SUKAN

Aisyah Bangkit Daripada Seorang Yang Lemah, Sakit Dan Hodoh Akibat Kanser Untuk Jadi Atlet

25/10/2024 02:53 PM

SERI KEMBANGAN, 25 Okt (Bernama) -- "Daripada seorang yang lemah, sakit dan hodoh kerana tiada rambut akibat kanser, saya bangkit untuk pulih seterusnya menjadi atlet."

Itu antara kata-kata semangat atlet bina badan negara, Aisyah Asmadi yang bebas daripada kanser atau sebagai “cancer survivor” sebanyak dua kali iaitu ketika berumur 21 dan 26 tahun selepas berjuang melawan penyakit itu tanpa putus asa. 

Mengimbas kembali perjalanan doktor perubatan berusia 40 tahun itu melawan kanser, beliau mengakui semangat untuk meneruskan hidup seolah-olah hilang selepas disahkan menghidap penyakit yang membawa maut tersebut pada 2006. 

Tambahan lagi, beliau berkata apabila mendapati tubuhnya terlalu lemah terutama selepas menjalani rawatan kimoterapi hingga merasakan masa depannya cukup gelap.  

“Ia merupakan saat paling sukar dalam hidup, namun saya berubah kepada seorang yang mahu pulih dan seterusnya menjadi atlet selepas cuba melakukan sedikit senaman di sebuah gimnasium dan bertemu jurulatih, Mohd Ermi Zulkifli.  

"Daripada seorang yang lemah, sakit dan hodoh tak ada rambut serta tiada semangat, jurulatih saya bantu saya untuk bangkit untuk pulih sebelum menjadi seorang atlet bina badan," katanya pada sidang media Persatuan Bina Badan Amatur Kebangsaan (NABBA) Malaysia di sini hari ini.

Lebih mengagumkan, Aisyah yang juga digelar sebagai doktor 'sado' kini sedang membuat persiapan untuk mendominasi Kejohanan NABBA Universe 2024 di Birmingham, United Kingdom pada 4 Nov ini. 

Pada kejohanan kali ini, beliau bertekad untuk menebus kekecewaan tahun lepas apabila sekadar menduduki tempat kedua selepas tewas kepada atlet Perancis, Lou Van Assche yang menduduki tempat pertama. 

"Pada 2022 saya dapat tempat ketiga, tahun lepas pula di tempat kedua, jadi tahun ini saya nak dapatkan tempat pertama. Saya dah mula membuat persediaan sebaik turun pentas pada NABBA Universe 2023 lagi," katanya. 

Turut menyertai Kejohanan NABBA Universe 2024, atlet bina badan lelaki negara Mohd Ismail Ahmad yang membuat penampilan pertama pada kejohanan berprestij itu. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy