Setiap tahun, ketika musim perayaan Aidilfitri, anak-anak menerima duit raya yang jumlahnya boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.
Namun persoalan yang jarang kita tanya ialah, berapa ramai ibu bapa benar-benar mengajar anak cara mengurus duit itu?
Hakikatnya, di sinilah bermulanya masalah kewangan dalam masyarakat kita. Cabaran utama bukan sekadar tahap pendapatan, tetapi tahap literasi kewangan.
Ramai yang mempunyai pendapatan tetap, tetapi masih gagal membina simpanan atau merancang kewangan dengan baik.
Menurut Bank Negara Malaysia, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk kecemasan, malah ramai yang sukar menyediakan sekurang-kurangnya RM1 ribu sebagai dana kecemasan.
Ini menunjukkan masalah sebenar bukanlah “tak cukup duit,” tetapi “tidak tahu urus duit.”
Dapatan oleh Financial Education Network turut menunjukkan bahawa tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat masih perlu diperkukuh, khususnya dalam aspek simpanan dan perancangan jangka panjang.
Jika keadaan ini berterusan, anak-anak hari ini berisiko mengulangi kesilapan yang sama apabila dewasa nanti.
Asas Pengurusan Kewangan
Lebih membimbangkan, tanpa asas pengurusan kewangan yang kukuh sejak kecil, seseorang mudah terdedah kepada gaya hidup berbelanja tanpa kawalan, kebergantungan kepada hutang, serta kegagalan membina simpanan jangka panjang.
Inilah kitaran yang sering berulang dalam masyarakat apabila pendidikan kewangan tidak diberikan penekanan dari awal.
Oleh itu, duit raya sebenarnya bukan sekadar tradisi, tetapi peluang pendidikan kewangan paling mudah dan praktikal.
Sebagai contoh, seorang kanak-kanak boleh mengumpul sekitar RM500 sepanjang Aidilfitri.
Tanpa panduan, wang ini biasanya habis dalam masa beberapa minggu, malah mungkin hanya dalam beberapa hari jika tidak diuruskan dengan betul.
Namun, dengan sedikit bimbingan, jumlah yang sama boleh menjadi asas kepada tabiat kewangan yang baik.
Satu pendekatan yang boleh diamalkan ialah menggabungkan pembahagian peratus dengan konsep “jar” atau bekas supaya anak bukan sahaja faham, tetapi dapat melihat sendiri bagaimana wang diuruskan.
Dalam kaedah ini, duit raya dibahagikan kepada beberapa “jar” atau sampul berasingan mengikut tujuan:
Jar Simpanan – 40%
Jar Pelaburan – 30%
Jar Perbelanjaan – 20%
Jar Sedekah – 10%
Sebagai contoh, jika seorang anak menerima RM500 duit raya, pembahagiannya boleh dibuat seperti berikut:
RM200 dimasukkan ke dalam simpanan
RM150 dimasukkan ke dalam pelaburan
RM100 digunakan untuk perbelanjaan
RM50 untuk disedekahkan
Pendekatan ini bukan datang secara rawak, tetapi berasaskan prinsip pengurusan kewangan yang telah digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa.
Antara rujukan utama ialah kaedah “50-30-20” yang dipopularkan oleh Elizabeth Warren, yang membahagikan pendapatan kepada keperluan, kehendak dan simpanan.
Namun, dalam konteks kanak-kanak, struktur ini diubah suai kepada “40-30-20-10” kerana mereka belum mempunyai komitmen kewangan.
Pembentukan Tabiat Kewangan
Fokus diberikan kepada pembentukan tabiat, termasuk simpanan, pelaburan dan nilai berkongsi bersama.
Dalam masa yang sama, pendekatan “jar” ini juga selari dengan kaedah pendidikan kewangan yang digunakan oleh badan seperti Australian Securities and Investments Commission (ASIC), yang menekankan pembelajaran secara visual dan praktikal untuk kanak-kanak.
Kelebihan utama pendekatan ini ialah ia mudah difahami. Kanak-kanak dapat melihat sendiri ke mana duit mereka pergi, bukan sekadar mendengar arahan.
Lebih penting, ia membina disiplin. Apabila duit dalam “jar perbelanjaan” habis, anak akan belajar bahawa mereka tidak boleh mengambil daripada bahagian simpanan atau pelaburan.
Di sinilah bermulanya kefahaman tentang had, keutamaan dan kawalan diri.
Selain itu, pendekatan ini juga membantu membentuk sikap bertanggungjawab terhadap wang.
Anak-anak akan mula memahami bahawa setiap keputusan kewangan mempunyai kesan, sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang.
Ini merupakan asas penting dalam membina individu yang berdisiplin dalam pengurusan kewangan apabila dewasa kelak.
Dalam masa yang sama, ibu bapa boleh menerangkan fungsi setiap jar: simpanan untuk masa depan, pelaburan untuk menggandakan duit melalui konsep penggandaan, perbelanjaan untuk kegunaan semasa dan sedekah untuk berkongsi rezeki.
Jika pendidikan ini bermula hari ini, anak-anak akan membesar dengan kefahaman yang jauh lebih baik tentang pengurusan wang.
Mereka bukan sahaja tahu membelanjakan, tetapi juga tahu merancang dan mengurus.
Dalam jangka panjang, inilah yang akan membezakan antara individu yang sekadar mempunyai pendapatan dengan individu yang benar-benar mempunyai kestabilan kewangan.
Kesimpulannya, duit raya bukan sekadar kegembiraan sementara untuk dihabiskan sesuka hati, tetapi satu peluang membina asas kewangan generasi akan datang.
Perubahan besar dalam masyarakat tidak bermula dengan gaji yang lebih tinggi, sebaliknya bermula daripada cara kita mendidik anak-anak mengurus wang yang kecil hari ini.
--BERNAMA
Dr Norshela Mohd Noh ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Teknologi Kekjuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).