TINTA MINDA

Penjajaran Bakat Dengan Industri Elak Pembaziran Potensi

02/04/2026 06:51 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Laporan Tenaga Buruh Suku Keempat 2025 mengetengahkan satu data yang cukup membimbangkan apabila seramai 1.96 juta rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.

Walaupun kadar pengangguran negara kini stabil pada paras 2.9 peratus namun angka itu mencerminkan pembaziran potensi yang besar kerana hampir dua juta tenaga kerja negara bekerja di bawah tahap kemahiran sebenar mereka.

Secara umumnya situasi ini menggambarkan masih ramai dalam kalangan graduan kita bekerja dalam bidang tidak sejajar dengan kelayakan akademik mereka.

Fenomena ini mencetuskan cabaran kepada universiti untuk melahirkan graduan yang memiliki kemahiran diperlukan industri dan kerajaan pula perlu menyediakan peluang pekerjaan baharu yang memerlukan tenaga kerja berkelayakan tertiari atau pekerja mahir.

Justeru perlu ada inisiatif bersepadu bagi membantu para graduan memperoleh peluang pekerjaan yang setara dengan kelayakan sekali gus meraih jumlah pendapatan yang setimpal.

Ringkasnya, pihak universiti perlu menilai semula kursus yang ditawarkan, manakala pihak kerajaan meneliti aspek permintaan dan penawaran secara menyeluruh.

Kerjasama Kementerian dan Industri

Umumnya, semua universiti dilihat sudah menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan memulakan proses menilai semula kursus ditawarkan melalui semakan kurikulum termasuk membentuk kursus baharu diperlukan industri.

Ini adalah langkah strategik jangka panjang yang akan memberi impak signifikan kepada bakat modal insan dilahirkan universiti kelak.

Selain itu, untuk menangani situasi semasa serta memperbaiki struktur pasaran buruh secara tuntas maka pihak kerajaan perlu menggiatkan lagi intervensi strategik bagi menyelamatkan bakat yang dikesan tidak dioptimumkan sepenuhnya.

Dalam konteks ini kita menyambut baik pengumuman peruntukan RM5 juta daripada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memperkasa kebolehpasaran graduan.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, inisiatif akan bermula April ini membabitkan 400 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Hakikatnya, perkara pokok yang perlu ditangani pada ketika ini ialah keperluan untuk melaksanakan penjajaran bakat dengan keperluan industri mencakupi dua kelompok yang terlibat iaitu graduan sedia ada dalam pasaran serta golongan mahasiswa yang masih berada di kampus.

Pertama kita perlu membantu graduan yang tersepit di pasaran kerja pada ketika ini sehingga terpaksa bekerja di pelbagai bidang yang tidak berkaitan dengan kelayakan akademik demi meneruskan kelangsungan hidup.

Kita ada data mereka dan tahu apa bidang kelayakan, maka perlu ada penjajaran dan pemetaan yang strategik untuk menempatkan mereka dalam bidang kerjaya atau industri yang bersesuaian.

Proses ini perlu melibatkan kerjasama erat pihak kementerian dan industri agar dapat mewujudkan titik pertemuan dengan membuka peluang pekerjaan yang sewajarnya.

Jika graduan yang sudah ada di pasaran ini didapati tidak memiliki set kemahiran yang diperlukan industri, maka perlu ada pelan latihan kemahiran bersifat jangka pendek agar golongan ini dapat mengikutinya sebagai persiapan untuk memenuhi keperluan industri.

Pihak kerajaan boleh terus memperkasa nilai tambah golongan ini melalui program seperti MyMAHIR Skills Lab di bawah TalentCorp yang dilaksanakan dengan kerjasama majikan dan penyedia latihan industri, serta Internship Training Scheme (ITS) oleh HRD Corp yang menyediakan latihan praktikal berstruktur kepada graduan berdasarkan keperluan majikan.

Selain itu, pihak kerajaan juga boleh menyediakan pelbagai insentif kepada majikan, seperti potongan cukai tambahan, bagi menggalakkan mereka mengambil graduan ini untuk bekerja.

Majikan kemudiannya boleh memberi peluang kepada graduan untuk mengikuti latihan yang diperlukan selepas pengambilan.

Selain itu, konsep latihan sambil bekerja juga boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman pekerja senior.

Pendekatan ini merupakan situasi menang-menang yang membolehkan negara, majikan dan graduan memperoleh manfaat yang sewajarnya.

Pada masa sama, penubuhan MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) yang berperanan memastikan kemahiran graduan selari dengan keperluan pekerjaan masa hadapan dilihat sebagai satu lagi langkah strategik kerajaan untuk menangani isu ini.

Majlis ini diharap dapat melihat secara menyeluruh struktur pasaran buruh semasa dan masa depan demi kelangsungan bakat muda negara.

Sistem Pemetaan Graduan Bersepadu

Bagi membantu majlis ini, disarankan kerajaan bangunkan Sistem Pemetaan Graduan Bersepadu sebagai platform untuk mengintegrasikan semua data sedia ada sekali gus bertindak sebagai pangkalan data berpusat yang memadankan kelayakan graduan dengan sektor industri yang kekurangan tenaga kerja.

Di samping itu, para graduan juga perlu bersedia untuk menjalani latihan kemahiran yang diperlukan.

Hal ini penting kerana dalam realiti pasaran kerja yang semakin mencabar, graduan wajar bersedia menghadapi persaingan yang tinggi.

Idealnya, di samping kelayakan akademik seperti ijazah dalam bidang yang dimiliki, para graduan wajar mengikuti kursus pensijilan profesional atau kemahiran jangka pendek.

Langkah ini boleh menjadi nilai tambah dan membuka peluang yang lebih baik untuk memperoleh pekerjaan berpendapatan tinggi.

Perancangan kedua membabitkan golongan bakal mahasiswa dan mereka yang sedang berada di kampus pada ketika ini.

Bakal mahasiswa baik yang berada di sekolah mahupun di fasa persediaan masuk universiti seperti matrikulasi atau asasi wajar mengambil iktibar dengan senario dan cabaran kerjaya hari ini dan masa depan khususnya permintaan pasaran kerja dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus membuat pilihan yang betul dan bijak sebelum memohon pengajian peringkat ijazah di universiti.

Ini penting kerana kita tidak mahu anak-anak ini salah membuat pilihan dan akhirnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran selepas bergraduat kelak.

Dalam hal ini para ibu bapa serta kaunselor sekolah boleh memainkan peranan besar dengan memberikan nasihat, bimbingan dan panduan yang betul kepada anak-anak.

Bukakan minda dan pengetahuan anak-anak agar mereka faham hubungkait antara bidang pengajian serta kemahiran dimiliki dengan pasaran kerja yang akan mereka hadapi kelak.

Penting untuk membuat keputusan bijak antara minat serta kemahuan diri dengan keperluan majikan atau industri.

Bagi golongan mahasiswa yang sedang berada di kampus pula dinasihatkan gunakanlah masa yang ada untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran yang bersesuaian secara sambilan sebagai nilai tambah sebelum menamatkan pengajian.

Isu ketidakpadanan antara kelayakan dan pekerjaan tidak boleh lagi dilihat sebagai cabaran sementara, sebaliknya perlu ditangani sebagai agenda nasional yang mendesak.

Jika tidak diurus secara strategik, kita bukan sahaja berdepan risiko pembaziran bakat, malah boleh menjejaskan keyakinan generasi muda terhadap masa depan mereka sendiri.

Justeru penjajaran bakat dengan keperluan industri adalah sangat signifikan dan ia menuntut komitmen menyeluruh daripada kerajaan, institusi pendidikan, majikan dan graduan agar setiap potensi yang dilahirkan benar-benar dimanfaatkan untuk memacu kemajuan negara.

--BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)