TINTA MINDA

Menembus Sunyi Dan Gelita: Kehidupan Unik Golongan Pekak-Buta

12/03/2026 07:50 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Mohd Norazmi Nordin

Bayangkan dunia tanpa bunyi dan tanpa cahaya.

Sebuah ruang hidup di mana tiada deruan gelombang suara, tiada pantulan warna yang membentuk pemandangan.

Bagi sebilangan kecil rakyat Malaysia, dunia realiti ini bukan sekadar imaginasi, ia adalah realiti harian penuh cabaran, ketabahan dan keunikan yang jarang difahami masyarakat umum.

Golongan pekak-buta, atau dalam istilah perubatan deafblind, mengalami kehilangan atau kekurangan deria penglihatan dan pendengaran secara serentak.

Situasi ini bukan sekadar gabungan dua kekurangan, tetapi mencipta satu bentuk ketidakupayaan unik yang menjadikan interaksi manusia dan persekitaran suatu tugas yang kompleks dan penuh usaha.

Statistik

Dalam konteks Malaysia, statistik rasmi menunjukkan bahawa lebih 805,000 individu telah berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), mewakili sekitar 2.4 peratus keseluruhan populasi negara pada tahun 2024.

Walaupun kategori spesifik pekak-buta tidak dipisahkan secara rasmi dalam data ini, kita tahu bahawa kategori penglihatan dan pendengaran merupakan sebahagian daripada kumpulan ini, iaitu ketidakupayaan penglihatan (8.5 peratus) dan ketidakupayaan pendengaran yang turut dilaporkan pada pendaftaran OKU yang lebih luas.

Data ini hanya sebahagian kecil daripada realiti sebenar kerana tidak semua individu ketidakupayaan berdaftar, dan ramai lagi hidup tanpa pengiktirafan formal meskipun menghadapi cabaran besar dalam kehidupan harian mereka.

Cara Berkomunikasi

Hidup tanpa bunyi dan cahaya bermakna kehidupan mereka dibentuk oleh deria lain, seperti sentuhan, bau, getaran dan rasa.

Komunikasi bukan sekadar bicara atau penglihatan; ia menjadi seni sentuhan yang tertib, seperti bahasa isyarat taktil, sistem hand-over-hand, objek sebagai penunjuk makna, serta sistem komunikasi berstruktur lain yang memerlukan latihan intensif dan konsisten.

Sedikit kesilapan dalam menyampaikan makna boleh membawa kepada salah faham, rasa terpinggir atau perasaan terasing.

Itu pun sebelum kita berbicara tentang akses kepada pendidikan, pekerjaan, atau peluang sosial yang sering di luar jangkauan individu pekak-buta tanpa sokongan khas.

Setiap pergerakan mereka juga memerlukan strategi dan persediaan.

Sebuah lorong yang dipenuhi rintangan kecil yang kita anggap remeh boleh menjadi halangan besar kepada mereka.

Untuk bergerak bebas, ramai individu pekak-buta menjalani latihan orientasi dan mobiliti, belajar membaca peta mental persekitaran melalui sentuhan lantai, struktur dinding dan panduan fizikal lain.

Ini bukan sekadar proses teknikal, tetapi satu perjalanan yang membentuk kecerdasan deria lain dan kesedaran tubuh terhadap ruang yang tak dapat dilihat atau didengar.

Sistem Sokongan

Kisah inspirasi hidup tokoh seperti Helen Keller, yang kehilangan penglihatan dan pendengaran pada usia muda namun berjaya menguasai bahasa, menuntut pendidikan tinggi dan menjadi penulis serta aktivis terkenal dunia, sering dijadikan simbol kebolehan luar biasa golongan pekak-buta.

Namun setiap individu pekak-buta mempunyai jalannya sendiri.

Kejayaan bukan semata-mata bergantung pada motivasi, tetapi pada sokongan intervensi awal, keluarga, masyarakat, teknologi bantuan dan sistem pendidikan yang menyokong sepenuhnya.

Negara Malaysia telah bergerak ke hadapan dengan dasar dan polisi inklusif untuk menyokong orang kurang upaya secara umum. Akta Orang Kurang Upaya 2008 mewajibkan pengiktirafan hak sama rata kepada OKU dan membuka ruang peluang dalam pelbagai sektor.

Dasar 1 pengambilan OKU dalam sektor awam juga diperkenalkan sejak 2018 untuk memastikan penyertaan mereka jelas dalam struktur kerja formal

Walau bagaimanapun, realiti di lapangan masih menunjukkan penyertaan OKU dalam pasaran kerja kekal rendah jika dibandingkan dengan kerangka dasar yang ideal, menunjukkan jurang antara dasar dan pelaksanaannya di peringkat komuniti.

Pendidikan

Di sekolah pula, peningkatan bilangan murid dengan keperluan pendidikan khas mencerminkan kesedaran dan usaha kerajaan untuk memperluaskan akses pendidikan.

Namun murid pekak-buta kerap memerlukan pendekatan pendidikan yang sangat khusus, dari guru terlatih dalam komunikasi taktil hingga rancangan pendidikan individu yang benar-benar inklusif.

Tanpa ini, potensi mereka tidak akan berkembang sebagaimana yang sepatutnya dalam masyarakat yang mengaku inklusif.

Teknologi kini menjadi jambatan harapan. Alat bantu seperti paparan Braille digital, aplikasi pengecaman objek berasaskan kecerdasan buatan (AI), peranti getaran amaran persekitaran dan aplikasi komunikasi alternatif memberikan peluang baru kepada individu pekak-buta untuk menguruskan maklumat, komunikasi dan mobiliti mereka dengan lebih bebas.

Namun teknologi ini masih memerlukan sokongan infrastruktur serta dana dan latihan untuk digunakan secara meluas dalam komuniti pekak-buta di seluruh negara.

Menghormati Hak Individu Pekak-Buta

Lebih penting lagi, masyarakat perlu berubah dari sekadar bersimpati kepada pendekatan yang benar-benar menghormati hak asasi dan potensi setiap individu pekak-buta.

Mereka bukan sekadar “mereka yang kekurangan suara dan cahaya”, mereka mempunyai keupayaan untuk belajar, bekerja, mencipta dan memberi sumbangan kepada masyarakat jika diberi peluang yang setara.

Pengiktirafan terhadap deria lain yang mereka gunakan setiap hari juga seharusnya membuka mata kita untuk melihat kepelbagaian cara manusia berhubung dengan dunia.

Dengan kesedaran ini, marilah kita memikirkan semula peranan kita sebagai masyarakat: bukannya melihat ketidakupayaan sebagai suatu beban semata-mata, tetapi sebagai cabaran bersama untuk membina ruang sosial yang benar-benar menghargai nilai setiap individu, tanpa mengira batas deria yang dimiliki.

-- BERNAMA

Dr Mohd Norazmi Nordin ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)