TINTA MINDA

Had Laju 30 Km/Jam: Trend Global Atau Keperluan Nyata?

01/04/2026 10:54 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Ir Dr Nur Izzi Md Yusof, Prof Ir Dr Sri Atmaja P. Rosyidi

Kelajuan itu membunuh. Satu mesej penting yang telah lama digunakan bagi mengingatkan pengguna jalan raya tentang risiko pemanduan berkelajuan tinggi.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak cadangan dikemukakan untuk menurunkan had laju di kawasan bandar, khususnya di kawasan berpenduduk, dengan matlamat utama untuk mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

Peralihan daripada had laju di bandar kepada sekitar 30 km/j sering menjadi tumpuan perbincangan kerana ia dianggap lebih bersesuaian dengan persekitaran bandar yang padat dan pelbagai guna.

Dari sudut fizik dan kejuruteraan, hubungan antara kelajuan dan tahap kecederaan adalah jelas.

Semakin tinggi kelajuan sesebuah kenderaan, semakin besar tenaga kinetik yang terhasil dan semakin tinggi daya hentaman semasa pelanggaran.

Pada kelajuan yang lebih rendah, jarak membrek menjadi lebih pendek, masa tindak balas lebih agresif dan pemandu mempunyai peluang yang lebih besar untuk mengelakkan perlanggaran.

Bagi pejalan kaki dan penunggang basikal pula, perbezaan beberapa kilometer sejam sahaja boleh menjadi penentu antara kecederaan ringan dan kecederaan parah atau kematian.

Oleh itu, secara asasnya pengurangan had laju seharusnya membawa kepada pengurangan risiko kemalangan dan kecederaan.

Namun teori semata-mata adalah tidak mencukupi, persoalan pentingnya ialah andaian ini mestilah disokong dengan bukti empirikal.

Membentuk Pemanduan Lebih Selamat

Pelbagai kajian yang dijalankan di Eropah menunjukkan corak dapatan yang agak konsisten.

Apabila had laju diturunkan, kelajuan purata trafik turut menurun. Lebih penting daripada itu, jumlah kemalangan dan bilangan mangsa yang cedera juga berkurang dengan ketaranya.

Pengurangan ini bukan sahaja melibatkan kemalangan kecil, tetapi turut melibatkan kemalangan serius yang membawa kepada kecederaan parah dan kematian.

Menariknya, dalam beberapa keadaan, kadar penurunan kemalangan adalah lebih besar daripada kadar penurunan purata kelajuan.

Ini menunjukkan bahawa kesan pengurangan had laju bukan sekadar berkaitan angka kelajuan di atas papan tanda, tetapi turut mempengaruhi cara pemandu berfikir dan bertindak di jalan raya.

Apabila had laju yang lebih rendah diperkenalkan, pemandu cenderung untuk menyesuaikan tingkah laku mereka secara menyeluruh.

Mereka menjadi lebih berhati-hati, lebih peka terhadap pergerakan pejalan kaki dan kenderaan lain serta kurang agresif dalam pemanduan.

Dalam beberapa kajian lepas, penurunan kadar kemalangan bukan sahaja berlaku di kawasan yang tertakluk secara langsung kepada had laju baharu, malah turut dikesan di kawasan berhampiran.

Fenomena ini mencerminkan perubahan budaya pemanduan yang lebih luas.

Apabila pemandu membiasakan diri dengan kelajuan lebih rendah di satu kawasan, mereka cenderung mengekalkan corak tersebut walaupun berada di tempat lain.

Dengan kata lain, dasar pengurangan had laju boleh mempengaruhi norma sosial dan membentuk persekitaran pemanduan yang lebih selamat secara keseluruhan.

Kesan Terhadap Alam Sekitar

Selain aspek keselamatan, pengurangan had laju juga mempunyai kesan terhadap kualiti persekitaran bandar.

Trafik yang bergerak lebih perlahan menghasilkan tahap bunyi yang lebih rendah, terutamanya pada waktu malam apabila bunyi latar belakang biasanya lebih sunyi.

Pengurangan bunyi ini memberi manfaat langsung kepada penduduk, meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan hidup.

Dapatan kajian menunjukkan variasi yang lebih ketara apabila diteliti dari sudut pencemaran udara.

Terdapat kawasan yang merekodkan penurunan tahap pencemaran, manakala sebahagian yang lain tidak menunjukkan perubahan yang signifikan.

Bagaimanapun, tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa pengurangan had laju menyebabkan peningkatan pencemaran.

Secara keseluruhan, kesannya terhadap alam sekitar tidak negatif dan dalam sesetengah keadaan, berpotensi memberi manfaat.

Satu lagi kesan yang sering diperhatikan ialah perubahan dalam corak perjalanan masyarakat.

Apabila jalan raya dirasakan lebih selamat dan kurang menekan, orang ramai lebih cenderung untuk berjalan kaki atau berbasikal bagi perjalanan jarak dekat.

Suasana jalan yang lebih tenang dan kurang berbahaya menjadikan ruang bandar lebih mesra pengguna.

Dalam jangka masa panjang, perubahan ini boleh menyumbang kepada pengurangan penggunaan kenderaan persendirian, seterusnya menyokong agenda pengangkutan lestari dan pengurangan pelepasan karbon.

Oleh itu, pengurangan had laju bukan sekadar isu keselamatan trafik, tetapi juga berkait rapat dengan matlamat pembangunan bandar mampan.

Walaupun begitu, kebimbangan sering timbul bahawa had laju lebih rendah akan memanjangkan masa perjalanan, termasuklah bagi kenderaan persendirian dan pengangkutan awam.

Kajian lepas menunjukkan bahawa memang terdapat sedikit peningkatan masa perjalanan dalam keadaan tertentu, namun kesannya didapati kecil dan tidak seteruk yang dijangkakan.

Di kawasan bandar yang sering mengalami kesesakan, kelajuan sebenar kenderaan jarang mencapai had maksimum yang dibenarkan, maka pengurangan rasmi had laju tidak semestinya memberi perubahan besar terhadap tempoh perjalanan.

Tambahan pula, jika lebih ramai orang beralih kepada mod pengangkutan alternatif, tekanan terhadap sistem jalan raya boleh berkurang, sekali gus mengimbangi kesan peningkatan masa perjalanan.

Menilai keberkesanan pengurangan had laju memerlukan analisis statistik yang teliti, kerana kadar kemalangan boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti perubahan demografi, reka bentuk jalan, dan kempen keselamatan.

Namun, kajian yang direka dengan baik dan mengambil kira pemboleh ubah penting menunjukkan bahawa penurunan kemalangan selepas pengenalan had laju lebih rendah adalah signifikan secara statistik.

Ini memberikan asas yang kukuh untuk menyokong dasar tersebut sebagai langkah berasaskan bukti, bukan sekadar eksperimen sosial.

Secara umumnya, pengalaman di pelbagai kawasan menunjukkan bahawa had laju sekitar 30 km/j di kawasan bandar adalah mencukupi untuk menyeimbangkan keperluan mobiliti dan keselamatan.

Langkah ini tidak bermakna mengekang pergerakan atau menyukarkan perjalanan, sebaliknya bertujuan mewujudkan jalan raya yang lebih manusiawi dan selamat untuk semua pengguna, termasuk golongan yang paling terdedah.

Jalan raya bukan hanya ruang untuk kenderaan bergerak pantas, tetapi juga ruang awam yang dikongsi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Dengan memperlahankan kelajuan, kita sebenarnya membuka ruang kepada kesejahteraan, keselamatan dan kelestarian yang lebih menyeluruh.

--BERNAMA

Prof Madya Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Prof Ir Dr Sri Atmaja P. Rosyidi ialah Pensyarah Kanan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Indonesia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)