Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) muncul sebagai salah satu laluan paling strategik untuk membina masa depan.
TVET bukan sekadar menyediakan kemahiran teknikal tetapi membuka ruang kepada anak muda untuk menukar minat, bakat dan kebolehan yang dimiliki kepada kerjaya yang stabil, bernilai tinggi dan relevan dengan keperluan industri.
Setiap kali keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan setiap tahun. Ribuan pelajar berhadapan dengan persoalan besar iaitu ke manakah arah masa depan mereka?
Sebahagian memilih laluan akademik manakala sebahagian lagi tercari-cari jalan yang sesuai dengan minat dan kebolehan sebenar.
TVET kini semakin mendapat perhatian sebagai laluan strategik untuk membina kerjaya yang kukuh, relevan dan bernilai tinggi.
Namun, untuk menjadikan TVET benar-benar sebagai pilihan pertama, kita perlu menjawab satu persoalan asas bagaimana kita dapat memastikan seseorang pelajar benar-benar sesuai dengan laluan TVET yang dipilih?
Persoalan ini menjadi semakin penting apabila negara berdepan keperluan besar terhadap tenaga mahir dalam era Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi hijau dan ekonomi digital.
TVET juga adalah wahana penting dalam membina mobiliti sosial, mengurangkan pengangguran belia dan memperkukuh daya saing ekonomi negara.
TVET Bukan Pilihan Kedua
Walaupun kerajaan memberi penekanan yang kuat melalui pelbagai dasar nasional, TVET masih sering dianggap sebagai “pilihan kedua” atau laluan untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik.
Persepsi sebegini bukan sahaja tidak tepat malah boleh menghalang pelajar berbakat daripada meneroka potensi sebenar mereka.
Hakikatnya, banyak negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Australia telah membuktikan bahawa TVET merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi.
Sistem pendidikan di negara-negara tersebut membuktikan bahawa graduan TVET menikmati peluang kerjaya yang luas, pendapatan yang kompetitif serta prospek kemajuan kerjaya yang sangat memberangsangkan.
Malaysia juga sedang bergerak ke arah yang sama. Namun, kejayaan ini bergantung kepada satu perkara penting iaitu pelajar mesti ditempatkan dalam bidang yang benar-benar sepadan dengan minat, bakat dan potensi mereka.
Amalan pendidikan semasa lazimnya menjadikan pencapaian akademik sebagai salah satu pertimbangan utama dalam menentukan laluan pendidikan pelajar.
Pendekatan ini sememangnya penting kerana keputusan akademik memberikan petunjuk yang berguna tentang tahap penguasaan ilmu, disiplin belajar, keupayaan kognitif serta kesediaan pelajar untuk mengikuti bidang pengajian tertentu.
Namun begitu, pencapaian akademik hanya menggambarkan sebahagian daripada keupayaan sebenar seseorang pelajar.
Terdapat pelajar yang mungkin sederhana dalam akademik tetapi memiliki potensi luar biasa dalam bidang mekanikal, reka bentuk, teknologi digital, kulinari atau keusahawanan.
Jika potensi ini dikenal pasti lebih awal, mereka boleh dibimbing ke arah kerjaya yang lebih sesuai dan bermakna.
Aset Penentu Kejayaan
Pendekatan berasaskan aset menekankan bahawa setiap pelajar memiliki kekuatan dan sumber tersendiri yang boleh dibangunkan.
Pendekatan ini menumpukan perhatian kepada kekuatan, potensi dan sumber yang sedia dimiliki oleh pelajar sebagai asas untuk membina masa depan mereka.
Dua kelompok utama aset yang mempengaruhi laluan kerjaya TVET, iaitu aset dalaman dan aset luaran.
Aset dalaman merujuk kepada ciri-ciri yang terdapat dalam diri pelajar antaranya minat terhadap sesuatu bidang; pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan latihan; Nilai, identiti diri, visi dan motivasi; serta kesihatan fizikal dan mental.
Aset-aset ini menentukan sejauh mana seseorang pelajar mampu mengekalkan komitmen, membina keyakinan diri dan mencapai kejayaan dalam kerjaya.
Aset luaran pula merujuk kepada sokongan persekitaran yang mempengaruhi perkembangan pelajar termasuk antaranya sokongan keluarga dan komuniti; peranan sekolah, kaunselor dan institusi TVET; jaringan industri; sumber ekonomi; Infrastruktur fizikal seperti internet, elektrik dan kemudahan pendidikan; serta aset digital seperti peranti, akses internet dan kemahiran ICT.
Dunia yang semakin dipacu oleh teknologi menjadikan akses kepada komputer, telefon pintar, internet serta penguasaan kemahiran digital bukan lagi sekadar satu kelebihan tetapi suatu keperluan asas.
Seiring dengan perkembangan tersebut aset digital muncul sebagai faktor yang semakin kritikal dalam menentukan tahap kebolehpasaran dan daya saing belia pada masa kini.
Pelajar yang menguasai kemahiran digital mempunyai kelebihan untuk mengikuti kursus dalam talian, memperoleh sijil profesional, membina portfolio digital, meneroka peluang pekerjaan melalui platform seperti LinkedIn dan MyFutureJobs serta menyesuaikan diri dengan pantas terhadap perubahan teknologi dan keperluan semasa industri.
Sebaliknya, pelajar yang tidak mempunyai akses dan kemahiran digital berisiko tertinggal dalam persaingan pasaran kerja. Oleh itu, jurang digital perlu dilihat sebagai isu pembangunan modal insan yang serius.
Pemetaan Potensi Pelajar
Pemetaan potensi pelajar boleh diibaratkan seperti sistem navigasi. Apabila kita mengetahui minat, bakat, nilai, sokongan keluarga dan tahap kesediaan digital seseorang pelajar, maka laluan pendidikan dan kerjaya yang paling sesuai dapat dicadangkan dengan lebih tepat.
Misalnya seorang pelajar yang gemar membaiki motosikal, mempunyai kemahiran teknikal dan minat mendalam terhadap enjin boleh disalurkan ke bidang automotif.
Pelajar yang kreatif dan berminat dalam seni visual boleh diarahkan ke bidang reka bentuk grafik atau multimedia.
Pelajar yang aktif menggunakan teknologi digital pula mungkin sesuai dalam bidang keselamatan siber, analitik data atau kecerdasan buatan.
Pendekatan ini memastikan pelajar tidak memilih bidang secara rawak, tetapi berdasarkan potensi sebenar mereka.
Sistem pendidikan masa depan memerlukan pendekatan yang lebih diperibadikan. Situasi pendidikan masa kini menunjukkan bahawa setiap pelajar memiliki kekuatan dan potensi yang berbeza dan tidak semua mencapai kejayaan melalui laluan akademik tradisional.
TVET menyediakan ruang yang luas untuk pelajar berkembang berdasarkan kebolehan sebenar. Dengan syarat, proses penempatan mereka dibuat secara saintifik dan holistik.
Pihak sekolah dan institusi TVET melaksanakan proses pemetaan aset pelajar secara sistematik menggunakan instrumen diagnostik, soal selidik, pemerhatian guru dan analisis data bagi membina profil potensi setiap pelajar.
TVET Sebagai Pilihan Utama
Malaysia sememangnya mempunyai ramai anak muda yang berbakat dan berpotensi tinggi.
Keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah usaha untuk mengenal pasti, mengembangkan dan memadankan potensi tersebut dengan laluan pendidikan serta kerjaya yang paling sesuai.
Pencapaian peperiksaan tetap penting sebagai salah satu petunjuk keupayaan pelajar, namun apabila penilaian turut mengambil kira minat, bakat, kemahiran dan potensi diri secara lebih menyeluruh, negara berpeluang mencungkil lebih ramai bakal jurutera, teknologis, usahawan, pereka dan inovator yang akan menerajui masa depan Malaysia.
TVET bukan lagi pilihan kedua. Ia adalah laluan strategik untuk melahirkan generasi tenaga mahir yang akan memacu transformasi ekonomi negara.
Apa yang lebih penting, setiap pelajar perlu dibantu untuk mengenal pasti kekuatan diri mereka sendiri. Kerana masa depan yang cemerlang bukan bermula dengan menilai kelemahan, tetapi dengan mengenal pasti aset dan potensi yang sudah sedia ada dalam diri setiap anak muda Malaysia.
TVET mempunyai segala keupayaan untuk muncul sebagai pilihan pertama dalam kalangan pelajar sekiranya potensi setiap anak muda dikenal pasti, dipupuk dan dipadankan dengan laluan pendidikan yang paling sesuai.
Lebih penting, setiap pelajar perlu dibantu untuk memahami kekuatan, minat, bakat dan aset yang sedia ada dalam diri mereka.
Apabila potensi menjadi asas kepada penentuan hala tuju pendidikan, pemetaan potensi pelajar akan menjadi kunci utama untuk menjadikan TVET sebagai pilihan pertama.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Khairol Anuar Kamri ialah Pensyarah/Ketua Kumpulan Fokus, Sustainable Community, Culture and Economic Development (SUCCEED), Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.