AM

Belanjawan 2025: Tambahan Peruntukan Bukti Komitmen Kerajaan Bela Nasib Nelayan - LKIM

26/10/2024 03:51 PM

PERMATANG PAUH, 26 Okt (Bernama) -- Penambahan peruntukan untuk nelayan dalam Belanjawan 2025 membuktikan komitmen kerajaan dalam membela nasib golongan ini yan menyumbang kepada ekonomi negara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata ia juga jelas memperlihatkan bahawa nelayan tidak pernah terpinggir daripada menerima bantuan, malah soal kebajikan komuniti terbabit sentiasa diambil berat dan diberi keutamaan.

"Kita amat menyambut baik apabila segala inisiatif yang diberikan oleh kerajaan selama ini diteruskan dalam Belanjawan 2025 termasuk subsidi diesel dan petrol masih kekal pada kadar RM1.65 sen seliter yang mana harga itu cukup murah berbanding di pasaran.

"Meskipun dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar dengan dana terhad namun kerajaan tetap meneruskan penyaluran peruntukan kepada rakyat khususnya nelayan dan ini amat kita hargai," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Karnival MADANI Pengerusi LKIM bersama Komuniti Pengkalan Tambang di Permatang Pasir, Permatang Pauh di sini, hari ini.

Muhammad Faiz berkata kenaikan harga siling bina baharu rumah nelayan kepada RM84,000 di Semenanjung manakala RM90,000 di Sabah dan Sarawak bukan hanya bertujuan memberikan keselesaan tetapi juga berupaya mendorong dan memotivasikan mereka untuk lebih bersemangat turun ke laut.

Katanya peruntukan yang diberikan juga akan digunakan untuk meneruskan segala inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sekali gus meningkatkan taraf hidup serta ekonomi para nelayan.

"Selain itu tumpuan juga akan diberikan terhadap kerja-kerja penaiktarafan jeti nelayan serta kompleks pendaratan ikan yang telah usang. Ini kerana untuk memajukan industri perikanan, kita perlu menyediakan infrastruktur yang lengkap supaya aktiviti perikanan ini dapat berjalan dengan baik dan lancar," katanya sambil menambah jumlah nelayan di seluruh negara di bawah LKIM kini adalah 86,000 orang.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM2.78 bilion sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan pada 2025, meningkat berbanding RM2.6 bilion tahun ini.

Selain itu, kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan juga dinaikkan kepada RM84,000, berbanding RM56,000 di Semenanjung manakala RM90,000 bagi Sabah dan Sarawak daripada RM68,000 ketika ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata LKIM akan terus memperhebatkan program turun padang menyantuni nelayan serta komuniti setempat bagi merapatkan hubungan seterusnya boleh menjadi medan menyalurkan serta mendapatkan input mengenai pelbagai isu dalam memajukan lagi sektor perikanan.

Sementara itu, beliau juga menasihati para nelayan supaya berhati-hati ketika turun ke laut susulan musim peralihan monsun dan meningkatkan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan selain memastikan peralatan telekomunikasi berada dalam keadaan baik.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy