TINTA MINDA

Pendigitalan Perkhidmatan Haji - Antara Kecekapan dan Integiri Institusi

29/05/2026 02:35 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Norhanizah Johari

Transformasi digital dalam sektor perkhidmatan awam telah menjadi satu keperluan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Tabung Haji (TH) sebagai institusi pengurusan Haji juga tidak terkecuali daripada tempias arus pendigitalan ini.

Transformasi digital serta penggunaan Kecerdasan Buatan atau AI dijangka dapat membantu Tabung Haji dalam usaha memperkukuh sistem pengurusan jemaah termasuk sistem giliran menunaikan Haji, mempercepat urusan pelanggan, dan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.

Terkini, usaha Tabung Haji memperkenalkan sistem giliran digital mencerminkan komitmen institusi tersebut dalam memperkukuh tadbir urus perkhidmatan melalui penggunaan teknologi moden.

Tabung Haji dijangka memperkenalkan Sistem Giliran Dinamik bagi menggantikan sistem sedia ada.

Sistem ini membawa perubahan paradigma daripada pendekatan “siapa cepat, dia dapat” kepada “siapa sedia, dia berangkat”, yang memberi penekanan kepada konsep kemampuam (istito’ah) dan kesedian jemaah untuk berangkat menunaikan ibadah Haji.

Pendekatan ini menunjukkan peralihan penting dalam dasar pemilihan jemaah Haji yang bukan sahaja bergantung kepada tarikh pendaftaran Haji, tetapi juga tahap kesediaan jemaah dari aspek kewangan dan kesihatan untuk berangkat menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

Pendigitalan dan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan

Pelaksanaan sistem digital dalam pengurusan Haji mampu meningkatkan kecekapan operasi institusi secara signifikan.

Sistem giliran digital dan sistem giliran dinamik dapat membantu mengurangkan kesesakan di kaunter, mempercepat tempoh menunggu pelanggan, serta meningkatkan sistem pemantauan urusan secara masa nyata.

Dalam sistem baharu ini, terdapat tiga kriteria utama yang menjadi asas penilaian kesediaan jemaah, iaitu simpanan mencukupi (minimum RM15,000 dalam akaun), tahap kesihatan yang baik, dan kesiagaan keseluruhan jemaah untuk berangkat menunaikan Haji.

Pendekatan ini memastikan hanya jemaah yang benar-benar bersedia akan diberi keutamaan, sekali gus mengurangkan risiko kuota Haji tidak terisi akibat penolakan saat akhir oleh jemaah yang menghadapi masalah kewangan atau kesihatan.

Dengan pendekatan ini, kecekapan pengurusan kuota Haji dapat dipertingkatkan kerana institusi dapat memastikan bahawa setiap slot Haji diisi oleh jemaah yang memenuhi syarat kemampuan (istito’ah).

Ini secara tidak langsung meningkatkan keberkesanan perancangan operasi serta mengurangkan ketidaktentuan dan risiko dalam pengurusan jemaah semasa di tanah air mahupun di Mekah dan Madinah.

Integriti Institusi dalam Era Digital

Walaupun pendigitalan menawarkan pelbagai manfaat dari sudut kecekapan, aspek integriti institusi tidak boleh diabaikan.

Dalam konteks pengurusan Haji, integriti amat penting kerana institusi ini mengurus amanah umat Islam yang melibatkan kewangan, giliran Haji, kebajikan jemaah, dan kepercayaan masyarakat.

Sistem digital yang lebih telus berpotensi mengurangkan risiko manipulasi, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan campur tangan tidak beretika dalam urusan perkhidmatan.

Pendekatan berasaskan data seperti penilaian kesediaan jemaah juga dapat mengurangkan unsur subjektiviti dalam pemilihan, sekali gus meningkatkan persepsi keadilan dalam sistem pengurusan Haji.

Namun demikian, pendigitalan juga mewujudkan cabaran baharu terhadap integriti institusi.

Antaranya ialah isu keselamatan data pelanggan, kerahsiaan maklumat, risiko penyalahgunaan sistem, serta jurang akses teknologi khususnya dalam kalangan warga emas dan masyarakat luar bandar yang kurang literasi teknologi.

Sekiranya aspek keselamatan siber dan perlindungan data tidak diurus dengan baik, ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi pengurusan Haji.

Selain itu, perubahan daripada sistem berasaskan pendaftaran awal kepada sistem berasaskan kesediaan (readiness-based system) juga perlu ditadbir secara telus dan jelas bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan keadilan agihan giliran Haji.

Tabung Haji perlu memastikan hak bakal jemaah yang telah mendaftar lebih awal diberikan keutamaan sebelum jemaah yang mendaftar dengan sistem berasaskan kesediaan.

Antara pendekatan yang boleh diambil oleh TH adalah dengan memperkenalkan mekasnisme saluran maklumat dan maklum balas di peringkat lokaliti cawangan atau daerah mahupun negeri dalam mengenalpasti jemaah yang telah bersedia atau sebaliknya.

Pendigitalan dari Maqasid Syariah

Penggunaan teknologi dalam pengurusan Haji boleh dilihat selaras dengan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan kemaslahatan umat seiring dengan perkembangan teknologi seperti pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

Pendigitalan mampu meningkatkan kecekapan, mengurangkan kesulitan, dan memudahkan urusan jemaah adalah salah satu bentuk usaha menjaga kebajikan masyarakat.

Pendekatan sistem giliran dinamik yang menekankan konsep kemampuan (istito’ah) juga selari dengan prinsip Syariah kerana ia memastikan ibadah Haji dilaksanakan oleh mereka yang benar-benar berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan masa.

Ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan pengurusan ibadah, malah mengurangkan pembaziran kuota akibat ketidaksediaan jemaah untuk melaksanakan ibadah Haji.

Integriti dan Imej Institusi

Pendigitalan perkhidmatan Haji merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kecekapan dan kualiti penyampaian perkhidmatan institusi pengurusan Haji.

Penggunaan sistem giliran digital dan sistem giliran dinamik oleh Tabung Haji bukan sahaja membantu meningkatkan produktiviti organisasi, malah berpotensi memperkukuh integriti, akauntabiliti, dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi ini.

Bagaimanapun, kejayaan transformasi digital tidak boleh diukur berdasarkan aspek kecekapan semata-mata. Institusi pengurusan Haji perlu memastikan bahawa proses pendigitalan turut dipandu oleh nilai etika, integriti, dan prinsip tadbir urus yang berkesan.

Dengan keseimbangan antara teknologi, keadilan, dan amanah, pendigitalan perkhidmatan Haji mampu menjadi pemangkin kepada keunggulan imej Tabung Haji sebagai institusi pengurusan Haji nasional yang lebih cekap, telus dan dipercayai masyarakat.

-- BERNAMA

Dr Norhanizah Johari ialah Pensyarah Perakaunan, Jabatan Perakaunan, Fakulti Ekonomi Perakaunan Dan Pengurusan, Universiti Islam Selangor.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)