Musim haji sudah tiba lagi. Berjuta - juta umat Islam dari serata dunia termasuk dari Malaysia kini sedang berkumpul di Tanah Suci Mekah Al - Mukaramah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima dan yang terakhir iaitu menunaikan ibadah haji.
Ibadah haji adalah wajib bagi setiap umat Islam yang mampu dari segi kesihatan dan kewangan untuk menunaikannya.
Ibadah ini dilaksanakan dengan mengunjungi beberapa tempat di Mekah Al-Mukaramah serta kawasan berhampiran bagi menunaikan amalan yang telah ditetapkan pada musim haji, iaitu dalam bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar Islam.
Ibadah haji telah pun dilakukan semenjak zaman Rasullulah SAW lagi iaitu pada kurun ketujuh masihi.
Namun, pakar sejarah Islam berpendapat, ibadah haji terbabit telah pun dilaksanakan lebih awal lagi iaitu semenjak zaman Nabi Ibrahim AS beberapa ribu tahun yang lalu.
Dalam menunaikan ibadah haji, pelbagai bentuk ibadah atau ritual perlu dilakukan oleh para jemaah bagi memenuhi syarat haji. Antaranya ialah berihram, iaitu mengenakan pakaian ihram dengan niat untuk menunaikan haji.
Selain itu, jemaah juga perlu berwuquf di Padang Arafah, bertawaf dengan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali, serta melontar batu di Jamrah Aqabah.
Jemaah turut melaksanakan sa’i, iaitu berjalan atau berlari anak secara sederhana antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.
Seterusnya, para jemaah perlu melakukan tahallul dengan bercukur atau menggunting rambut selepas selesai sa’i. Kesemua ibadah ini dilaksanakan sebelum ibadah korban dan sambutan Aidiladha (Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji).
Memahami Hikmah dan Tujuan Ibadah Haji
Dalam melaksanakan dan menunaikan segala aspek ibadah atau ritual dalam proses menunaikan haji adalah penting juga bagi para jemaah haji untuk memahami tujuan sebenar sesuatu ibadah atau ritual itu dibuat.
Para jemaah haji tidak boleh hanya melaksanakan dan menunaikan segala ibadah atau ritual tanpa memahami dengan mendalam tujuan atau objektif sebenar sesuatu ibadah atau ritual itu dilakukan oleh mereka.
Adalah dibimbangi, sekiranya para jemaah hanya menunaikan aspek ibadah atau ritual haji sahaja tanpa memahami dengan mendalam tujuan utama sesuatu jenis ibadah atau ritual itu dilakukan, ibadah haji mereka akan menjadi sia - sia sahaja dan tidak membawa sebarang makna.
Segala aspek ibadah atau ritual dalam ibadah haji ini mempunyai tujuan, objektif serta maksud yang tertentu.
Sesuatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW dalam menunaikan ibadah haji mempunyai maknanya tersendiri dan ianya bukannya dilaksanakan untuk tujuan suka-suka atau untuk sia-sia sahaja.
Hanya mereka yang dapat berfikir dengan matang dan tenang dapat memahami tujuan atau objektif bagi setiap ritual atau ibadah haji yang dilalui dan ditunaikan oleh mereka.
Selain daripada memenuhi aspek rohani atau spiritual, segala bentuk ibadah atau ritual yang telah ditetapkan melalui ibadah haji bertujuan melatih umatnya supaya menjadi lebih merendah diri, berdisiplin serta berakhlak baik.
Ibadah haji juga menuntut umatnya supaya menjadi lebih bersabar, saling bekerjasama, bertoleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Ibadah haji ini juga melatih umat Islam supaya lebih bersopan – santun dan berbudi bahasa.
Keselamatan Jemaah Haji
Sekiranya segala perkara ini dapat difahami dengan baik oleh para jemaah, segala insiden buruk yang sering dikaitkan ketika menunaikan ibadah haji dapat dihindari.
Antara insiden tersebut termasuk kejadian rempuhan, tolak-menolak atau perkara lain yang boleh mengganggu fokus para jemaah. Keadaan ini juga boleh mengundang kecederaan kepada para jemaah yang sedang menunaikan ibadah haji.
Pada masa yang sama juga ia dapat membentuk serta menjadikan diri para jemaah haji berkenaan menjadi insan yang baik dan layak menjadi contoh kepada umat Islam yang lain serta orang bukan Islam.
Tidak ada gunakan sekiranya mereka berjaya memenuhi segala segala syarat ibadah atau ritual haji tanpa memahami tujuan atau objektif sebenar disebalik setiap amalan ibadah atau ritual yang dibuat dalam melaksanakan dan menunaikan haji.
Proses menunaikan haji juga bukan hanya melibatkan jemaah yang datang dari Malaysia.
Berjuta-juta umat Islam dari serata dunia yang akan datang menunaikan ibadah haji dikota suci Mekah Al-Mukaramah. Ini adalah detik penting untuk semua umat Islam datang berkumpul dan saling mengenali antara satu sama lain.
Inilah peluang utama untuk para jemaah haji untuk bertegur sapa dan menghulurkan sebarang jenis bantuan yang perlu diantara sesama mereka tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.
Semua perkara baik ini penting untuk difahami dan diamalkan. Ia bukan sahaja membawa kebaikan dan manfaat kepada jemaah haji yang terlibat, tetapi juga kepada umat Islam secara keseluruhan.
Selain itu, ia juga boleh dijadikan contoh serta sebahagian daripada proses dakwah kepada orang bukan Islam di seluruh dunia. Mereka dapat melihat perjalanan ibadah haji ini melalui kaca televisyen dan media sosial di negara masing-masing.
Semoga Allah SWT melindungi keselamatan dan kesihatan semua jemaah haji yang sedang menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun ini serta semoga semua para jemaah haji mendapat haji yang mabrur.
Selamat menyambut hari raya Aidiladha untuk semua umat Islam.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensayarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).