SALAM DARI BEIJING

Kisah Sutera China Yang Tidak Pernah Pudar

05/06/2026 11:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Siti Zanariah Nor Zin

Bila menyebut China, antara perkara yang sering terlintas di fikiran ramai pastinya sutera.

Fabrik yang terkenal dengan kelembutan dan nilainya itu bukan sahaja menjadi simbol tamadun China sejak berabad-abad lamanya, malah masih mendapat tempat di pasaran dunia hingga hari ini.

Namun, di sebalik keindahan sehelai kain sutera, tersimpan proses penghasilan yang rumit dan penuh ketelitian.

Lawatan ke Fuyang, sebuah bandar di wilayah Anhui baru-baru ini membawa penulis ke H&S’ YATI Silk Museum & Production Workshop, antara jenama sutera terkenal di negara Tembok Besar yang diusahakan oleh Anhui Jingjiu Silk Co. Ltd.

Ditubuhkan pada 1997, syarikat itu telah berkembang menjadi antara pengeluar sutera terkemuka di China dengan tenaga kerja seramai 1,100 orang yang menghasilkan pelbagai produk sutera premium.

Jika sebelum ini penulis hanya mengenali sutera sebagai fabrik yang lembut dan bernilai tinggi, lawatan tersebut membuka mata tentang proses panjang yang perlu dilalui sebelum ia menjadi sehelai kain yang siap digunakan.


Pertemuan pertama dengan ulat sutera

Sebelum lawatan ini, penulis hanya pernah melihat ulat sutera menerusi buku teks dan dokumentari.

Namun di Fuyang, penulis berpeluang melihat sendiri makhluk kecil yang menjadi asas kepada industri sutera yang bernilai berbilion dolar di seluruh dunia.

Ratusan ulat sutera berwarna putih ditempatkan di dalam dulang khas sambil menikmati daun mulberi yang menjadi sumber makanan utama.

Melihat ulat-ulat tersebut bergerak dan makan secara serentak merupakan pengalaman yang agak unik.

Sukar membayangkan makhluk sekecil itu mampu menghasilkan benang yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai simbol kemewahan golongan bangsawan.

Ketika mendengar penerangan mengenai kitaran hidup ulat sutera dan proses pembentukan kepompong, penulis mula memahami bahawa industri ini sebenarnya bermula daripada proses semula jadi yang cukup sederhana.

Namun daripada proses yang sederhana itulah lahirnya produk yang pernah menghubungkan tamadun Timur dan Barat melalui Laluan Sutera berabad-abad lamanya.


Bau yang sukar dilupakan

Jika melihat ulat sutera hidup merupakan pengalaman yang menarik, memasuki bahagian pemprosesan pula menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.

Sebaik melangkah ke dalam kilang, penulis disambut dengan bau yang agak kuat hasil daripada proses merebus kepompong ulat sutera.

Sejujurnya, beberapa minit pertama di ruang tersebut agak mencabar. Penulis hampir berasa loya dan terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana yang jauh berbeza daripada kebiasaan.

Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, tumpuan mula beralih kepada proses yang sedang dijalankan oleh para pekerja.

Di sinilah kepompong-kepompong tersebut direbus sebelum benang sutera yang halus diekstrak dan diproses bagi menghasilkan bahan mentah berkualiti tinggi.

Walaupun prosesnya kelihatan mudah apabila diperhatikan dari luar, setiap peringkat sebenarnya memerlukan kemahiran, pengalaman dan ketelitian yang tinggi.

Apa yang lebih mengagumkan ialah bagaimana industri tradisional ini masih mampu bertahan dalam era moden melalui gabungan kemahiran warisan dan penggunaan teknologi.

Menurut Pengurus Besar Anhui Jingjiu Silk Co. Ltd., Zhou Yan, kilang berkenaan masih mengekalkan beberapa proses tradisional seperti pemilihan kepompong dan pengekstrakan benang sutera halus.

Bagaimanapun, bagi proses merebus kepompong serta pengaliran air selepas proses perebusan, syarikat itu menggunakan mesin khas separa moden bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.


Daripada benang halus menjadi fabrik mewah

Antara demonstrasi yang paling menarik perhatian ialah proses menarik dan mengembangkan lapisan sutera daripada kepompong.

Pada mulanya, penulis menyangka sehelai kain sutera dihasilkan daripada seutas benang yang panjang. Namun, hakikatnya proses tersebut jauh lebih rumit daripada yang dibayangkan.

Beberapa lapisan sutera yang sangat nipis perlu digabungkan dan diproses secara berperingkat sebelum menjadi helaian yang lebih besar.

Ketika diberi peluang menyentuh fabrik yang telah siap diproses, penulis mula memahami mengapa sutera terus menjadi antara fabrik premium yang mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.

Teksturnya yang lembut, ringan dan sejuk apabila disentuh menjadikan setiap helaian kain itu terasa begitu istimewa. Lebih menarik, semua itu bermula daripada kepompong kecil yang pada pandangan pertama hanya kelihatan seperti gumpalan putih biasa.

Menurut Zhou, syarikat berkenaan mampu menghasilkan hampir 200,000 meter benang sutera setiap bulan. Daripada jumlah itu, sebahagian besar dipasarkan di China manakala kira-kira 30 peratus dieksport ke pasaran antarabangsa.


Menelusuri sejarah di muzium sutera

Selesai lawatan ke pusat pemprosesan, perjalanan diteruskan ke muzium sutera yang terletak berhampiran lokasi berkenaan dan menghimpunkan pelbagai koleksi berkaitan sejarah industri tersebut.

Pelbagai pakaian tradisional, peralatan pemprosesan lama, dokumen sejarah serta bahan pameran dipamerkan bagi menceritakan perkembangan industri sutera dari zaman silam hingga ke hari ini.

Di sinilah penulis mula memahami bahawa sutera bukan sekadar produk tekstil. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada sejarah panjang yang membantu membentuk hubungan perdagangan, pertukaran budaya dan perkembangan tamadun dunia.

Tidak hairanlah sutera terus dianggap sebagai antara warisan paling berharga dalam sejarah China.

Malah, di sebalik kelembutan sehelai kain sutera, tersimpan kisah mengenai ketekunan, kemahiran dan warisan yang diwarisi serta dipelihara selama berabad-abad.

Bagi penulis, lawatan ke pusat pemprosesan dan muzium sutera di Fuyang bukan sekadar aktiviti lawatan industri. Sebaliknya, ia merupakan pengalaman yang memperlihatkan bagaimana sesuatu warisan mampu terus hidup dan berkembang meskipun dunia semakin moden.

Daripada melihat ulat sutera hidup buat pertama kali, menahan bau kuat kepompong yang direbus, hinggalah menyaksikan sendiri bagaimana benang halus diproses menjadi fabrik mewah, setiap pengalaman itu memberikan perspektif baharu tentang nilai yang tersembunyi di sebalik sesuatu produk.

Kadangkala, di sebalik perkara yang kelihatan biasa, tersimpan kisah yang cukup luar biasa. Di Fuyang, kisah itu bermula daripada seekor ulat sutera. Namun daripada makhluk kecil itulah lahir sebuah warisan yang telah menghubungkan tamadun, budaya dan perdagangan dunia selama berabad-abad.

Salam Dari Beijing.

-- BERNAMA

Siti Zanariah Nor Zin ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2026 anjuran China International Press Communication Centre (CIPCC) di Beijing selama tiga bulan bermula Mei 2026.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)