Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World OSH Day) bagi tahun 2026 mengangkat tema yang sangat signifikan iaitu “Bagaimana Keadaan Kerja Anda? Bersama Memastikan Persekitaran Psikososial Kerja yang Sihat”.
Pemilihan tema ini mencerminkan keperluan mendesak bagi menilai semula kualiti persekitaran kerja pada masa kini.
Tema tersebut merupakan satu seruan untuk menitikberatkan aspek kesejahteraan mental dan emosi pekerja yang melampaui sempadan keselamatan fizikal tradisional.
Cabaran masa hadapan menuntut persediaan yang holistik bagi melahirkan pekerja berdaya tahan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat ekonomi dunia.
Dalam fasa pasca-normal, keadaan berubah dengan sangat pantas dan pelbagai peristiwa berlaku secara serentak sehingga mewujudkan ketidaktentuan.
Keadaan tersebut mengheret kita ke arah isu yang besar sekiranya kita tidak memberikan tindakbalas yang sewajarnya.
Pembangunan modal insan dan perubahan industri
Rencana ini mengupas aspek pembangunan modal insan dalam perubahan Industri 4.0 menerjah ke era Industri 5.0.
Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia untuk mendepani cabaran ini, terutamanya yang melibatkan kesejahteraan mental dan emosi?
Indikator sosial merupakan tumpuan utama kerajaan dalam pembangunan modal insan.
Secara global, aspek modal insan adalah kritikal dalam merancang pertumbuhan dan memastikan nadi ekonomi negara terus memacu ke hadapan.
Kesediaan negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadi faktor penting dalam menyokong gelombang teknologi masa kini.
Tenaga kerja mahir adalah aset negara yang perlu diperkaya dan dilindungi.
Dengan letusan teknologi kecerdasan buatan (AI), robotik, dan teknologi internet termaju (IoT), lebih ramai pekerja tempatan perlu dilatih bagi memenuhi cabaran revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
Era IR 4.0 merupakan dimensi pekerjaan yang mengaplikasi keupayaan kognitif secara meluas dalam pelbagai sektor industri.
Impak gelombang ini mewujudkan risiko keselamatan dan kesihatan baharu yang berbeza secara signifikan berbanding risiko konvensional sebelum ini.
Jika dahulu kita lebih banyak memberi tumpuan kepada aspek fizikal di tempat kerja seperti keselamatan fizikal tempat kerja, ergonomik fizikal dan kecederaan rangka-otot, kini tumpuan perlu merangkumi aspek mental dan psikososial pekerja.
Covid-19 mengubah landskap ekonomi global
Rentetan fenomena pandemik Covid-19 yang lalu, dunia telah mengalami "Great Reset" yang mengubah landskap ekonomi global secara drastik.
Bekerja secara jarak jauh dan waktu kerja fleksibel sudah menjadi perkara biasa.
Malah, sektor industri kini telah meletakkan penekanan yang tinggi kepada teknologi AI, IoT, dan robotik.
Hal ini memberikan cabaran dalam menyediakan modal insan yang mampu menyaingi fenomena yang pantas tersebut.
Situasi yang memaksa seluruh dunia memasuki satu era baharu serta sukar diramal.
Kemajuan dan pelaksanaan agenda keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam konteks industri masa kini adalah sangat mencabar.
Pekerja kini terlibat dengan pemikiran aras tinggi dalam membuat keputusan serta perlu membiasakan diri dengan teknologi canggih masakini.
Semua itu menuntut mereka untuk mengintegrasikan kemahiran kerja konvensional dengan algoritma AI dan teknologi robotik termaju.
Keadaan sedemikian jelas mendedahkan pekerja bukan sahaja kepada risiko fizikal, malah risiko terkait dengan beban kognitif serta isu psikososial.
Interaksi manusia-mesin (HMI), interaksi manusia-komputer (HCI), dan interaksi manusia-robot (HRI) semuanya termasuk dalam konteks industri moden yang perlu dihadap oleh pekerja.
Industri 5.0
Mutakhir ini, aplikasi Industri 5.0 semakin rancak berkembang dalam sektor perindustrian.
Industri 5.0 membawa maksud kolaborasi antara manusia dan mesin yang bekerja bersama-sama bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Ia merupakan fasa perindustrian baharu yang menyaksikan penglibatan manusia di samping teknologi maju serta robot berkuasa kecerdasan buatan (AI) untuk memperkesan proses di tempat kerja.
Melalui sistem maju ini, integrasi antara komponen fizikal, algoritma pengkomputeran dan penglibatan manusia secara langsung dilakukan bagi mewujudkan ekosistem pintar yang organik.
Pendekatan ini menggabungkan sistem siber-fizikal (CPS) dengan proses pembuatan keputusan serta tingkah laku manusia, sekali gus membolehkan pemantauan dan interaksi secara masa nyata.
Oleh itu, pembangunan modal insan secara holistik perlu mengambil kira faktor-faktor ini. Jika tidak, negara akan terus ketinggalan.
Generasi pekerja baharu harus dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, seperti pemikiran tahap tinggi, kemahiran berkomputer, serta kebolehan teknikal dan vokasional.
Adakah kita sudah bersedia? Adakah ia mampan dari segi pembangunan modal insan?
Banyak persoalan yang perlu ditangani bagi memastikan kita tidak terlepas pandang dalam perancangan strategik mendepani ledakan teknologi ekonomi dunia.
Pembangunan lestari merangkumi aspek sosial, ekonomi, dan persekitaran.
Fokus terhadap modal insan dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah selari dengan agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: SDGs 2030 yang tinggal empat tahun lagi akan berakhir.
Malaysia kekal komited dalam mendukung agenda antarabangsa bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari yang inklusif.
Langkah ini diambil berteraskan prinsip 'tiada sesiapa yang terpinggir' (leaving no one behind) demi kesejahteraan bersama.
Antara bukti nyata yang menunjukkan kesungguhan negara adalah melalui pembangunan Garis Panduan Penaksiran Risiko Psikososial dan Pengurusan di Tempat Kerja 2024 (PRisMA).
Garis panduan ini berfungsi sebagai rujukan buat pihak industri dalam usaha menangani isu kesihatan mental di tempat kerja.
Ia memberi tumpuan terhadap proses pengenalpastian bahaya kesihatan mental, penaksiran risiko dan pengurusan risiko yang berkaitan.
Suatu permulaan yang baik dan diharap dalam lima tahun kehadapan suatu perangkaan awal boleh dicerap untuk melihat magnitude kesihatan mental pekerja secara lebih objektif seterusnya Langkah-langkah kawalan yang lebih bersasar dan tepat boleh diambil.
Usaha ini tidak akan mencapai kejayaan tanpa penglibatan aktif sektor industri, khususnya daripada pihak pengurusan dan para pekerja.
Justeru, pendekatan tripartit yang melibatkan kerjasama antara pihak kerajaan, majikan, dan pekerja perlu digembleng secara bersepadu. Jika tidak, semua strategi yang direncana tidak akan berjaya.
Oleh yang demikian, kerjasama tripartit yang mantap perlu digembleng secara bersepadu.
Usaha kolektif ini penting dalam menterjemahkan usaha terbaik demi melindungi semua pihak secara komprehensif, progresif, serta responsif dalam memastikan modal insan yang bakal dihasilkan benar-benar bersedia di masa depan.
Akhir sekali, menikmati limpahan kekayaan negara secara saksama dan penyediaan taraf hidup yang baik secara tidak langsung meningkatkan tahap psikososial pekerja. Ini juga sekaligus menjana persekitaran sosio-ekonomi negara ke arah yang lebih baik.
-- BERNAMA
Ts Dr Mohd Zubairy Shamsudin ialah Penolong Profesor Faktor Manusia dan Ergonomik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan Pahang.