TINTA MINDA

Bekerja Dari Rumah Kurangkan Kesesakan Jalan Raya

06/05/2026 08:43 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff, Ir Dr Muhamad Razuhanafi Mat Yazid

Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang bermula pada 15 April 2026 dilihat sebagai langkah strategik dalam menghadapi cabaran krisis tenaga global yang semakin meningkat.

Ketika harga bahan api dunia terus menunjukkan ketidaktentuan, pendekatan ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga domestik, malah turut membuka ruang kepada transformasi lebih luas dalam sistem mobiliti dan gaya hidup masyarakat Malaysia.

Dasar yang melibatkan sektor awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan bersedia meneroka pendekatan alternatif dalam mengurus permintaan perjalanan harian rakyat.

Dalam konteks semasa, usaha ini tidak lagi boleh dilihat sebagai langkah sementara, sebaliknya sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang ke arah sistem pengangkutan yang lebih cekap, selamat dan lestari.

Kesesakan Lalu Lintas

Isu kesesakan lalu lintas di Malaysia, khususnya di Lembah Klang, bukanlah perkara baharu.

Kawasan metropolitan ini menampung lebih lapan juta penduduk dengan kadar pemilikan kenderaan yang tinggi, menjadikannya antara wilayah dengan tekanan trafik paling ketara di Asia Tenggara.

Setiap hari, jutaan perjalanan dilakukan bagi tujuan bekerja, pendidikan dan aktiviti harian lain, menyebabkan rangkaian jalan raya sering beroperasi hampir atau melebihi kapasiti.

Keadaan ini menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan antara dua hingga tiga jam sehari dalam kesesakan, terutama pada waktu puncak pagi dan petang.

Masa yang terbuang ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti individu, malah memberi kesan kepada kesejahteraan mental, keseimbangan kehidupan dan kos sara hidup.

Dalam jangka panjang, kesesakan kronik juga boleh menjejaskan daya saing ekonomi bandar kerana peningkatan kos logistik dan kelewatan pergerakan barangan serta perkhidmatan.


Pendekatan BDR

Pelaksanaan BDR berpotensi menjadi pemangkin kepada perubahan ini. Dengan mengurangkan keperluan perjalanan harian ke tempat kerja, jumlah kenderaan di jalan raya dapat dikurangkan secara langsung.

Dari sudut kejuruteraan pengangkutan, walaupun pengurangan trafik hanya sekitar 10 hingga 20 peratus, kesannya terhadap kelancaran aliran trafik adalah signifikan.

Pengurangan ini boleh meningkatkan tahap perkhidmatan jalan raya, mengurangkan masa perjalanan serta meningkatkan kebolehpercayaan masa perjalanan.

Kesan limpahan daripada pengurangan kesesakan ini turut dirasai dalam sistem pengangkutan awam.

Dengan kurangnya tekanan terhadap kapasiti tren dan bas, pengalaman pengguna dapat dipertingkatkan, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada mod pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT).

Ini selari dengan aspirasi negara untuk meningkatkan perkongsian mod pengangkutan awam dalam perjalanan harian.

Jalan Raya

Selain itu, pengurangan jumlah kenderaan di jalan raya turut memberi impak besar terhadap keselamatan jalan raya.

Statistik oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan negara kita merekodkan lebih 500,000 kemalangan jalan raya setiap tahun, dengan lebih 6,000 kematian.

Kesesakan trafik yang tinggi meningkatkan risiko kemalangan, khususnya dalam keadaan trafik perlahan yang melibatkan kerap berhenti dan bergerak.

Apabila jumlah kenderaan berkurang, interaksi antara pengguna jalan raya juga berkurang, sekali gus menurunkan kebarangkalian berlakunya perlanggaran.

Ini memberi manfaat bukan sahaja kepada pemandu kenderaan, malah kepada penunggang motosikal yang merupakan kumpulan paling terdedah kepada risiko kemalangan.

Pengurangan kemalangan juga dapat mengurangkan beban terhadap hospital, pasukan kecemasan dan sistem kesihatan negara, selain mengurangkan kerugian ekonomi akibat kecederaan dan kehilangan nyawa.

Dalam aspek alam sekitar, sektor pengangkutan menyumbang sekitar 20 hingga 25 peratus daripada jumlah pelepasan karbon dioksida negara.

Kesesakan lalu lintas pula meningkatkan penggunaan bahan api sehingga 30 peratus akibat operasi enjin yang tidak efisien.

Dengan pelaksanaan BDR, pengurangan perjalanan harian dapat menurunkan pelepasan karbon, sekaligus memperbaiki kualiti udara bandar..

BDR dan Kelestarian Alam

Dengan pelaksanaan BDR, pengurangan perjalanan harian boleh menurunkan jumlah pelepasan karbon dioksida secara signifikan.

Selain itu, pencemaran udara seperti nitrogen oksida (NOx), karbon monoksida (CO) dan zarah halus (PM2.5) juga dapat dikurangkan.

Ini penting dalam usaha meningkatkan kualiti udara bandar dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan sistem pernafasan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.

BDR juga mempunyai implikasi positif terhadap pembangunan bandar lestari dan konsep bandar pintar.

Dengan kemajuan teknologi digital seperti komunikasi dalam talian, mesyuarat secara maya dan penggunaan sistem berasaskan awan, keperluan untuk mobiliti fizikal dapat dikurangkan.

Ini membuka peluang kepada perancangan bandar yang lebih efisien, di mana pembangunan tidak lagi terlalu bergantung kepada pengembangan infrastruktur jalan raya.

Sebaliknya, sumber boleh difokuskan kepada pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, serta penyediaan kemudahan untuk mobiliti aktif seperti berjalan kaki dan berbasikal.

Pendekatan ini bukan sahaja mesra alam, malah menyumbang kepada gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat.

Kesan Ekonomi

Dari sudut ekonomi, pelaksanaan BDR memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Kos pemilikan dan operasi kenderaan di Malaysia dianggarkan antara RM0.50 hingga RM0.80 bagi setiap kilometer.

Dengan pengurangan perjalanan harian, seorang pekerja berpotensi menjimatkan di antara RM300 hingga RM500 sebulan, termasuklah kos bahan api, tol dan parkir.

Dalam jangka masa panjang, ini boleh meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah.

Bagi majikan pula, BDR membuka peluang untuk mengoptimumkan penggunaan ruang pejabat dan mengurangkan kos operasi.

Dalam jangka panjang, ini boleh meningkatkan kecekapan organisasi dan daya saing perniagaan.

Pada peringkat makro, pengurangan penggunaan bahan api juga dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada import tenaga, sekali gus memberi kesan positif kepada imbangan perdagangan.

Cabaran BDR

Namun begitu, pelaksanaan dasar ini bukan tanpa cabaran. Perubahan corak perjalanan perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan manfaat bersih kekal positif.

Terdapat kemungkinan bahawa pengurangan perjalanan ke tempat kerja akan digantikan dengan peningkatan perjalanan lain seperti urusan harian atau rekreasi.

Selain itu, keberkesanan BDR sangat bergantung kepada kekuatan infrastruktur digital.

Akses kepada internet berkelajuan tinggi yang stabil dan mampu milik perlu dipastikan, khususnya di kawasan luar bandar.

Jurang digital yang wujud boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar ini jika tidak ditangani dengan baik.

Pengalaman negara semasa pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa BDR boleh dilaksanakan dengan berkesan, namun memerlukan sokongan dasar, teknologi dan budaya kerja yang sesuai.

Keseimbangan Kerja dan Kehidupan

Oleh itu, pelaksanaan kali ini perlu mengambil kira pengajaran lalu bagi memastikan keberkesanan yang lebih mampan.

Dari sudut sosial, BDR turut memberi peluang kepada rakyat untuk mencapai keseimbangan kehidupan dan kerja yang lebih baik.

Pengurangan masa perjalanan memberi ruang untuk bersama keluarga, meningkatkan kesejahteraan mental dan mengurangkan tekanan harian.

Dalam konteks keselamatan jalan raya, pengurangan kelesuan akibat perjalanan jauh juga boleh mengurangkan risiko pemanduan berbahaya.

Secara keseluruhannya, dasar bekerja dari rumah yang diperkenalkan kerajaan merupakan satu langkah strategik yang membawa pelbagai manfaat kepada negara.

Ia bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan dan kemalangan jalan raya, malah menyumbang kepada peningkatan kualiti udara dan kesejahteraan rakyat.

Namun, kejayaan pelaksanaannya memerlukan pendekatan yang holistik, melibatkan kerjasama antara kerajaan, majikan dan masyarakat.

Dengan perancangan yang rapi dan sokongan infrastruktur yang kukuh, BDR berpotensi menjadi salah satu penyelesaian utama dalam menangani cabaran pengangkutan bandar di Malaysia pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Prof Madya Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff dan Ir Dr Muhamad Razuhanafi Mat Yazid ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)