PENA WANITA

Jenayah Dan Bahasa Emosi Di Jalan Raya

13/03/2026 08:59 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Miharaini Md Ghani

Jalan raya sepatutnya menjadi ruang pergerakan yang teratur dan selamat.

Namun, dalam realiti masyarakat moden di Malaysia, ia semakin menjadi pentas konflik emosi.

Pertengkaran kecil, bunyi hon berpanjangan, aksi memotong secara berbahaya dan provokasi isyarat tangan kini bukan lagi perkara asing.

Dalam banyak kes, insiden ini berakhir dengan pergaduhan fizikal, kerosakan harta benda dan kecederaan.

Fenomena ini menunjukkan bahawa jenayah di jalan raya bukan sekadar isu disiplin memandu, tetapi berkait rapat dengan bahasa emosi dan kegagalan komunikasi.

Jalan Raya sebagai Ruang Komunikasi Tanpa Kata

Ramai tidak menyedari bahawa setiap pemandu sebenarnya sedang berkomunikasi.

Lampu isyarat membelok, jarak kenderaan, brek mengejut dan hon ialah bentuk mesej nonverbal. Inilah yang boleh disebut sebagai “bahasa emosi” di jalan raya.

Masalah timbul apabila mesej ini disalah tafsir.

Hon yang ditekan untuk memberi amaran mungkin dianggap sebagai sindiran. Lampu tinggi yang dinyalakan untuk meminta laluan mungkin dilihat sebagai cabaran.

Dalam situasi trafik yang sesak, tafsiran negatif mudah menguasai fikiran. Apabila emosi mendahului rasional, tindakan agresif menjadi pilihan.

Dalam konteks komunikasi interpersonal, jalan raya ialah ruang yang tidak mempunyai dialog dua hala. Tiada ruang untuk penjelasan.

Setiap tindakan hanya ditafsir melalui persepsi. Apabila persepsi dipengaruhi tekanan dan keletihan, konflik menjadi lebih mudah tercetus.

Tekanan Hidup dan Ledakan Agresif

Pakar psikologi sosial mengaitkan tingkah laku agresif di jalan raya dengan tekanan kerja, beban kewangan dan keletihan mental.

Individu yang memandu selepas seharian bekerja mungkin berada dalam keadaan emosi yang rapuh. Sedikit kesilapan orang lain boleh menjadi pencetus kemarahan yang meluap.

Teori Strain dalam kriminologi menjelaskan bahawa tekanan hidup boleh mendorong individu melakukan tindakan menyimpang apabila mereka gagal mengurus tekanan secara sihat.

Jalan raya menjadi ruang pelepasan marah yang tidak terkawal.

Dari sekadar membunyikan hon, situasi boleh berkembang menjadi mengejar kenderaan lain, mengeluarkan kata-kata kesat, malah menyerang secara fizikal.

Kes-kes tular yang memaparkan pergaduhan di persimpangan lampu isyarat atau di lebuh raya membuktikan bahawa konflik kecil boleh bertukar menjadi jenayah serius.

Dalam beberapa keadaan, kecederaan parah dan kehilangan nyawa turut dilaporkan. Ini menunjukkan bahawa bahasa emosi yang tidak terkawal boleh membawa akibat besar.

Budaya Tular dan Normalisasi Agresif

Era media sosial mempercepat penyebaran insiden jalan raya. Rakaman kamera papan pemuka atau telefon bimbit dimuat naik dalam masa beberapa minit.

Walaupun tujuannya mungkin untuk mendapatkan keadilan, pendedahan tanpa konteks kadangkala membina budaya tontonan konflik.

Apabila masyarakat terlalu biasa melihat aksi agresif di jalan raya, wujud risiko normalisasi. Tingkah laku kasar dianggap biasa.

Bahasa emosi yang keras menjadi seolah-olah sebahagian daripada budaya memandu. Ini memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan sikap generasi muda.

Institusi pendidikan seperti Universiti Sains Malaysia sering menekankan pembangunan sahsiah dan kecerdasan emosi sebagai asas pembentukan modal insan.

Pendidikan nilai ini penting kerana keselamatan jalan raya tidak hanya bergantung pada undang-undang, tetapi juga pada karakter dan empati.

Undang-Undang dan Tanggungjawab Sosial

Dari sudut perundangan, tindakan seperti mengancam, memukul atau merosakkan kenderaan boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Namun, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi. Hukuman mungkin menimbulkan rasa takut, tetapi tidak semestinya membentuk kesedaran.

Pencegahan perlu bermula dengan pendidikan komunikasi beretika. Pemandu harus memahami bahawa setiap tindakan di jalan raya ialah mesej.

Jika mesej dihantar dengan sabar dan hormat, konflik dapat dielakkan. Jika mesej dihantar dengan marah dan ego, risiko jenayah meningkat.

Kempen keselamatan jalan raya juga wajar memasukkan elemen literasi emosi yang mengajar masyarakat cara mengurus kemarahan, bertolak ansur dan memberi ruang kepada orang lain.

Jalan raya ialah ruang awam yang dikongsi bersama, bukan milik individu tertentu.

Empati Sebagai Kunci Pencegahan

Tanggungjawab kita ialah mengurangkan jenayah di jalan raya dimana ianya memerlukan perubahan sikap.

Setiap pemandu perlu menyedari bahawa individu di sebalik stereng mungkin sedang menghadapi tekanan tersendiri, mungkin tergesa-gesa kerana kecemasan, mungkin kurang pengalaman, atau mungkin dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

Empati ialah benteng awal pencegahan. Tindakan seperti memberi laluan, mengurangkan kelajuan dan menahan diri daripada membalas provokasi ialah tindakan kecil yang membawa kesan besar.

Bahasa emosi yang tenang mampu meredakan situasi sebelum ia meledak.

Pada akhirnya, jenayah di jalan raya ialah cerminan masyarakat.

Jika masyarakat memilih untuk memandu dengan ego, konflik akan terus berlaku. Jika masyarakat memilih komunikasi berhemah, jalan raya boleh kembali menjadi ruang selamat.

Keselamatan bukan hanya soal papan tanda dan undang-undang.

Ia soal nilai, disiplin dan cara kita berkomunikasi.

Dalam dunia yang semakin tertekan, kemampuan mengawal bahasa emosi mungkin menjadi perbezaan antara perjalanan yang selamat dan tragedi yang tidak diingini.

Jalan raya tidak pernah salah, yang sering tersasar ialah hati yang gagal mengawal emosi.

-- BERNAMA

Dr Miharaini Md Ghani ialah Editor Pusat Media dan Perhubungan Awam, Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)