TINTA MINDA

Pembentukan Istilah: Antara Selera Awam Dan Disiplin Ilmu Linguistik

27/04/2026 08:32 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Muhammad Qhidir Mat Isa

Beberapa hari yang lalu heboh disebut laman sosial Munsyi Muda Bahasa yang dikelolakan oleh Sekretariat Musyi Muda Bahasa Jabatan Perkhidmatan Awam tentang hantaran istilah “cop ayam” bagi terjemahan kulinari “chicken chop”.

Pengenalan istilah “cop ayam” menjadi tular dengan 264 perkongsian, 200 komentar dan hampir 1,000 reaksi suka dan ketawa daripada warga maya. Apabila ditelusuri, rata-rata komen teratas bernada sinis dan tidak bersetuju dengan penggunaan istilah ‘cop ayam’.

Antara komen yang mendapat reaksi suka paling tinggi menyatakan “Kering sangat dah ni ideanya. Cop getah, Cop dahi, Cop parkir. Kekalkanlah. Itukan lebih kepada nama khas, Chicken Chop. Kenapa ramai sangat pakar jenis. Terlalu nak ikut buku. Makin lama makin tak terkawal. Inilah sebabnya kenapa non-Malay memilih untuk guna B.I dalam surat menyurat, khususnya organisasi/syarikat swasta. (Nak sahkan, buat kajian). Habis semua nak diMelayukan. Kalau kita memang dah tak ada perkataan dalam BM (miskin istilah) - guna je lah yang sedia ada. Pasni pasti banyak lagi yang akan menyusul; lamb chop = cop kambing, shell out = keluar cengkerang, steamboat = bot berwap, Swiss roll = Swiss bergulung, Pasta ? Spaghetti ? Croissant ? Tu belum lagi perkatan melibatkan jenis-jenis air kopi. Caramel latte, Machiato, Expresso, Brewed Coffee, Mocha latte, Hazelnut latte, latte = susu, Minta maaflah.... Ni luahan hati je.”

Terdapat juga komentar bersikap natural seperti “Tahukah anda menu Chicken Chop bukan menu asli Barat tetapi ia diperkenalkan oleh chef China Hainan di Malaysia Singapura di zaman kolonial British. Pada awalnya mereka menggunakan daging babi menjadi Pork Chop menggantikan Lamb Chop. Namun lama kelamaan dengan penyesuaian halal, digantikan dengan ayam. Perkataan 'Chop' bermaksud potongan daging.”

Pun begitu boleh dikatakan, sebahagian besar komentar hantaran Munsyi Muda Bahasa tersebut mengutarakan pandangan berbeza seperti: “Aku rasa "potongan ayam" lagi betul..tak payah beria sgt nak melayukan perkataan inggeris..Chop tu memang potong pun maksudnya..semua benda Inggeris nak diMelayukan..apa benda lah”.

Membetulkan Bahasa

Hakikatnya, polemik persepsi ini bukan suatu yang baharu dalam dunia usaha pengembangan dan pembakuan Bahasa Melayu.

Cabaran-cabaran sebegini sebenarnya telah lama menjadi gula, asam dan garam kerana ia menyentuh ehwal “harta bersama” masyarakat Malaysia, iaitu bahasa Melayu.

Melihat kepada ketajaman komentar-komentar, mengingatkan penulis kepada pengalaman yang sama dahsyat ketika penulis terlibat dalam bengkel-bengkel pemurnian mutu penulisan dokumen urusan rasmi di beberapa agensi awam.

Usaha untuk menerapkan format, gaya bahasa dan tanda baca yang sahih dalam bahasa rasmi sering berhadapan dengan hegemoni gaya dalaman (in-house style) yang diwarisi turun-temurun walaupun sebahagian besarnya tidak ada justifikasi atau benar-benar diperlukan.

Kecaman yang dilontarkan dalam laman Munsyi Muda Bahasa, turut membawa ingatan penulis kepada suatu refleksi daripada sedikit pengalaman menulis, Munsyi Muda JPA, Munsyi Dewan, editor, serta menjadi auditor bahasa beberapa agensi.

Pada pemerhatian penulis, memperbetulkan bahasa bukan semata-mata tentang format, gaya bahasa, tatabahasa, tanda baca dan ejaan yang betul.

Pengetahuan yang paling utama sebenarnya ialah strategi mengurus ego serta menyemai kepedulian terhadap mutu bahasa rasmi. Inilah perkara pertama perlu dikuasai.

Secara optimis, mungkin polemik sebegini ada kalanya diperlukan dalam gelanggang pemartabatan Bahasa Melayu.

Hal ini dikatakan demikian kerana, usaha-usaha promosi penggunaan Bahasa Melayu baku sebelum tercetusnya idea laman media sosial seperti Munsyi Muda Bahasa cenderung kepada kaedah-kaedah tradisionalis seperti ceramah.

Paling ketara ialah usaha sebelumnya selalu berbentuk silo dan tidak keterlaluan disebut “usaha bermusim”. Tentu sekali yang dimaksudkan ialah musim bulan bahasa kebangsaan.

Pakar Bahasa

Oleh sebab itu, laman media sosial seperti yang digerakkan oleh tenaga muda Sekretariat Munsyi Muda Bahasa muncul sebagai sebuah usaha yang progresif, konsisten dan strategik.

Polemik sebegini memang diperlukan.

Hal ini dikatakan demikian kerana, secara positif laman-laman sosial Munsyi Muda Bahasa JPA kian popular dan menempatkan dirinya sebagai aset strategik apabila banyak hantaran laman ini turut dikongsi oleh laman-laman media sosial rasmi jabatan kerajaan lain yang mulai memperlihatkan kecaknaan bersama agensi awam.

Selain itu, polemik ini juga menghantar sebuah mesej yang jelas iaitu, warga maya amat prihatin dengan perkembangan Bahasa Melayu.

Walaupun dengan tanggapan positif atau negatif, nyatanya perkembangan Bahasa Melayu sentiasa menjadi tarikan dalam hantaran-hantaran.

Penting untuk kita tahu bahawa, fenomena ini membuka ruang perbahasan akademik ke peringkat awam.

Di sinilah perlunya pakar-pakar Bahasa untuk mempermudahkan rumus-rumus panduan bahasa kepada khalayak awam, sama ada diterima awam atau tidak.

Apa yang penting ialah, apabila wacana akademik turun ke peringkat bawah, ia menjadi petunjuk sebenar dasar terbesar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu pengembangan dan pengkorpusan Bahasa Melayu.

Tidak dinafikan, partisipasi awam amat tinggi terutama bermula tahun-tahun pentadbiran PMX.

Walau bagaimanapun, apa-apa sahaja pandangan diberikan tidak dapat mengatasi fakta bahawa, bahasa bidang kajian bahasa atau linguistik bukan suatu bidang mudah.

Pertama, pandangan perlu dibuktikan dengan konsep-konsep dasar.

Kedua, harus ada jalan kerja.

Ketiga, cadangan amalan yang dilontarkan harus bersifat lestari.

Contoh cadangan untuk mengekalkan sebutan dalam Bahasa Inggeris.

Apakah ia membantu dalam pengembangan Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang?

Apakah benar hanya disebabkan oleh pengistilahan yang tidak mengikut selera tekak awam atau sebenarnya ada faktor-faktor lain yang mendorong Bahasa Melayu tidak menjadi kecenderungan?

Dalam konteks pembentukan istilah, Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (1975) merupakan rujukan utama daripada badan berautoriti untuk menetapkan kaedah pembentukan dan penyerapan istilah.

Penulis setuju jika ada yang berpandangan bahawa, panduan tersebut agak “uzur” pada tahun penerbitannya. Oleh sebab itulah, panduan sedia ada tidak mampu menguruskan dengan baik ledakan dan dinamik istilah-istilah baharu.

Akan tetapi, penulis yakin kaedah-kaedah pembentukan dan penyerapan istilah terangkum dalam panduan adalah yang terbaik pada masa ini. Panduan tersebut bukan berlandaskan selera tekak, tetapi perbincangan yang sistematik, kritis dan oleh pakar-pakar bahasa.

Maka, DBP wajar mengemas kini rujukan utama dan pada masa yang sama menyambut keghairahan awam terhadap perjuangan Bahasa Melayu di bawah pentadbiran PMX.

Dari satu aspek yang lain, inisiatif pengembangan Bahasa Melayu melalui media sosial oleh agensi-agensi tertentu, perlu bersifat kependidikan.

Memang sentiasa ada komentar dengan pandangan sinis, namun penulis yakin lebih ramai pembaca-pembaca senyap hantaran-hantaran tentang Bahasa Melayu ini berfikiran rasional iaitu mahukan penjelasan. Tentunya, tanpa penjelasan bagi sesuatu fakta meskipun sahih yang tidak diketahui khalayak umum, pasti sekali ia akan meledakkan polemik dalam kalangan warga maya.

Sama ada aspek adalah perkara yang terlepas pandang, atau memang disengajakan sebagai strategi penjenamaan, penulis serahkan kepada pentadbir halaman.

Yang jelas ialah, secara optimistik, keghairahan awam terhadap usaha-usaha pengembangan dan pembakuan Bahasa Melayu yang kian rancak dalam kalangan warga maya memberi petanda baik bagi bahasa kebangsaan ini.

Walau bagaimanapun, memandangkan ruang media sosial merupakan medan terbaik bagi demokrasi pandangan yang tentunya sentiasa terbuka luas kepada sesiapa sahaja, namun suka penulis menyeru untuk khalayak awam memahami landasan ilmu.

Jika dalam bidang agama warga maya boleh menghormati dan menyerahkan keputusan daripada alim ulama dan agensi autoriti agama. Maka tentunya sikap yang terbaik perlu digunakan dalam konteks bahasa.

Memang bidang bahasa bukanlah mutlak seperti agama. Namun konsep "...maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (ahli ilmu) jika kamu tidak mengetahui." Surah An-Nahl ayat 43 adalah seruan terbaik untuk sikap yang baik.

Dalam pada itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau mana-mana gerakan kebahasaan wajar menyambut sentimen tinggi kecaknaan awam yang mulai bercambah naik terhadap usaha pengembangan dan pembakuan Bahasa Melayu.

Selain memanfaatkan minat awam yang semakin menebal, mungkin masanya juga untuk dikemas kini buku-buku panduan tahun-tahun 80-an dan 90-an yang ada.

Pada kesempatan ini juga, penulis ingin merakamkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang akan menyambut ulang tahun ke-70 pada tanggal 22 Jun, tahun ini.

Bahasa jiwa bangsa.

-- BERNAMA

Muhammad Qhidir Mat Isa ialah Munsyi Muda JPA dan Munsyi Dewan DBP, Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi, Universiti Malaysia Sarawak

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)