Hari ini, ramai pekerja tidak lagi takut terlambat menyiapkan kerja. Sebaliknya, mereka mula risau apabila internet perlahan atau aplikasi AI tidak dapat digunakan.
Apa yang suatu ketika dahulu dianggap teknologi masa depan, kini sudah menjadi sebahagian daripada rutin kerja harian.
Daripada menyediakan laporan, menulis emel, membuat slaid pembentangan, meringkaskan minit mesyuarat hinggalah mencari maklumat, semuanya boleh dilakukan dalam beberapa saat dengan bantuan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).
Malah, ada pekerja yang memulakan tugas bukan lagi dengan bertanya “apa idea saya hari ini?”, tetapi “apa prompt yang patut saya masukkan?”.
Persoalannya, adakah AI sedang membantu manusia menjadi lebih produktif, atau manusia perlahan-lahan sedang menjadi terlalu bergantung kepada teknologi sehingga hilang keupayaan berfikir sendiri?
Hakikatnya, AI sememangnya mampu meningkatkan produktiviti kerja.
Pelbagai kajian antarabangsa menunjukkan penggunaan AI generatif membantu pekerja menyiapkan tugasan lebih pantas, khususnya bagi kerja yang melibatkan dokumentasi, analisis asas dan pengurusan maklumat.
AI: Sebahagian daripada budaya kerja
Di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif “AI at Work 2.0” yang melibatkan kira-kira 445,000 penjawat awam menggunakan Google Workspace bersama Gemini untuk membantu urusan kerja harian.
Projek perintis melibatkan 270 pegawai awam menunjukkan 97 peratus peserta berjaya menjimatkan purata 3.25 jam seminggu, manakala 91 peratus melaporkan peningkatan kualiti kerja. Ini menunjukkan AI bukan lagi sekadar trend teknologi, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada transformasi budaya kerja organisasi.
Dalam sektor awam misalnya, AI digunakan untuk membantu penyediaan dokumen, pengurusan emel, analisis maklumat, ringkasan mesyuarat dan pengurusan pertanyaan rakyat. Jika dahulu pekerja perlu menyemak ratusan halaman dokumen secara manual, kini AI mampu membantu mengekstrak maklumat penting dalam masa singkat.
Bayangkan seorang pegawai yang sebelum ini mengambil masa dua hari menyediakan laporan kini mampu menghasilkan draf awal hanya dalam beberapa jam dengan bantuan AI. Dari sudut kecekapan operasi, perubahan ini memang besar.
Dalam mana-mana organisasi, sama ada sektor awam atau swasta, matlamat utama pengurusan operasi ialah memastikan kerja dapat dilakukan dengan lebih cekap, lebih cepat dan kurang pembaziran masa.
Bantu tingkatkan produktiviti
Sebab itu AI dilihat sebagai alat yang mampu membantu organisasi bekerja dengan lebih sistematik dan tersusun.
Malah, data antarabangsa menunjukkan penggunaan AI meningkatkan produktiviti dalam tugasan sokongan pelanggan sebanyak 25 peratus, penyediaan dokumen perniagaan sebanyak 50 peratus dan tugasan pengaturcaraan sehingga 125 peratus.
Kajian oleh National Bureau of Economic Research (NBER) pula mendapati penggunaan AI generatif meningkatkan produktiviti pekerja sokongan pelanggan sebanyak 14 peratus secara purata.
Lebih menarik, peningkatan itu mencecah 34 peratus bagi pekerja baharu dan berkemahiran rendah. Ini menunjukkan AI sememangnya memberi manfaat besar kepada generasi muda dan pekerja yang sedang membina pengalaman kerja.
Namun, produktiviti sebenar tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan kelajuan menghasilkan kerja. Dalam pengurusan operasi moden, produktiviti juga berkait rapat dengan kualiti keputusan, ketepatan maklumat dan keberkesanan proses kerja.
AI mungkin boleh menghasilkan laporan dengan cepat, tetapi manusia masih diperlukan untuk memahami konteks, menilai implikasi dan memastikan keputusan yang dibuat benar-benar tepat dan sesuai.
AI: Bukan ganti fungsi manusia berfikir
Cabaran terbesar hari ini bukanlah AI itu sendiri, tetapi sikap manusia terhadap AI. Semakin ramai pekerja terlalu selesa menyerahkan proses berfikir kepada teknologi. Ada yang terus menerima output AI tanpa semakan, tanpa memahami kandungan dan tanpa memastikan ketepatan fakta.
Fenomena ini semakin membimbangkan kerana teknologi sepatutnya membantu manusia berfikir dengan lebih baik, bukannya menggantikan fungsi pemikiran manusia sepenuhnya. Dalam banyak keadaan, pekerja mungkin tidak sedar bahawa AI juga boleh melakukan kesilapan.
AI boleh menghasilkan fakta yang tidak tepat, analisis yang cetek atau jawapan yang tidak sesuai dengan konteks organisasi. Jika semua output diterima bulat-bulat tanpa penilaian kritikal, organisasi mungkin menjadi lebih pantas menghasilkan kerja, tetapi tidak semestinya lebih bijak dalam membuat keputusan.
AI sebenarnya tidak menggantikan pekerja malas dan rajin secara sama rata. Pekerja yang rajin belajar dan mampu menyesuaikan diri akan menjadi lebih produktif dengan bantuan AI. Sebaliknya, mereka yang terlalu bergantung kepada teknologi tanpa memahami kerja sendiri mungkin menjadi semakin lemah dari sudut pemikiran dan kemahiran.
Penyebab beban kerja berlebihan
Ironinya, teknologi yang sepatutnya menjimatkan masa kadangkala menyebabkan manusia bekerja lebih banyak dan lebih penat. Apabila AI mampu menghasilkan draf laporan dalam beberapa minit, organisasi mula meletakkan jangkaan bahawa semua kerja juga perlu disiapkan dengan lebih cepat.
Kajian antarabangsa mendapati 77 peratus pekerja merasakan penggunaan AI sebenarnya meningkatkan beban kerja dan tekanan kerana mereka perlu sentiasa responsif dan menghasilkan output dengan lebih pantas.
Perkara ini menjadi lebih menarik apabila dikaitkan dengan perbezaan generasi di tempat kerja. Generasi muda khususnya Gen Z biasanya lebih cepat mengadaptasi AI kerana mereka membesar dalam dunia digital. Mereka lebih fleksibel menggunakan teknologi, lebih pantas mencuba aplikasi baharu dan lebih selesa menggunakan AI dalam tugasan harian.
Sebaliknya, generasi lebih senior kadangkala dilihat lebih berhati-hati dan mengambil masa untuk menerima perubahan teknologi. Namun, melabel mereka sebagai “resistant to change” secara mudah juga tidak adil.
Sikap berhati-hati itu kadangkala lahir daripada pengalaman dan kesedaran bahawa tidak semua teknologi sesuai digunakan tanpa kawalan. Dalam sektor awam misalnya, isu keselamatan data, kerahsiaan maklumat dan sensitiviti dasar merupakan perkara yang sangat penting.
Hakikatnya, organisasi yang berjaya bukan organisasi yang hanya mempunyai pekerja paling pantas menggunakan teknologi. Organisasi yang benar-benar cekap ialah organisasi yang mampu menggabungkan kekuatan semua generasi.
Kajian juga menunjukkan pasukan kerja yang mempunyai kepelbagaian generasi mencatat peningkatan produktiviti lebih tinggi berbanding pasukan yang terlalu homogen.
Generasi muda membawa kelebihan dari sudut adaptasi digital dan kepantasan teknologi, manakala generasi lebih senior membawa pengalaman, pertimbangan dan kefahaman mendalam terhadap proses kerja organisasi.
Gabungan kedua-dua kekuatan inilah yang akan menentukan kejayaan sebenar penggunaan AI dalam organisasi.
Dalam sektor awam khususnya, AI perlu dilihat sebagai alat untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, bukannya menggantikan nilai kemanusiaan dalam pekerjaan. Rakyat masih memerlukan empati, pertimbangan dan kebijaksanaan manusia dalam banyak urusan yang tidak boleh diselesaikan oleh algoritma semata-mata.
Akhirnya, masa depan pekerjaan bukan tentang persaingan antara manusia dan AI, atau antara Gen Z dan generasi lama. Masa depan sebenar ialah bagaimana semua generasi belajar bekerjasama menggunakan teknologi secara bijak dan beretika.
AI mungkin boleh membantu manusia bekerja lebih pantas, tetapi hanya manusia yang mampu menentukan sama ada pekerjaan itu benar-benar memberi nilai kepada organisasi dan masyarakat.
Kita tidak perlu takut kepada AI, tetapi kita juga tidak boleh terlalu taksub kepadanya. Gunakan AI sebagai alat untuk memperkukuh kemampuan manusia, bukan untuk menggantikan keupayaan berfikir manusia.
Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, cabaran terbesar bukan lagi sama ada mesin menjadi semakin pintar, tetapi sama ada manusia masih mahu terus berfikir, belajar dan membuat keputusan dengan bijaksana.
AI mungkin semakin pintar, tetapi manusia tidak boleh berhenti menjadi bijaksana.
-- BERNAMA
Dr Noor Aslinda Abu Seman ialah Pensyarah Kanan di Johor Business School.