TINTA MINDA

TMM2026: Evolusi Pelancongan Mesra Muslim

16/03/2026 03:36 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Jamaluddin Aziz, Nor Fariza Mohd Nor, Muhammad Adnan Pitchan, Nurzihan Hassim dan Anwar Muttaqin

Tatkala tirai Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) atau Visit Malaysia 2026 (VM2026) sedang rancak dibuka, Malaysia sekali lagi berada di landasan utama untuk mempamerkan kehebatannya di persada antarabangsa.

Sebagai negara yang secara konsisten mengungguli Global Muslim Travel Index (GMTI), kempen VM2026 memberikan peluang keemasan untuk kita mentakrifkan semula konsep pelancongan Islam.

Hari ini, pelancongan mesra Muslim telah melalui anjakan paradigma yang radikal.

Ia bukan lagi sekadar penyediaan sijil halal di restoran atau sejadah di bilik penginapan.

Sebaliknya, kelangsungan industri ini kini dipacu oleh kehendak generasi baharu, kesedaran mendalam terhadap kelestarian alam sekitar, serta lonjakan teknologi pintar dan pemasaran imersif.

Sokongan Polisi Pelancongan Negara

Bagi memastikan VM2026 mencapai sasaran kemasukan pelancong dan resit pendapatan negara, sokongan polisi yang jitu menjadi tulang belakang industri.

Melalui Pusat Pelancongan Islam (ITC) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerajaan terus memperkasa Pengiktirafan dan Jaminan Hospitaliti dan Pelancongan Mesra Muslim (MFAR) bagi memantapkan standard pemain industri tempatan.

Lebih penting lagi, pergerakan ini selari dengan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang meletakkan penanda aras jelas ke arah pelancongan lestari, inklusif, dan pintar (Smart Tourism).

Polisi ini menuntut agar keghairahan menyambut pelancong diseimbangkan dengan pemeliharaan ekologi dan transformasi digital.

Generasi Millennial: Menuntut Ketelusan dan Nilai Beretika

Generasi Millennial dan Gen Z kini mendominasi pasaran pengembara Muslim global yang dijangka membanjiri negara sepanjang VM2026.

Cara demografi ini melancong sangat berbeza iaitu mereka menolak percutian yang bersifat kosmetik dan lebih dahagakan pengalaman yang tulen (authentic), bermakna, serta mempunyai nilai tanggungjawab sosial.

Bagaimanapun, kebangkitan pengembara Millennial ini turut mendedahkan beberapa isu kritikal yang perlu ditangani segera oleh pemain industri.

Isu pertama adalah manipulasi 'Halal-Washing'.

Dalam hal ini, terdapat segelintir pengusaha yang mempromosikan pakej atau premis mereka sebagai 'mesra Muslim' tanpa pematuhan piawaian halal yang ketat semata-mata untuk meraih keuntungan pantas.

Generasi muda menolak keras taktik ini dan menuntut ketelusan mutlak.

Kedua, kesan pelancongan massa atau overtourism.

Golongan ini berpendapat bahawa Pembangunan tidak terkawal dan kebanjiran pelancong di kawasan sensitif seperti pulau peranginan atau tapak warisan berisiko merosakkan ekosistem dan sosio-budaya tempatan.

Ketiga adalah permintaan pelancongan beretika.

Millennial Muslim menilai destinasi percutian berdasarkan etika holistik: Adakah rantaian bekalan hotel tersebut menindas pekerja?

Adakah mereka menyokong ekonomi penduduk kampung setempat? Adakah amalan mereka selari dengan kelestarian alam?

Tadabbur Alam: Falsafah Islam dalam Kelestarian

Bagi menangani isu overtourism dan kemusnahan alam, ajaran Islam telah lama menggariskan panduan yang tuntas.

Pelancongan dalam Islam (safar) amat digalakkan dengan matlamat untuk tadabbur, iaitu menghayati, merenung, dan mengagumi kebesaran ciptaan Allah SWT.

Kita perlu menghayati amaran Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat 41: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia."

Ayat ini adalah teras kepada konsep kelestarian.

Sebagai khalifah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi, pelancongan Islam wajib berteraskan ekopelancongan.

Pengusaha dan pelancong antarabangsa yang datang sempena VM2026 perlu dididik untuk meminimumkan jejak karbon, tidak mencemarkan sumber air, dan memelihara keindahan flora serta fauna.

Mengekalkan kelestarian alam ini adalah manifestasi langsung tuntutan Maqasid Syariah (pemeliharaan nyawa dan harta).

Media Sosial dan Strategi Imersif: Senjata Promosi VM2026

Dalam mendidik pengembara dan memasarkan keunikan pelancongan halal Malaysia ke mata dunia, penggunaan media sosial kini perlu digabungkan dengan strategi imersif (immersive strategies) untuk kekal kompetitif.

Kajian kami mengenai Islamic Tourism di bawah dana Kursi Sheikh Othman Sarawak mencadangkan agar kempen berkaitan Islamic Eco-Tourism mengambil kira:

Pertama, teknologi berasaskan realiti terimbuh (Artificial Reality) dan realiti maya (Virtual Reality).

Pemain industri pelancongan boleh menggunakan VR untuk menawarkan 'lawatan maya' 360 darjah ke masjid-masjid dan lokasi bersejarah (seperti Masjid Kristal di Trengganu) atau destinasi ekopelancongan (Gua Niah di Sarawak) sebelum pelancong membuat tempahan.

Aplikasi AR pula boleh digunakan oleh pelancong ketika berada di Malaysia untuk mengimbas menu restoran bagi mengesahkan status sijil Halal secara interaktif (real-time).

Kedua adalah usaha membanteras 'Halal-Washing' melalui Kandungan Janaan Pengguna atau Users-Generated Content.

Kandungan Janaan Pengguna di TikTok dan Instagram oleh vlogger Muslim tempatan dan antarabangsa bertindak sebagai pengauditan sosial yang paling berkesan.

Ulasan jujur mereka lebih dipercayai oleh rakan Millennial berbanding kempen iklan tradisional.

Ketiga adalah keperluan bercerita secara interaktif (storytelling).

Strategi imersif bukan sekadar bergantung pada perkakasan teknologi, tetapi bagaimana penceritaan di media sosial membawa audiens "masuk" merasai budaya tempatan.

Video-video pendek beresolusi tinggi yang memaparkan proses penyediaan makanan warisan halal atau kraftangan tradisional mampu memikat hati pelancong untuk memilih Malaysia.

Secara tuntasnya, Tahun Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar pesta kemasukan pelancong, tetapi ia adalah pentas terbaik untuk Malaysia membuktikan kematangan industri pelancongan Islamnya.

Integrasi holistik antara pematuhan syariah yang telus, kesungguhan memelihara alam sekitar, dan aplikasi teknologi imersif digital adalah kunci kejayaan.

Pelancongan Islam era baru ini adalah sebuah wadah dakwah moden.

Jika dibuat dengan niat yang betul, ia mampu menterjemahkan keindahan keharmonian Islam melalui kelestarian, keadilan beretika, dan kecanggihan teknologi.

-- BERNAMA

Jamaluddin Aziz, Nor Fariza Mohd Nor, Muhammad Adnan Pitchan, Nurzihan Hassim dan Anwar Muttaqin ialah Penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian adalah dari dana penyelidikan Kursi Sheikh Othman Sarawak.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)