Oleh Dr Nur Saadah Khair
Mendepani zaman yang penuh cabaran pada hari ini, masyarakat berhadapan dengan pelbagai tekanan ekonomi yang semakin meruncing.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini termasuk konflik di Asia Barat yang menjejaskan kestabilan global, peningkatan harga minyak dunia yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup, serta keadaan ekonomi yang semakin sempit bagi sebahagian besar masyarakat.
Situasi ini bukan sahaja memberi tekanan kepada individu, malah turut mempengaruhi kestabilan institusi keluarga dan sosial.
Dalam konteks ini, amalan berjimat cermat tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan sampingan, sebaliknya menjadi satu keperluan yang mendesak.
Perbelanjaan harian perlu diurus dengan lebih teliti, manakala keutamaan harus diberikan kepada keperluan berbanding kehendak.
Sikap boros dan pembaziran yang sebelum ini mungkin dipandang ringan kini boleh membawa implikasi yang lebih besar terhadap kesejahteraan hidup.
Pemikiran Za'ba mengenai kehidupan sederhana dan berjimat cermat amat relevan untuk dijadikan panduan dalam menghadapi cabaran masa kini.
Beliau memuatkan satu bab penting tentang amalan berjimat cermat dalam sebuah karyanya yang bertajuk Asuhan Budi, yang ditulis pada tahun 1950-an dan kemudiannya diterbitkan semula oleh Akademi Jawi Malaysia pada tahun 2020.
Hal ini menunjukkan bahawa pemikiran Za’ba masih kekal signifikan sebagai rujukan dan panduan dalam abad ke-21.
Berjimat-cermat Menurut Za’ba
Dalam karya Za'ba bertajuk Asuhan Budi, ajaran berjimat cermat dalam Islam telah dibincangkan dalam Bab 5.
Ia disentuh secara umum dalam bab sebelumnya yang menekankan bahawa amalan ini merupakan salah satu kewajiban kepada diri sendiri, di samping membaiki perangai diri, memelihara maruah diri dan lain-lain.
Maksud berjimat-cermat yang ditekankan Za’ba dalam penulisannya tertumpu kepada “kelakuan beringat-ingat mengasingkan sedikit daripada wang dan harta, dan menyimpannya bagi digunakan apabila tiba masa sesak dan kesukaran ketika kita berkehendak kepadanya setelah kehabisan wang yang lain, sama ada habis dengan sebab dibuat belanja atau sebab apa-apa kemalangan seperti rumah terbakar dan sebagainya.”
Kenyataan ini menurut Za’ba berkait rapat dengan bidalan Melayu, “menyediakan payung sebelum hujan.” Hal ini demikian kerana konsep berjimat cermat ini terhasil daripada dua perkara.
Pertama, jimat, iaitu merujuk kepada keupayaan menggunakan harta benda secara berhemah serta berhati-hati dalam perbelanjaan.
Kedua, cermat, iaitu menggunakan harta tanpa merosakkan atau menghilangkannya, serrta tidak berlebih-lebihan agar tidak kehabisan dan masih mencukupi untuk kegunaan pada masa hadapan.
Dalam menjelaskan kepentingan berjimat-cermat, Za’ba memetik dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis dan menghuraikan faedah amalan tersebut beserta contoh-contoh dalam kehidupan seharian. Beliau juga menekankan tentang kesalahan dan sikap masyarakat yang sering mengabaikan prinsip kesederhanaan.
Kaedah Berjimat-cermat Menurut Za’ba
Pemikiran Za’ba tentang amalan berjimat-cermat tidak hanya menekankan maksud dan kelebihannya sahaja, malah beliau turut menggariskan beberapa kaedah praktikal yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Kaedah-kaedah ini dimuatkan dalam penulisan beliau dan disusun secara sistematik sebagai panduan, seperti yang berikut:
Menyimpan walaupun sedikit. Kata Za’ba: “Kalau besar gaji atau pendapatan itu, simpanlah besar dan kalau sedikit atau kecil pendapatan, simpanlah sedikit pula”.
Membayar secara tunai dan elakkan berhutang.
Jika terpaksa berhutang, Za’ba berpesan agar menyegerakan pembayaran dan tidak menambah hutang pada perkara yang lain.
Mengelakkan berbelanja dengan sengaja daripada keuntungan atau pendapatan yang belum pasti.
Selagi mana hasil belum diperoleh, kebarangkalian ia belum menjadi hak yang boleh dibelanjakan.
Mencatat setiap pendapatan yang diterima dan perbelanjaan yang dikeluarkan.
Hal ini boleh mengelakkan wang habis tanpa disedari atau dibelanjakan pada perkara yang tidak perlu.
Membuat pertimbangan bagi pendapatan dan perbelanjaan secara bulanan. Ia membantu perancangan kewangan bagi mengenal pasti lebihan dan kekurangan (defisit) dalam kewangan.
Tidak merosakkan harta benda akibat kemarahan atau tindakan melulu. Perbuatan ini hanya membawa kerugian.
Memelihara urusan dan pendapatan sendiri tanpa melibatkan orang lain. Za’ba memetik kata-kata Arab yang menyebut: “Tiada yang akan memberati sesuatu pekerjaan itu dengan sebenar-benarnya lain daripada orang yang punya kerja itu sendiri, dan tiadak ada mata yang akan mengawal sesuatu barang lain daripada mata tuan punya barang itu sendiri.”
Mengelakkan pembelian barang yang tidak penting atau melebihi kemampuan.
Perbelanjaan untuk tujuan menunjuk-nunjuk atau bermegah hanya akan mendatangkan kerugian.
Mengambil kira kepentingan masa depan.
Seseorang perlu bersedia menghadapi kemungkinan kesukaran yang tidak dijangka, seperti dalam bidalan Melayu, “sediakan payung sebelum hujan.
Menyimpan wang di tempat yang selamat seperti institusi perbankan.
Za'ba menegaskan bahawa risiko kehilangan lebih tinggi jika wang disimpan di rumah tanpa perlindungan yang sewajarnya.
Melalui sepuluh kaedah yang dinyatakan oleh Za’ba, beliau berharap agar amalan berjimat cermat ini tidak diselahertikan sebagai usaha untuk cepat kaya atau sebagai tindakan menyekat segala keperluan sehingga membawa kesengsaraan demi membuat simpanan.
Tetapi, amalan ini hendaklah dilakukan dalam sempadan yang berpatutan dan tidak terjebak dalam budaya berlebih-lebihan.
Beliau juga sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikan agar segala sikap dan tindakan yang hendak dilakukan
itu bermula daripada diri sendiri. Barulah ia akan memberi kesan kepada orang di sekeliling.
Setiap individu berhak membuat pertimbangan yang adil untuk menentukan pengurusan kewangan masing-masing.
Justeru, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi masa kini, kembali kepada prinsip berjimat cermat seperti yang diketengahkan oleh Za'ba bukan sahaja wajar, malah sangat diperlukan.
Amalan ini harus dipupuk sebagai satu budaya hidup yang berterusan demi memastikan kesejahteraan individu dan masyarakat secara keseluruhan.
-- BERNAMA
Dr Nur Saadah Khair ialah Pensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia.