Setiap tahun, ribuan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan persoalan besar: ke mana arah tuju selepas SPM?
Dalam landskap pendidikan tinggi negara, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) tampil sebagai antara pilihan terbaik masa kini.
Hakikatnya, institusi ini bukan sekadar pilihan, malah merupakan laluan utama yang telah menyumbang 40 peratus daripada tenaga kerja teknikal negara.
TVET: Pendidikan Berorientasikan Masa Depan
Agenda pendidikan yang dibawa oleh Kerajaan masa kini semakin menekankan peranan besar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035: TVET Diperhebat untuk mengangkat TVET sebagai teras pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, memacu ekonomi bernilai tinggi, reformasi POLYCC dan melahirkan pembina negara selari dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi dan automasi, kemahiran praktikal menjadi aset penting.
Graduan POLYCC bukan sahaja memahami teori, malah mampu mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar sekaligus merupakan satu kelebihan yang amat diperlukan oleh majikan.
Kelebihan Menyambung Pengajian Di POLYCC
Satu daripada kelebihan utama memilih Politeknik dan Kolej Komuniti adalah kos pengajian yang lebih rendah berbanding institusi lain yang seterusnya membuka akses kepada lebih ramai pelajar daripada golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran tanpa menghadapi beban kewangan yang tinggi.
Dengan kekuatan sebanyak 36 Politeknik dan 106 Kolej Komuniti di seluruh negara, POLYCC menawarkan pelbagai program pengajian yang relevan dengan keperluan semasa industri seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, hospitaliti, perniagaan, dan kemahiran teknikal lain selain pelaksanaan program yang menggabungkan teori di institusi dengan pengalaman kerja sebenar di industri atau dikenali sebagai ‘Work-Based Learning’ (WBL) dan Industry on Campus (IOC) iaitu pendekatan inovatif di mana elemen industri dibawa terus ke dalam kampus.
Selain itu, peluang graduan POLYCC untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti di peringkat ijazah sarjana muda dan lain-lain di universiti awam turut terbuka luas khususnya menerusi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Hubungan Erat Dengan Industri
POLYCC turut mempunyai hubungan kolaborasi strategik yang kukuh bersama dengan lebih 20,000 rakan industri menerusi pelbagai kerjasama dan mendapatkan input secara terus bersama industri dalam pembangunan kurikulum bagi memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dan terkini.
Pada 2024, POLYCC berjaya mencatatkan Kadar Graduan Bekerja sehingga 98.8 peratus, ianya merupakan satu angka melepasi sasaran nasional dan membuktikan graduan TVET POLYCC sentiasa menjadi rebutan oleh pihak industri.
Membentuk Usahawan dan Inovator
Disamping melahirkan tenaga mahir, POLYCC turut memberi penekanan kepada pembangunan keusahawanan.
Pelajar digalakkan untuk berfikir secara kreatif, berani mencuba dan membina perniagaan sendiri dengan bimbingan pensyarah profesional.
Banyak kisah kejayaan usahawan muda bermula dari kolej komuniti tetapi berjaya berkembang menjadi perusahaan yang kukuh.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan mengurangkan kebergantungan kepada ‘mencari pekerjaan’ semata-mata.
Mengubah Persepsi Masyarakat
Satu cabaran yang masih wujud iaitu persepsi masyarakat yang masih menganggap laluan TVET sebagai pilihan kedua.
Hakikatnya, persepsi ini perlu diubah. Institusi TVET bukanlah tempat bagi mereka yang “kurang berjaya”, sebaliknya laluan strategik bagi membina kemahiran, meningkatkan daya saing dan membuka peluang pekerjaan yang luas dalam dunia sebenar.
POLYCC kini telah membuktikan keupayaannya sebagai pilihan utama lepasan SPM.
Dengan penekanan kepada kemahiran praktikal, hubungan industri yang kukuh, peluang kerjaya yang luas serta laluan pendidikan yang fleksibel, POLYCC bukan sahaja relevan, malah menjadi tonggak penting dalam pembangunan tenaga kerja negara.
Sudah tiba masanya lepasan SPM, ibu bapa dan masyarakat melihat TVET sebagai pilihan utama dan bukan lagi sebagai pilihan kedua atau terakhir.
-- BERNAMA
Muhammad Syamil Khalid ialah Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi.