Perkembangan teknologi komunikasi telah mencipta satu realiti sosial yang menarik.
Dalam sesetengah keadaan, individu yang tinggal serumah boleh menjadi semakin jauh dari segi interaksi dan emosi kerana masing-masing sibuk dengan peranti digital.
Sebaliknya, mereka yang berada jauh secara geografi masih mampu mengekalkan hubungan yang rapat melalui panggilan video, mesej segera dan pelbagai platform komunikasi dalam talian.
Situasi ini menggambarkan paradoks komunikasi era digital, iaitu manusia semakin mudah berhubung, tetapi tidak semestinya semakin memahami antara satu sama lain.
Dalam dunia serba digital hari ini, teknologi menjanjikan kelebihan luar biasa. Dalam satu klik, kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja di mana-mana saja.
Namun, semakin mudah untuk kita berhubung, semakin sukar pula untuk kita benar-benar ‘hadir’ dalam hubungan.
Ramai yang tinggal di bawah satu bumbung, namun emosi dan perhatian terpisah jauh.
Anak-anak tenggelam dalam dunia maya, ibu bapa pula sibuk mengejar tuntutan kerja, manakala datuk dan nenek hanya menjadi pemerhati senyap dalam hiruk-pikuk digital yang tidak mereka fahami.
Kajian menunjukkan bahawa rumah yang tidak mengamalkan komunikasi yang berkualiti lebih mudah mengalami tekanan emosi, pertengkaran, dan rasa keseorangan yang mendalam, walaupun semua ahli keluarga tinggal bersama.
Tanpa sedar, kita bukan tidak berjumpa, tetapi tidak benar-benar hadir.
Anak yang menghabiskan masa menonton YouTube dari pagi hingga malam mungkin lebih mengenali suara dan cerita pempengaruh maya berbanding suara datuknya yang pernah meredah zaman darurat dengan semangat luar biasa.
Kita mendengar, tetapi tidak benar-benar mendengar. Kita duduk bersebelahan, tetapi tidak menyentuh hati masing-masing.
Akhirnya, kita kehilangan cerita-cerita warisan. Generasi baharu tidak sempat mendengarnya, dan generasi lama tidak sempat menceritakannya.
Jurang Yang Makin Jelas
Ledakan media sosial dan cara hidup moden menjadikan jurang antara generasi semakin ketara. Generasi Z dan Alpha lebih selesa berkomunikasi melalui mesej ringkas, emoji, dan video pantas.
Sebaliknya, generasi terdahulu seperti Boomers dan Gen X masih menghargai perbualan panjang, renungan mata, dan sentuhan emosi.
Bagi anak muda, masa bersama keluarga kadangkala dirasakan tidak menarik atau tidak produktif. Sedangkan bagi warga emas, saat berbual dan berkongsi cerita silam adalah saat yang paling berharga.
Kini, peranti digital telah menjadi ‘tetamu tetap’ dalam setiap ruang.
Kita makan di meja yang sama, tetapi mata terpaku pada skrin. Fizikalnya kita bersama, tetapi jiwanya semakin menjauh.
Walaupun teknologi sering dipersalahkan, ia sebenarnya hanyalah alat.
Seperti pisau, ia boleh menjadi senjata yang menyakitkan atau alat yang membantu membina, bergantung kepada cara kita menggunakannya.
Sebenarnya, teknologi mampu menjadi jambatan kasih sayang jika digunakan dengan bijaksana.
Hari ini, ramai anak Malaysia yang belajar atau bekerja di luar negara masih mengekalkan keakraban keluarga melalui teknologi.
Ada yang membaca doa bersama keluarga setiap malam melalui Zoom, ada yang tidak pernah gagal menghubungi datuk nenek mereka melalui video call walau hanya lima minit sehari.
Inilah makna sebenar ‘jauh tapi dekat’. Hubungan fizikal terpisah, tetapi emosi tetap bersatu.
Menuju Komunikasi Yang Bermakna
Untuk merapatkan kembali hubungan antara generasi, kita perlu mulakan dengan langkah-langkah kecil tetapi bermakna.
Antaranya, meluangkan masa bebas gajet.
Luangkan satu jam setiap hari untuk bersama tanpa sebarang gangguan telefon atau televisyen.
Contohnya, semasa makan malam, jadikan masa itu untuk berkongsi cerita dan bertanya khabar dengan sepenuh perhatian.
Seterusnya, menggalakkan cucu menelefon datuk dan nenek mereka, bukan sekadar menghantar emoji.
Kita juga boleh mengajak datuk atau nenek mencuba permainan moden yang mudah difahami atau galakkan anak-anak belajar membuat kuih tradisional bersama datuk mereka.
Aktiviti seperti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah mencipta kenangan yang tidak ternilai.
Kita juga boleh mengambil inspirasi daripada inisiatif komuniti.
Di Sabah, misalnya, satu projek melatih cucu-cucu mengajar datuk nenek menggunakan aplikasi video telah berjaya meningkatkan komunikasi keluarga sehingga 70 peratus dalam tempoh sebulan.
Di Kelantan pula, sebuah sekolah mengadakan program menulis surat kepada datuk nenek. Surat-surat itu dihantar secara fizikal.
Ramai warga emas yang menerima surat menangis terharu kerana kali terakhir mereka mendapat surat adalah lebih tiga puluh tahun lalu.
Dalam pada itu, sekolah dan ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membentuk budaya komunikasi yang sihat.
Anak-anak perlu diajar untuk menghormati orang lebih tua, belajar mendengar dengan teliti, dan memahami cara komunikasi generasi berbeza.
Bukan semua orang tua tahu menggunakan teknologi, maka wajar diadakan kelas atau bengkel digital untuk warga emas supaya mereka tidak rasa ketinggalan.
Hubungan yang erat tidak terjalin melalui mesej ringkas atau tanda suka di media sosial semata-mata, tetapi melalui masa yang diluangkan bersama, perbualan yang bermakna dan sentuhan kasih sayang yang tulus.
Dalam dunia yang serba pantas ini, mari kita berhenti sejenak dan bertanya pada diri, adakah kita benar-benar dekat dengan orang yang kita sayangi?
Atau hanya kelihatan dekat, tetapi sebenarnya jauh?
-- BERNAMA
Dr Miharaini Md Ghani ialah Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.