Baru-baru ini, negara sekali lagi dibangkitkan dengan satu insiden hantaran dan penyebaran kandungan yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) di platform media sosial.
Tindakan ini bukan sekadar menarik perhatian masyarakat, tetapi turut mencetuskan kecaman, perdebatan dan campur tangan pihak berkuasa.
Perkara ini adalah satu refleksi penting kepada tahap kefahaman generasi muda tentang penggunaan media sosial dan tanggungjawab yang datang bersamanya.
Statistik terkini menunjukkan bahawa 85 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini adalah pengguna media sosial aktif. Dalam konteks jumlah pengguna pula, terdapat lebih 30.7 juta identiti pengguna media sosial di Malaysia.
Data ini jelas menggambarkan bahawa media sosial bukan lagi sekadar platform sosial, bahkan ia telah menjadi ruang maklumat, identiti, ekspresi diri dan pembentukan naratif awam.
Kajian juga menunjukkan Instagram, TikTok dan Facebook kekal popular dalam kalangan belia Malaysia, dengan sebahagian besar golongan muda bergantung kepada platform ini sebagai sumber berita, hiburan dan hubungan sosial.
Namun, statistik yang tinggi ini membawa kepada beberapa implikasi. Lebih ramai remaja mudah terdedah kepada kandungan tidak ditapis, termasuk kandungan kontroversi dan bersifat provokatif.
Dalam konteks ini, media sosial dijadikan arena untuk mencipta atau mencari sensasi, bukannya ruang refleksi dan diskusi matang.
Hakikatnya, populariti dan kadar penggunaan tidak semestinya sejajar dengan tahap kefahaman terhadap etika digital, kesahan maklumat, dan tanggungjawab sosial.
Kebebasan bersuara atau tanggungjawab sosial
Kebebasan bersuara merupakan prinsip asas dalam sebuah negara demokrasi. Negara kita tidak menghalang kebebasan bersuara, namun hak itu datang bersama tanggungjawab jangka panjang.
Freedom of expression bukan lesen untuk menghina, memprovokasi atau mempermainkan sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja.
Sempadan undang-undang wujud bukan untuk mengetepikan kebebasan, tetapi untuk menjaga keharmonian masyarakat yang majmuk.
Dalam konteks media sosial, tafsiran tentang hak individu untuk menyatakan pandangan tanpa sekatan adalah tidak tepat.
Kebebasan bersuara dalam kerangka demokrasi moden sentiasa diseimbangkan dengan prinsip tanggungjawab sosial.
Isu 3R merupakan antara perkara yang mempunyai sensitiviti tinggi. Perbincangan terhadap isu-isu ini menuntut tahap perhatian yang lebih tinggi.
Dalam masyarakat majmuk, kestabilan bukan terbina secara kebetulan, tetapi hasil toleransi, kompromi dan saling menghormati yang dipupuk sejak sekian lama.
Tanggungjawab sosial dalam konteks digital merujuk kepada kesedaran bahawa setiap kandungan yang diterbitkan membawa implikasi sosial.
Ia menuntut pengguna mempertimbangkan kesan terhadap keharmonian antara kaum, sensitiviti agama dan persepsi masyarakat sebelum sesuatu kandungan disebarkan.
Dalam erti kata lain, kebebasan bersuara perlu digandingkan dengan keupayaan membuat pertimbangan etika.
Kefahaman tentang keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab perlu diperkukuh melalui pendidikan literasi media sosial.
Masyarakat terutamanya generasi muda harus didedahkan kepada konsep bahawa hak bersuara datang bersama akauntabiliti.
Setiap hantaran bukan sahaja mencerminkan identiti individu, tetapi turut menyumbang kepada ekosistem komunikasi digital.
Keperluan, bukan pilihan
Literasi media sosial sering diterjemah sebagai sekadar kemahiran menggunakan aplikasi. Tetapi ia sebenarnya merangkumi keupayaan untuk mengakses, menganalisis, menilai dan menghasilkan kandungan secara beretika dan bertanggungjawab.
Dalam dunia digital yang dipacu algoritma, status tular bukan jaminan bahawa sesuatu kandungan itu betul, beretika atau berfaedah.
Algoritma media sosial cenderung mempromosikan kandungan yang mendapat banyak perhatian.
Kandungan yang bersifat kontroversi sering menerima kadar interaksi tinggi contohnya komen, perkongsian dan tanda suka.
Ini menyebabkan sistem secara automatik menonjolkan kandungan tersebut kepada lebih ramai pengguna.
Remaja yang dahagakan perhatian mungkin terdorong menghasilkan kandungan lebih ekstrem demi meningkatkan capaian.
Tanpa kesedaran literasi, mereka gagal menilai risiko jangka panjang terhadap reputasi, masa depan akademik dan kerjaya.
Dalam konteks isu 3R, literasi media sosial menjadi semakin kritikal kerana kandungan berkaitan agama, kaum dan institusi diraja sering bersifat sensitif dan mudah mencetuskan reaksi emosional.
Tanpa kemahiran menilai konteks dan implikasi, pengguna berisiko menjadi penyumbang kepada penyebaran sentimen negatif, sama ada secara sengaja atau tidak.
Satu dimensi penting literasi media sosial ialah pemikiran kritikal. Pengguna yang bijak tidak menerima sesuatu maklumat secara bulat-bulat hanya kerana ia tular atau dikongsi oleh individu berpengaruh.
Mereka menilai sumber, memahami konteks dan mempertimbangkan kemungkinan dimanipulasi. Dalam era maklumat berlebihan (information overload), keupayaan menapis menjadi lebih penting daripada keupayaan mengakses.
Dimensi kedua ialah kesedaran etika. Literasi bukan sekadar soal ketepatan fakta, tetapi juga soal kesesuaian dan kesan sosial.
Sesuatu kandungan mungkin benar dari sudut fakta, namun cara penyampaiannya berkemungkinan bersifat provokatif atau menyinggung sensitiviti tertentu.
Dalam masyarakat majmuk, kepekaan budaya dan agama bukan pilihan moral yang bersifat subjektif, tetapi keperluan sosial yang objektif.
Selain itu, literasi media sosial turut melibatkan kefahaman tentang jejak digital dan reputasi dalam talian.
Setiap hantaran meninggalkan rekod yang berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap peluang pendidikan, kerjaya dan kepercayaan masyarakat.
Generasi muda khususnya perlu menyedari bahawa identiti digital adalah sebahagian daripada identiti sosial mereka.
Lebih jauh lagi, literasi media sosial berfungsi sebagai mekanisme pencegahan. Dalam banyak kes melibatkan provokasi 3R, isunya mungkin lebih kepada kegagalan menilai akibat dan kesan.
Sekiranya tahap literasi tinggi, individu lebih cenderung mempertimbangkan risiko undang-undang, implikasi sosial dan kesan terhadap keharmonian sebelum memuat naik sesuatu kandungan.
Peranan institusi, keluarga dan komuniti
Menangani isu ini hanya melalui kempen kesedaran umum tidak mencukupi. Pendidikan literasi media sosial perlu diperkasa sejak di bangku sekolah.
Ia bukan sekadar kempen bermusim, tetapi perlu diintegrasikan secara sistematik dalam kurikulum dan aktiviti kokurikulum.
Sementara itu, institusi pendidikan pula disarankan menjadikan martabat seorang pengguna digital sebagai satu kompetensi utama para pelajar.
Sebagai contoh, keupayaan menilai berita benar atau palsu, atau kemampuan mengenali bentuk provokasi di ruang digital adalah kemahiran yang tidak boleh dipandang ringan.
Pelajar perlu didedahkan kepada simulasi kes sebenar, perbincangan etika digital, serta analisis kesan sosial sesuatu kandungan.
Mereka harus memahami bahawa menjadi pengguna media sosial bukan hanya tentang hak, tetapi juga tanggungjawab sebagai warganegara.
Institusi pengajian tinggi juga memainkan peranan penting. Mahasiswa bukan sahaja pengguna, malah pencipta kandungan yang berpotensi mempengaruhi ribuan pengikut.
Tanpa kesedaran etika, ruang digital boleh menjadi pentas penyebaran sentimen negatif.
Selain itu, pelajar harus dididik bukan sahaja bagaimana menapis maklumat, tetapi juga kepentingan menapis maklumat tersebut dari sudut etika, undang-undang, kesan sosial, hingga ke implikasi psikologi.
Ini merangkumi pembelajaran untuk memahami konteks budaya dan sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia.
Kerjasama antara pihak sekolah, institusi pengajian tinggi, keluarga dan komuniti amat penting.
Ibu bapa dan penjaga perlu bukan sekadar memantau masa skrin anak, tetapi turut membantu mereka menjadi pengguna media sosial yang beretika dan warganegara digital yang bertanggungjawab.
Komunikasi harian tentang isu digital harus menjadi sebahagian daripada perbualan keluarga.
Media sosial adalah satu medium komunikasi digital dan sepatutnya menjadi ruang memperkukuh perpaduan, menyebarkan ilmu dan meraikan kepelbagaian.
Namun sekiranya ia digunakan tanpa asas literasi kukuh dan kawalan kendiri, ia boleh menjadi medan provokasi.
Masyarakat perlu beralih daripada sekadar pengguna pasif kepada warganet yang bertanggungjawab.
Ini bermakna berani menegur secara berhemah, melaporkan kandungan tidak wajar, dan tidak menyumbang kepada penyebaran mesej atau kandungan berunsur 3R.
Selain itu, remaja perlu sedar bahawa identiti digital mereka adalah cerminan diri. Reputasi yang tercalar akibat satu hantaran boleh memberi kesan bertahun-tahun lamanya.
Kebebasan bersuara yang matang bukanlah kebebasan yang lantang tanpa batas, tetapi kebebasan yang disalurkan dengan pertimbangan rasional, kesedaran undang-undang dan kepekaan terhadap struktur sosial masyarakat.
Sebagai masyarakat yang menghargai keharmonian, keadilan dan kebersamaan, kita perlu membina generasi yang bukan sahaja cekap menggunakan teknologi, tetapi juga beretika dan matang.
Dalam kelompok masyarakat majmuk, setiap perkataan mempunyai makna, setiap hantaran memberi kesan.
Justeru, literasi media sosial bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak demi memastikan ruang digital kekal sebagai ruang dialog yang matang, bukan medan provokasi.
-- BERNAMA
Dr Siti Nasarah Ismail ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan