EKONOMI

Kerajaan Disaran Laksana Pelan Lebih Komprehensif Untuk Perniagaan Kekal Bertahan

23/10/2024 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kerajaan disaran melaksanakan pelan yang lebih komprehensif supaya perniagaan dapat terus 'bernafas' dan kekal berdaya saing. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata antara langkah yang boleh diambil adalah pelaksanaan Program Subsidi Upah untuk syarikat kecil bagi meringankan beban kenaikan kos operasi syarikat dan pada masa sama mengelakkan mereka daripada membuang pekerja bagi mengurangkan kos operasi. 

"Program ini pernah dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah program Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) semasa pandemik COVID-19," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lepas mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta kerajaan untuk melihat secara terperinci masalah yang dihadapi oleh syarikat kecil yang tidak mampu menampung kenaikan kos operasi syarikat akibat peningkatan kos upah. 

"Ini kerana kesan berantai kenaikan gaji minimum ini besar. Ia bukan sekadar kenaikan kos upah yang terpaksa ditanggung oleh syarikat, malah kos operasi, logistik, inventori dan lain-lain," katanya. 

Muhyiddin berkata pelan pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu dilaksanakan dengan tumpuan khusus diberikan kepada PMKS bumiputera terutama yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. 

"Agensi sedia ada yang ditubuhkan untuk membantu usahawan bumiputera termasuk bank perlu lebih giat menyediakan bantuan dana kepada usahawan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy