA
Norazlinda Mohammad ialah Pensyarah Kanan bidang Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan, Melaka.